ROZITA yang menjalani dialisis sejak tiga tahun lalu menerima organ didermakan Md Hadzhir
ROZITA yang menjalani dialisis sejak tiga tahun lalu menerima organ didermakan Md Hadzhir
Oleh Syafil Syazwan Jefri dan Noor Hidayah Tanzizi


Derma 1 tinggal 1

Pasir Gudang: Kesetiaan dan pengorbanan pasangan teruji apabila seorang daripada mereka sakit dan itu dilalui pasangan ini apabila suami dengan rela hati mendermakan buah pinggang kirinya untuk isteri tersayang.

Rozita Ahmat, 46, yang menderita penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD) dan menjalani rawatan dialisis sejak tiga tahun lalu kini bagaikan mempunyai kehidupan baru apabila suami, Md Hadzhir Mahmud, 50, mendermakan organ itu.

Rozita berkata, mereka selamat menjalani pemindahan buah pinggang di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Selangor pada 14 April lalu selepas melalui beberapa prosedur bagi memastikan organ itu sesuai dengannya.

Menurutnya, biarpun pada mulanya dia sukar percaya dengan keputusan pemeriksaan kesihatannya, namun mengakui dia terus kekal positif untuk kembali sembuh terutama apabila doktor memaklumkan rawatan alternatif berkenaan.

"Perjalanan sebagai pesakit buah pinggang memang agak sukar, tetapi saya kuatkan semangat dan cuba menjalani kehidupan dengan gembira kerana kita tidak boleh terlalu mengikut perasaan selain perlu ikut semua saranan doktor.

"Apabila doktor beritahu mengenai transplan, saya kian nampak sinar dan ia makin bercahaya apabila suami dengan kerelaan hati tanpa diminta menderma buah pinggangnya kepada saya. Apabila doktor beritahukeadaan saya, suami terus suarakan hasratnya.

"Tiada apa dapat saya ungkapkan, selain bersyukur kepada Allah SWT kerana suami sanggup berkorban biarpun organnya sudah tinggal satu saja malah kita tahu tidak ramai berani dan sanggup berbuat demikian," katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, sepanjang 25 tahun berkahwin, dia tidak pernah terbayang melalui ujian seperti itu hingga suami mengakui tidak sanggup melihatnya menjalani dialisis dan dalam masa sama masih perlu berkerja.

Katanya, dia berasa bertuah kerana buah pinggang suami seperti memberi 'kehidupan' kedua untuknya, malah berasa seperti kelahiran semula apabila pemindahan organ itu berjaya dilakukan dengan selamat tanpa masalah lain.

"Sebenarnya saya tak sangka suami mahu dermakan satu buah pinggangnya untuk saya kerana sepanjang tempoh bersama ini memanglah akan bersama susah senang tetapi situasi ini (mendermakan organ) tidak pernah terlintas di fikiran kami.

"Pengorbanan suami kepada saya amat besar dan pastinya ia akan dihargai dengan menjaga organ berkenaan dengan baik kerana tidak semua dapat peluang seperti ini.

"Ini juga bukti susah senang kami dan saya terharu suami tidak tinggalkan saya ketika diuji penyakit. Saya berharap kami akan bersama sehingga akhir hayat sama seperti buah pinggangnya yang kini di dalam badan saya," katanya.

DR Lydia menyatakan pemindahan buah pinggang adalah rawatan penggantian terbaik untuk pesakit tahap akhir.
DR Lydia menyatakan pemindahan buah pinggang adalah rawatan penggantian terbaik untuk pesakit tahap akhir.

Enam daripada 10 berfungsi dengan baik

Kuala Lumpur: Enam daripada 10 buah pinggang didermakan kepada pesakit kekal berfungsi dengan baik selepas 10 tahun namun tidak mustahil ia boleh berfungsi lebih lama jika penerima organ menjaga kesihatannya.

Pakar Perunding Nefrologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Dr Lydia Kamaruzaman berkata, dengan teknologi kesihatan moden, teknik pembedahan yang semakin maju dan penjagaan buah pinggang, jangka tempoh organ yang didermakan itu boleh digunakan lebih 20 tahun.

"Secara purata enam daripada 10 buah pinggang didermakan masih berfungsi dengan baik selepas 10 tahun dan doktor akan melihat punca pesakit itu mengalami kemerosotan fungsi buah pinggang untuk merawat keadaannya.

"Paling penting pesakit mesti menjaga kesihatan dan tidak mustahil buah pinggang yang didermakan dapat berfungsi dengan baik lebih tempoh itu. Ada pesakit saya berusia 60 tahun menerima buah pinggang 25 tahun lalu yang sehingga kini organ itu masih berfungsi dengan baik," katanya.

Beliau yang juga pensyarah perubatan berkata, kegagalan buah pinggang yang didermakan mempunyai beberapa faktor antaranya disebabkan penolakan yang boleh berlaku pada bila-bila masa atau jangkitan kuman.

