Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhamad Shaifullah Tayep

RAMAI pihak salah tafsir punca sebenar EVALI yang dilaporkan sebelum ini di Amerika Syarikat, seterusnya menyebarkan maklumat berkenaan secara salah.

EVALI adalah penyakit kerosakan paru-paru akibat penyalahgunaan bahan terlarang dalam cecair vape seperti tetrahydrocannabinol (THC), iaitu minyak kanabis yang mengandungi vitamin E asetat.

Produk formulasi haram ini juga antara penyebab kematian di mana di Amerika Syarikat (AS) sudah 47 orang disahkan meninggal dunia akibat EVALI pada 2019.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, EVALI memang boleh menyebabkan kematian akibat dari penggunaan minyak ganja dan vitamin E.

"Malaysia belum ada banyak pendedahan terhadap EVALI. Pada masa ini, tiada postmortem EVALI kerana tiada kes akibat EVALI di Malaysia. Ia juga bukan penyakit berdaftar dan bukan penyakit berjangkit.

"Kalau vape tidak tercemar (dengan bahan kandungan berbahaya), ia boleh dijadikan alternatif untuk berhenti merokok kerana ada perokok mengakui kejayaan untuk berhenti merokok dengan vape.

"Sebab itu kena ambil vape daripada kedai berdaftar dengan kualiti yang baik dan penjual vape juga harus dipantau," katanya ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini.

Dr Sharifa berkata, negara kita patut hentikan rokok. Pentingnya adalah bagaimana nak bantu mereka berhenti (merokok).

"Mereka nak berhenti tapi tidak tahu cara yang sesuai. Negara maju dapat turunkan kadar perokok dengan baik dengan menggunakan reduce risk productor seperti i-course (coaching) dan vape untuk perokok tegar ini bertukar.

"Negara maju seperti United Kingdom, New Zealand, Jepun dan Australia, menggunakan vape sebagai kaedah dan terapi untuk berhenti merokok, namun tidak di Malaysia.

"Bagaimanapun, penggunaan vape harus dikawal dan kandungannya perlu dipantau," katanya.

Presiden Pusat Lanjutan untuk Advokasi Rawatan Ketagihan (ACATA), Dr Arifin Fii menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya laporan berkenaan EVALI yang tersebar di media sosial.

"Setakat ini, tidak ada kes EVALI dilaporkan di luar AS kecuali beberapa kes terpencil disahkan di Eropah yang kebanyakannya pelancong dari AS. Kes-kes yang dilaporkan di media sosial kebanyakannya adalah kes yang tidak disahkan EVALI.

"Media juga digalakkan untuk melaporkan berita yang tepat dan berdasarkan bukti saintifik melalui kajian-kajian yang diakui kredibilitinya.

"Pihak berkuasa di Amerika Syarikat sudah mengenal pasti punca EVALI adalah disebabkan penyalahgunaan bahan terlarang yang dicampurkan ke dalam cecair vape," katanya.

Dr Arifin juga berkata, pada masa ini masih tiada peraturan berkenaan kandungan dalam cecair vape di Malaysia walaupun terdapat ramai pengguna vape di Malaysia.

Menurutnya, situasi ini perlu ditangani dan kerajaan tidak boleh melengahkan lagi peraturan untuk vape supaya kejadian EVALI boleh dihalang daripada terjadi di Malaysia.

"Pada masa ini, sudah ada peraturan yang melarang penggunaan vape di tempat awam," katanya.

Dr Arifin juga berkata, kerajaan sepatutnya memperkenalkan peraturan untuk produk vape melalui kuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada.

"Ini bukan sahaja akan membolehkan kerajaan mengawal selia kandungan dalam vape untuk melindungi keselamatan pengguna, malah juga mengawal aktiviti penjualan di negara," katanya.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr Kumar Subaramaniam berkata, peraturan kawal selia untuk vape tidak boleh sama seperti rokok. Ini adalah kerana kedua-dua produk ini sangat berbeza.

"Kemudaratan yang disebabkan oleh vape adalah jauh lebih rendah berbanding rokok. Ini adalah kerana rokok membabitkan pembakaran tembakau yang melihat asap disedut perokok, manakala vape hanya membabitkan pemanasan cecair (yang tidak tercemar) dan menghasilkan wap kepada pengguna.

"Pelbagai bukti menunjukkan asap rokok membahayakan kesihatan dan wap daripada pemanasan cecair vape (yang tidak tercemar) pula tidak mencapai tahap kemudaratan seperti asap rokok," katanya.

Oleh itu, menurutnya, akta yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini juga perlu diperhalusi semula kerana ia mewujudkan undang-undang yang sama untuk kedua-dua rokok dan vape termasuk generasi penamat (GEG).

Ini akan memberikan kesan dan mesej yang salah kepada pengguna vape yang cuba berhenti atau kurangkan merokok melalui vape.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan membentangkan suatu Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (RUU) yang mengandungi larangan penggunaan vape oleh generasi akan datang di Parlimen dan ia dirujuk kepada suatu Jawatankuasa Pilhan Khas untuk diperhalusi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 11:40 AM