TRANSPLAN buah pinggang meningkatkan peluang pesakit menjalani kehidupan lebih baik.
TRANSPLAN buah pinggang meningkatkan peluang pesakit menjalani kehidupan lebih baik.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Transplan buah pinggang adalah pilihan rawatan alternatif yang baik untuk penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD).

Ia adalah penawar yang efektif dan meningkatkan peluang pesakit untuk mempunyai peluang hidup lebih panjang serta memperbaiki kualiti kehidupan.

Di samping itu, ia membantu mengurangkan perbelanjaan perubatan dalam jangka panjang.

Ketua Jabatan Nefrologi dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Selayang Dr Wong Hin Seng berkata, kedua-dua buah pinggang pesakit ESKD mempunyai kebarangkalian gagal berfungsi untuk menyingkirkan bahan buangan dan cecair berlebihan daripada tubuh.

Menurutnya, rawatan dialisis, sama ada hemodialisis atau peritoneal dialisis, ditetapkan untuk menjalankan fungsi ini secara artifisial.

"Walaupun dialisis adalah rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa, ia tidak dapat menggantikan sepenuhnya fungsi walaupun satu daripada buah pinggang pesakit.

"Ini mendedahkan pesakit kepada pelbagai komplikasi kesihatan akibat ESKD dan rawatan dialisis itu sendiri seperti keletihan, kekejangan otot, anemia, penyakit tulang renal serta penyakit jantung.

"Malah, hanya 52 peratus daripada pesakit di Malaysia yang menjalani rawatan dialisis masih hidup selepas lima tahun memulakan rawatan berkenaan.

"Sebaliknya, jangka hayat melebihi lima tahun bagi pesakit yang menjalani transplan buah pinggang adalah setinggi 90 peratus," katanya.

Beliau yang juga Ketua Unit Transplan Renal Hospital Selayang berkata, kualiti hidup pesakit ESKD yang menjalani rawatan dialisis dan kemudian menerima transplan buah pinggang juga meningkat.

"Ini kerana buah pinggang yang didermakan mampu menggantikan buah pinggang mereka yang tidak lagi berfungsi.

"Manfaat yang paling ketara adalah pesakit (dan keluarga mereka) tidak perlu lagi merancang kehidupan mereka berdasarkan jadual dialisis pesakit.

"Bagi pesakit yang menjalani hemodialisis, mereka perlu meluangkan masa selama empat jam di pusat hemodialisis tiga kali seminggu," katanya.

Dr Wong berkata, bagi pesakit yang menjalani dialisis peritoneal ambulatori berterusan, mereka perlu menjalani proses dialisis empat kali sehari selama 30 hingga 40 minit setiap sesi.

"Pesakit yang menjalani dialisis peritoneal automatik mungkin menawarkan fleksibiliti paling tinggi berbanding pilihan dialisis lain.

"Mereka masih perlu menjalani prosedur ini selama lapan hingga 10 jam setiap hari, biasanya ketika tidur pada waktu malam.

"Pemindahan buah pinggang membantu pesakit agar tidak perlu memberikan komitmen yang tinggi daripada segi masa.

"Sebaliknya, pesakit menerima buah pinggang yang didermakan hanya perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan sepanjang hayat. Ini bagi memastikan tubuh mereka tidak menolak buah pinggang didermakan. Pada masa sama, pesakit hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

Menurut beliau, dialisis adalah rawatan sepanjang hayat dan boleh melibatkan kos tinggi dalam jangka panjang.

Jelasnya, berdasarkan kajian, kos tahunan bagi seorang pesakit hemodialisis adalah RM39,790.

Kos seorang pesakit menjalani dialisis peritoneal ambulatori pula adalah RM37,576.

Dua pertiga (67.1 peratus) pesakit dialisis ditaja oleh kerajaan, pembiayaan sendiri (14.9 peratus), dibiayai oleh badan kebajikan (13.2 peratus), majikan (1.3 peratus ), insurans (0.5 peratus) dan sumber lain.

"Sebaliknya, perkhidmatan transplan yang disediakan oleh hospital Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang menerima subsidi yang tinggi.

"Pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan hanya membayar RM1,000 untuk keseluruhan prosedur dan turut diberikan ubat-ubatan imunosupresan mahal sepanjang hayat secara percuma," katanya.

Katanya, selain itu, perkhidmatan transplan dan ubat-ubatan di hospital Kementerian Pengajian Tinggi seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hanya menerima separuh subsidi dan bil hospital untuk transplan dianggarkan kira-kira RM50,000 hingga RM60,000.

"Pesakit yang menjalani transplan di hospital swasta pula, perlu membayar kos di antara RM70,000 hingga RM100,000 untuk pembedahan ke atas penerima dan RM40,000 hingga RM60,000 bagi pembedahan terhadap penderma.

"Pendermaan organ di Malaysia mestilah secara sukarela dan tidak boleh dibuat untuk sebarang ganjaran atau pampasan (tunai, harta, perkembangan kerjaya dan sebagainya).

"Walaupun majoriti organ hanya boleh diambil daripada penderma yang sudah meninggal dunia, buah pinggang adalah satu daripada dua organ yang boleh didermakan oleh penderma masih hidup (organ yang satu lagi adalah sebahagian daripada hati)," katanya.

Dr Wong berkata, ini amat penting buat pesakit ESKD kerana jumlah penderma organ yang sudah meninggal dunia di Malaysia amat sedikit.

"Berdasarkan pangkalan data MyKAS (Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia), ada 10,278 pesakit ESKD yang sedang menunggu transplan buah pinggang.

"Bagaimanapun, hanya 20 hingga 40 transplan buah pinggang membabitkan penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun iaitu kira-kira satu dalam sejuta populasi.

"Namun, penderma masih hidup hanya boleh mendermakan satu buah pinggang kepada pasangan, saudara tahap pertama atau tahap kedua.

"Saudara tahap pertama adalah ibu bapa, anak, atau adik-beradik kandung. Saudara tahap kedua ialah datuk atau nenek, cucu, ibu atau bapa saudara, anak saudara atau adik-beradik tiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 6:30 AM