"Sebab itu pesakit perlu makan ubat anti penolakan selagi organ berkenaan ada padanya atau sehingga gagal berfungsi, tetapi jenis dan dos ubat berbeza mengikut keadaan pesakit terbabit," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Lydia berkata, pemindahan buah pinggang atau transplan adalah rawatan terapi penggantian buah pinggang yang terbaik untuk pesakit buah pinggang tahap akhir selain rawatan dialisis, sama ada hemodialisis atau peritoneal dialisis.

"Mana-mana individu dewasa biarpun masih hidup boleh menjadi penderma organ. Hubungan ahli keluarga itu yang terbahagi kepada hubungan darjah pertama seperti anak, adik-beradik, ibu dan bapa.

"Manakala darjah kedua ialah datuk, cucu atau bapa dan ibu saudara termasuk adik-beradik tiri dan darjah ketiga ialah kategori saudara jauh seperti sepupu.

"Untuk darjah pertama dan kedua boleh terus menjalani pendermaan manakala kategori saudara jauh perlu menjalani penilaian dengan satu jawatankuasa bebas untuk memastikan tiada paksaan atau pembelian organ. Kesemua ini adalah pendermaan hidup daripada keluarga yang dipanggil related (berkaitan) termasuk suami isteri," katanya.

Katanya, penderma menjalani beberapa ujian untuk memastikan organ berkenaan sesuai didermakan kepada pesakit dan pasukan perubatan sentiasa memastikan keadaan pesakit serta penderma dalam keadaan baik secara berkala.

TAUFIEK dan Nur Azilah bersama anak mereka.
TAUFIEK dan Nur Azilah bersama anak mereka.

Budi isteri dikenang sampai ke akhir hayat

Johor Bahru: Menerima buah pinggang didermakan suri hatinya boleh diibaratkan seperti mendapat kehidupan baru namun lelaki ini sempat berasa dia mementingkan diri kerana insan tersayang itu dengan rela hati berkorban untuknya.

Taufiek Kamarrul S Sazali, 30, menganggap pengorbanan isteri, Nur Azilah Ahmad, 28, mendermakan buah pinggang kiri kepadanya sebagai budi yang dikenang hingga akhir hayat.

Pemilik kafe itu berkata, isteri dan ibunya, Norasikin Dahlan, 53, menyuarakan hasrat mendermakan buah pinggang selepas doktor menyarankan pemindahan organ itu sebagai alternatif daripada terus menjalani rawatan dialisis.

"Ibu dan isteri cakap serentak mahu mendermakan organ itu dan doktor sarankan isteri kerana lebih muda, badannya kurus dan tiada penyakit, malah jenis darah kami juga sama iaitu O+, jadi isteri lebih sesuai dan menjalani pemeriksaan.

"Memang terharu dan bersyukur kepada Allah SWT kerana isteri sudi mendermakan buah pinggangnya pada saya tetapi ketika itu terfikir adakah saya mementingkan diri kerana dia sihat dengan organ yang lengkap tetapi berkorban untuk saya.

"Kami fikir ini demi masa depan keluarga terutama anak yang masih kecil jadi saya buang jauh-jauh perasaan itu untuk kehidupan yang lebih berkualiti demi mereka yang tersayang tetapi sedih juga melihat isteri menjalani semua prosedur.

"Pengorbanan isteri tidak dapat saya balas dan walaupun menjalani perjalanan sukar dan senang tanpa kemewahan sepenuhnya, dia tetap bersama sehingga kini terutama ketika saya diuji dengan penyakit ini dan saya memilih orang yang tepat untuk bersama," katanya turut mengakui dia juga akan tetap terus bersama isteri dalam keadaan sukar dan senang.

Berkongsi pengalaman sebagai pesakit buah pinggang, Taufiek Kamarrul berkata, dia disahkan mengidap penyakit itu tiga tahun lalu selepas kerap demam dan penat biarpun tidak melakukan banyak kerja dalam aktiviti hariannya.

Katanya, hanya dirinya saja yang menghidap penyakit itu dalam keluarga dan puncanya mendapat penyakit itu tidak diketahui kerana dia juga tidak mempunyai penyakit lain yang boleh memberi kesan kepada kegagalan buah pinggang.

"Ketika doktor beritahu buah pinggang saya gagal berfungsi dengan baik dan penyakit itu sudah berada di tahap lima buat saya rasa macam tak percaya sebab kesihatan saya baik saja sebelum ini dan hanya demam saja tetapi saya reda.

"Ketika doktor beritahu pemindahan buah pinggang saya berasa seperti ada sinar baru dalam hidup tetapi ketika itu tidak terfikir meminta isteri atau ahli keluarga lain dermakan organ," katanya.

Katanya, sebagai pesakit buah pinggang dia perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu dan mengakui sepanjang tiga tahun ini ia sukar kerana perlu bahagi masa, kawal pemakanan dan minuman hariannya.

