PEMINDAHAN buah pinggang lebih baik berbanding dialisis dari segi kesihatan dan ketahanan hidup.
PEMINDAHAN buah pinggang lebih baik berbanding dialisis dari segi kesihatan dan ketahanan hidup.
Muhamaad Razis Ismail


PEMINDAHAN buah pinggang adalah rawatan terbaik bagi kebanyakan pesakit apabila buah pinggang mereka rosak.

Walaupun dialisis sama ada hemodialisis atau dialisis peritoneal antara rawatan yang baik dan membolehkan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang meneruskan hidup dengan tahap kesihatan yang agak memuaskan, ia tetap mempunyai had-had tertentu.

Antaranya pesakit berdepan risiko komplikasi kesihatan jangka panjang dan menghadapi kekangan gaya hidup yang ketat apabila perlu menjalani prosedur dialisis berulang kali mengikut tahap keseriusan dihadapi.

Malah, dari segi ketahanan hayat, hanya kira-kira separuh daripada pesakit dialisis masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas memulakan rawatan.

Pakar Nefrologi dan Ketua Bahagian Buah Pinggang, Jabatan Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Lim Soo Kun berkata, ini berbeza dengan pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani pemindahan organ itu.

Katanya berdasarkan data yang dikeluarkan United States Renal Data System 2015, kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada mereka masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas prosedur itu.

"Kualiti hidup mereka juga jauh lebih baik kerana tidak terikat dengan jadual dialisis, walaupun perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan (anti-penolakan) sepanjang hayat untuk mencegah tubuh mereka dari menolak buah pinggang yang didermakan.

"Mereka juga tidak menghadapi risiko komplikasi kesihatan kronik akibat dialisis dan ketiadaan buah pinggang yang berfungsi.

Prof Madya Dr Lim
Prof Madya Dr Lim

"Pesakit yang lebih muda khususnya, mungkin dapat membalikkan masalah ketidaksuburan yang disebabkan kegagalan buah pinggang dan mampu hamil secara semula jadi," katanya.

Mengulas lanjut, pesakit yang mempunyai buah pinggang yang semakin merosot adalah amat sesuai untuk mempertimbangkan pemindahan buah pinggang terdahulu (pre-emptive) iaitu sebelum memulakan dialisis.

Jelasnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya, kebiasaannya, pihaknya akan cuba mengutarakan pilihan ini apabila pesakit mengalami penyakit buah pinggang kronik tahap empat apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 30 peratus.

"Ini kerana lebih lama pesakit menjalani dialisis, lebih banyak komplikasi akan dihadapi, seterusnya mengurangkan manfaat pemindahan buah pinggang.

"Namun begitu, pemindahan buah pinggang tetap mempunyai hasil yang jauh lebih baik berbanding dialisis, walaupun ia dibuat beberapa tahun selepas pesakit memulakan dialisis," katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada prosedur pembedahan yang seratus peratus tidak berisiko, kelebihan pemindahan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup adalah kerana ia adalah sejenis prosedur elektif.

"Ini bermakna pasukan perubatan, pesakit dan penderma mempunyai masa yang banyak untuk merancang dan membuat persiapan bagi pembedahan.

"Risiko pembedahan juga tidak serius seperti pembedahan pintasan jantung, tetapi tidak semudah apendektomi (pembedahan untuk membuang apendiks)," katanya.

Mengulas lanjut, kini terdapat kira-kira 25,000 pesakit kegagalan buah pinggang yang sedang menunggu buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia iaitu kira-kira separuh daripada jumlah pesakit yang menjalani dialisis di negara ini.

"Dengan hanya kira-kira 50 pendermaan organ daripada penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun, tempoh menunggu untuk organ itu biasanya lebih daripada satu dekad.

"Walaupun Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia (MyKAS) biasanya menjalankan pembedahan berdasarkan yang-awal-dapat-dahulu mengikut tempoh dialisis, ia turut mengutamakan pesakit yang lebih muda dan tidak menghidap diabetes kerana mereka akan mendapat hasil yang terbaik daripada pemindahan buah pinggang," katanya.

Secara keseluruhan, beliau menggalakkan pesakit kegagalan buah pinggang mempertimbangkan pemindahan buah pinggang sebelum keadaan kesihatan menjadi lebih serius.

"Sokongan keluarga amat penting kerana pendermaan buah pinggang dari penderma masih hidup adalah lebih cepat, kurang rumit dan memberi manfaat yang lebih baik berbanding daripada penderma yang sudah meninggal dunia.

"Rakyat Malaysia yang sihat juga amat digalakkan untuk mendaftar sebagai penderma organ kerana mereka berpeluang untuk menawarkan hadiah kehidupan, bukan sahaja kepada pesakit kegagalan buah pinggang, tetapi juga pesakit yang memerlukan organ-organ lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 6:20 AM