IBU bapa perlu memantau pemakanan anak-anak.
IBU bapa perlu memantau pemakanan anak-anak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"KENAPA anak bantut, tak cukup makan ke?" Itu antara ayat popular sering ditanya kepada ibu bapa jika memiliki anak yang saiznya lebih kecil berbanding usia.

Kata-kata seperti ini dianggap 'pedas' hingga boleh membuatkan ibu bapa 'makan hati'.

Definisi bantut mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah masalah tumbesaran tidak normal akibat pengambilan makanan tidak seimbang dalam diet seharian bagi satu tempoh lama.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemakanan KKM Rashadiba Ibrahim berkata, bantut adalah isu kekurangan nutrisi kronik selain kurang berat badan dan susut dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

Ia menjadi perhatian KKM kerana ia memberi implikasi kepada anak-anak generasi akan datang.

Menurutnya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 merekodkan bilangan kanak-kanak bantut meningkat kepada 21.8 peratus berbanding 20.7 peratus atau 503,723 orang pada 2016.

"Selain itu, NHMS 2016 pula melaporkan, kanak-kanak kurang berat badan ialah 13.7 peratus, susut berat badan (11.2 peratus) dan lebih berat badan (6.4 peratus).

"Tidak dinafikan, dua isu ini (kanak-kanak kurang berat badan dan lebih berat badan) lebih menjadi tumpuan ramai berbanding isu kanak-kanak bantut serta susut," katanya.

Katanya, hakikatnya ramai juga tidak mengetahui bahawa satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia adalah bantut.

"Setiap kanak-kanak mempunyai standard tumbesaran mengikut usia mereka.

"Perlu diketahui, seorang kanak-kanak tidak boleh dilabelkan bantut berdasarkan ukuran ketinggiannya yang dilihat lebih rendah daripada rakan seusia," katanya.

Rashadiba berkata, penentuan itu hanya boleh dilakukan menerusi hasil penilaian pengukuran ketinggian dan serta timbang berat kanak-kanak di klinik kesihatan sama ada kerajaan atau swasta.

"Kemudian, data yang diperoleh akan 'dipindahkan' ke carta pertumbuhan kanak-kanak.

"Berdasarkan carta ini, kita boleh tahu sama ada kanak-kanak itu mencapai tumbesaran standard atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan kanak-kanak yang sihat boleh dilihat melalui peningkatan secara konsisten berdasarkan carta berkenaan.

Katanya lagi, antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah bantut ialah ciri-ciri ibu bapa itu sendiri iaitu ketinggian dan pendedahan kepada penjagaan kesihatan ketika kehamilan.

"Maksudnya, ibu berpotensi melahirkan anak bantut apabila ketinggiannya kurang daripada 150 sentimeter (sm) serta bapa yang mempunyai ketinggian kurang daripada 160sm.

"Begitu juga ibu hamil yang tidak datang ke klinik untuk pemeriksaan kehamilan dan tiada penjagaan kesihatan sepanjang hamil," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, perlu difahami bahawa faktor keturunan ibu bapa rendah ini tidak boleh dijadikan alasan semata-mata yang menyumbang kepada masalah bantut.

"Penting untuk anak mendapat penjagaan kesihatan dan pemakanan yang betul. Mereka perlu dibawa ke klinik kesihatan untuk timbang berat dan ukur tinggi bagi mengetahui tahap pemakanan mereka, diberi imunisasi seperti disarankan KKM.

"Diberi minum susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya pada enam bulan pertama kelahiran dan dimulakan makanan pelengkap pada umur enam bulan. Disamping meneruskan penyusuan susu ibu selama dua tahun. Amalan ini boleh mencegah berlakunya masalah bantut.

"Faktor kedua adalah amalan penjagaan pemakanan bayi dan kanak-kanak kecil yang tidak betul. Ini kerana anak-anak kurang mengambil pelbagai jenis makanan berkhasiat, paling menyedihkan jika ia berlarutan dalam tempoh panjang," katanya.

SAYUR-sayuran dan buah-buahan penting untuk tumbesaran kanak-kanak.
SAYUR-sayuran dan buah-buahan penting untuk tumbesaran kanak-kanak.

Menurutnya, beliau menekankan bahawa prinsip amalan pengambilan makanan sihat perlu diterapkan daripada awal usia anak iaitu dengan memberi makanan bernutrisi tinggi daripada pelbagai jenis sumber makanan, secara kerap dalam kuantiti kecil mengikut tekstur yang sesuai, tepat pada masanya dan selamat.

"Ini penting kerana keperluan tenaga, nutrien dan tekstur makanan anak berubah mengikut umur.

"Dalam situasi kekurangan pengambilan makanan berkhasiat, faktor kesihatan dan jangkitan berulang yang sering dialami kanak-kanak seperti selesema, demam, lelah dan cirit-birit juga boleh menyekat selera serta pengambilan makanan anak," katanya.

Tambahnya, faktor sosiodemografik juga menjadi perkara asas.

Diakui pendapatan keluarga mempengaruhi tumbesaran anak kepada masalah kekurangan nutrisi seperti kurang berat badan, susut dan bantut.

"Ini dibuktikan menerusi laporan NHMS 2016 yang menunjukkan 29.8 peratus kanak-kanak bantut adalah daripada keluarga berpendapatan kurang RM1,000.

"Manakala keluarga berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,999 pula ialah 25.1 peratus," katanya.

Namun katanya, laporan itu turut mendedahkan ibu bapa berpendapatan lebih RM5,000 dan tinggal di bandar juga mempunyai masalah anak bantut iaitu 17.4 peratus.

"Masalah ini, kita lihat ia berkaitan dengan cara penjagaan anak yang kurang sempurna terutama dalam aspek pemberian makanan sihat.

"Mungkin ibu bapa sibuk bekerja dan menyerahkan penjagaan anak kepada pembantu rumah, maka perhatian kepada anak kurang.

"Selain itu, ada ibu menyediakan makan sihat, tetapi anak membuang sayur ketika makan," katanya.

Katanya, di pusat penjagaan kanak-kanak pula, ada isu membabitkan penyediaan menu berkhasiat.

"Oleh itu, KKM turut menyediakan cadangan menu berkhasiat yang perlu disediakan di pusat berkenaan.

"Ia bagi memastikan anak-anak mendapat makanan berkhasiat sepanjang berada di pusat jagaan," katanya.

Beliau berkata, tempoh kehamilan sehingga seorang bayi sehingga berusia dua tahun (1,000 hari kehidupan) adalah tempoh kritikal untuk pertumbuhan, perkembangan dan kesihatan yang optimum.

"Pertumbuhan dan perkembangan yang terbantut ini tidak mudah dipulihkan selepas kanak-kanak berusia dua tahun.

"Tumbesaran optimum kanak-kanak dapat dicapai dengan penjagaan pemakanan dan kesihatan yang betul," katanya.

Jelasnya lagi, masalah bantut boleh memberi kesan jangka pendek dan panjang yang serius kepada kanak-kanak.

Untuk jangka pendek, kanak-kanak bantut memiliki sistem imun badan sangat lemah dan mudah dijangkiti penyakit.

"Manakala dalam jangka panjang, anak-anak ini akan menjadi dewasa obes yang meningkatkan risiko kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung," katanya.

Di samping itu, katanya, bantut turut memberi kesan kepada fungsi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) yang akan menjejaskan prestasi pembelajaran di sekolah, kurang peluang mendapat pekerjaan serta mempunyai pendapatan rendah apabila dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 11:17 PM