Kempen derma organ dijalankan bagi menarik lebih ramai individu menderma organ. FOTO Arkib NSTP
Kempen derma organ dijalankan bagi menarik lebih ramai individu menderma organ. FOTO Arkib NSTP
Hidayatul Akmal Ahmad


LEBIH ramai individu diperlukan sebagai penderma organ bagi membantu pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang (ESKD).

Tahap pendedahan dan pengetahuan rendah mengenai isu pemindahan organ menyebabkan lebih 22,000 pesakit ESKD masih menunggu untuk menjalani pembedahan pemindahan organ itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pesakit bukan saja terpaksa bertarung nyawa malah bagi yang terdesak tidak mustahil melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang di luar negara secara haram.

“Pemindahan buah pinggang dilakukan itu menyalahi undang-undang kerana organ digunakan selalunya diperoleh daripada mangsa penipuan dan banduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, sejak 2009, kadar pembedahan pemindahan organ di negara ini menunjukkan penurunan setiap tahun dengan hanya 48 pembedahan direkodkan pada 2016.

“Jumlah pesakit ESKD menunjukkan peningkatan setiap tahun, angka itu menyedihkan dan pemindahan buah pinggang memberikan kualiti hidup terbaik untuk pesakit berbanding kaedah hemodialisis dan peritoneal dialisis.

“Walaupun pemindahan buah pinggang dilakukan sejak lebih 40 tahun lalu, namun kadar pemindahan buah pinggang di negara ini bukan saja antara terendah di dunia, bahkan dalam kalangan negara ASEAN.

“Jika ini berterusan, kita bimbang pembedahan pemindahan organ ini akan menjadi prosedur sukar kerana kurangnya peluang berlatih melakukan prosedur berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pada 2016, Malaysia menduduki tangga kelapan tertinggi kadar ESKD iaitu 259 insiden dalam sejuta populasi.

“Sejak 10 tahun lalu, bilangan pesakit ESKD baharu meningkat hampir dua kali ganda iaitu daripada 4,104 pesakit baharu pada 2007 kepada 7,663 pesakit setahun pada 2016.

“Bilangan pesakit dialisis baharu setiap tahun juga meningkat hampir tiga kali ganda daripada 17,097 pesakit pada 2007 kepada 39,711 pesakit (2016).

“Ini dijangka terus meningkat kerana hasil kajian tempatan mendapati prevalen penyakit buah pinggang kronik (CKD) iaitu keadaan sebelum ESKD dianggarkan berlaku dalam 10 peratus penduduk dewasa negara ini,” katanya.

Justeru katanya, program meningkatkan kesedaran mengenai pemindahan organ perlu diperluaskan bagi memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap isu berkenaan, terutama yang mengaitkannya dengan aspek kesihatan dan keagamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:29 PM