"Aktiviti perlu ada had, saya cepat penat dan boleh kata sukar mahu pergi ke mana-mana kerana terikat dengan rawatan dialisis," katanya.

ALONG jalani pemindahan buah pinggang pada 2021.
ALONG jalani pemindahan buah pinggang pada 2021.

Along sedaya upaya elak jatuh sakit

Kuala Lumpur: Pelakon, Along Eyzendy, 44, perlu menjalani rawatan susulan dua kali sebulan di hospital selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 2021.

Along ketika dihubungi berkata, setiap kali ke hospital, sampel darah dan air kencing akan diambil untuk diuji bagi memastikan kesihatannya berada dalam keadaan stabil.

Along menerima buah pinggang sebelah kanan milik isterinya, Hamidah Mohd Yatim bagi menggantikan buah pinggang kirinya menerusi prosedur pembedahan pada 15 April 2021.

Menurutnya, isterinya selaku penderma buah pinggang dalam keadaan baik.

Along berkata, dia kini perlu lebih peka untuk memastikan tubuh badannya yang semakin sensitif supaya tidak jatuh sakit.

"Sekarang hampir dua tahun saya jalani pembedahan dan perlu mengambil ubat-ubatan seumur hidup saya. Ubat saya ambil itu menurunkan sedikit antibodi tubuh saya. Jadi, saya perlu lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan.

"Badan saya jadi sensitif terutama kepada cuaca. Saya tak boleh berhujan atau berpanas kerana akan mudah demam.

"Bila dah demam, memang saya akan lemah, letih dan hilang selera makan. Tapi, ia tidak kerap berlaku kerana saya memang menjaga kesihatan," katanya.

Bercerita mengenai kos rawatan, Along bersyukur kosnya sangat berpatutan di hospital kerajaan.

"Pada awalnya, saya rancang pembedahan dan menerima rawatan di hospital swasta. Namun saya terima beberapa nasihat termasuk doktor yang merawat saya.

"Katanya, kos sangat tinggi. Bayangkan, untuk ubat-ubatan rawatan susulan selepas pembedahan mencecah RM5,000 sebulan.

"Alhamdulillah, saya buat keputusan teruskan dengan hospital kerajaan yang sangat memudahkan dari sudut kos," katanya.

Kembali aktif sebagai pelakon, Along sentiasa berhati-hati agar tidak kecundang dengan gangguan kepada kesihatannya dan turut terbuka untuk berkongsi pengalaman bersama mereka yang berdepan nasib sama.

"Dalam dua tahun ini, saya kembali aktif berlakon. Cuma seperti yang saya jelaskan, saya kena berhati-hati dalam menjaga diri saya supaya tak demam," katanya.

'Kita tidak tahu bila giliran kita diuji'

Johor Bahru: "Jangan takut derma (organ) sebab kita tidak tahu bila masa kita pula diuji. Hari ini kita tolong orang mungkin suatu hari nanti orang pula akan tolong kita.

"Saya seikhlas hati dermakan buah pinggang kepada suami tanpa paksaan atau mengharapkan balasan. Sejak mula berkawan sehingga akad dilafaz kami sepakat mengharungi suka duka serta susah senang bersama."

Demikian kata ibu kepada seorang anak lelaki, Nur Azilah Ahmad, 28, yang mendermakan buah pinggang kirinya kepada suami, Taufiek Kamarrul S.Sazali, 30, yang juga pesakit buah pinggang tahap lima sejak 2020 dan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Pasangan berkenaan menjalani pembedahan buah pinggang di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 8 Ogos lalu dan kini mereka sudah semakin sihat serta menjalani kehidupan seperti biasa dengan semangat baru.

Nur Azilah berkata, keputusan dibuat dengan kerelaan sendiri tanpa paksaan sesiapa kerana dia tidak sanggup melihat suamisebelum ini sihat bergantung pada rawatan dialisis bagi meneruskan hidup.

Menurutnya, keyakinannya semakin kuat memberi 'sinar' baru buat suami apabila melihat wajah anak lelaki tunggal mereka yang kini berusia empat tahun untuk keluarga kecil mereka meneruskan kehidupan dengan lebih berkualiti.

"Saya tidak nafikan ketika mengambil keputusan itu ada juga minta saya berfikiran betul-betul tetapi saya tekad untuk derma satu buah pinggang kepada suami.

"Sepanjang perkenalan kami termasuk lima tahun melayari bahtera rumah tangga bersama, suami sentiasa berusaha memberikan terbaik untuk kami jadi apabila dia diuji dengan penyakit itu tak akan saya mahu tinggalkan dia.

"Keputusan saya untuk masa depan kami terutama anak. Kalau suami sakit masanya terhad dan cepat penat tetapi kini pemindahan buah pinggang membantunya menjalani kehidupan biasa dan paling bersyukur dia sudah tidak perlu dialisis," katanya yang bekerja sebagai penasihat kecantikan di premis alat solek dan menetap di Desa Rahmat, Tampoi dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 12:02 PM