MASALAH bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia perlu ditangani dengan serius. - FOTO Google
MASALAH bantut dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia perlu ditangani dengan serius. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PERATUS kanak-kanak terbantut di negara ini dikatakan semakin meningkat dan masalah itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh memberi kesan dalam jangka panjang.

Bantut boleh memberi cabaran kesihatan mental, fizikal, pergaulan selain membawa maut.

Pada tahun 2019, masalah bantut di Malaysia adalah sebanyak 21.8 peratus dan kerajaan menyasarkan ia dapat dikurangkan kepada lapan peratus menjelang tahun 2030.

Bukan disebabkan faktor pemakanan semata-mata sebaliknya masalah bantut merentasi semua kategori sosio demografi sama ada bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan.

Menyedari keperluan itu, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) terus menzahirkan komitmen mereka dalam usaha memperkasakan orang ramai untuk mengukur, mengenal pasti dan mengurus tumbesaran kanak-kanak dengan sebaiknya.

Presidennya, Dr S Selva Kumar berkata, persatuan itu mengadakan program Pengenalpastian dan Pengurusan Kesukaran Makan (IMfeD) yang dilancarkan pada tahun 2012.

Ia diterajui panel daripada pakar pelbagai bidang termasuk pediatrik, dietetik dan ahli psikologi.

Katanya, fasa pertama program itu (2012 hingga 2017), memfokuskan kepada Pengenalpastian dan Pengurusan Kesukaran Makan manakala dalam fasa kedua (2018-2022) pula, skop program diperluaskan lagi merangkumi saringan dan intervensi untuk tumbesaran yang terjejas ke arah mencegah pembantutan.

"Malaysia mempunyai antara kadar pembantutan kanak-kanak tertinggi di rantau ini iaitu seorang daripada lima kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah (21.8 peratus) dan seorang daripada 12 remaja (sekitar 8.2 peratus).

KHAIRY merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 IMfed For Growth di Petaling Jaya, baru- baru ini.
KHAIRY merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 IMfed For Growth di Petaling Jaya, baru- baru ini.

"Masalah itu dapat ditemui dalam keluarga di bandar dan luar bandar, tanpa mengira status sosioekonomi.

"Keadaan itu jelas membimbangkan kerana pembantutan dikaitkan dengan imuniti rendah, gangguan kognitif, penyakit kronik dan pengurangan peluang sosioekonomi apabila mereka dewasa kelak, " katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke 10 program IMfeD For Growth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan hadir sama, Pengerusi program IMFeD For Growth, Profesor Dr Lee Way Seah.

Dalam ucapannya Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kanak-Kanak di Malaysia meluluskan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Bantut dalam Kalangan Kanak-kanak 2022 hingga 2030.

Kata beliau, jawatankuasa khas itu akan mengkaji penyebab peningkatan kadar bantut yang tinggi membabitkan faktor pemakanan, persekitaran dan kemudahan.

"Pelan strategik kebangsaan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kementerian Kewangan supaya agenda memerangi masalah malpemakanan dalam kanak-kanak diberi tumpuan serta diangkat sebagai agenda nasional bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada Belanjawan 2023.

"Bantut adalah isu yang serius dan penting untuk ditangani bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia dapat mencapai potensi sebenar mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, kekurangan zat makanan adalah faktor penyumbang terbesar kepada pembantutan kanak-kanak.

Ini kerana pemakanan yang baik penting untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak pada semua peringkat, khususnya dalam tempoh pembentukan iaitu satu hingga lima tahun serta awal keremajaan (10 hingga 15 tahun).

Katanya, nutrien seperti protein, kalsium dan vitamin D menggalakkan perkembangan tulang dan otot manakala mikronutrien seperti arginin serta vitamin K2 dapat membantu mendapatkan tulang yang lebih panjang dan kuat untuk peningkatan ketinggian yang optimum.

"Untuk itu, panel pakar IMFeD komited untuk membangunkan satu panduan sokongan pemakanan untuk kanak-kanak yang menghadapi kemerosotan kadar tumbesaran.

KEMPEN saringan dan kaunseling IMFeD For Growth untuk memanfaatkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja setiap tahun. - FOTO Google
KEMPEN saringan dan kaunseling IMFeD For Growth untuk memanfaatkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja setiap tahun. - FOTO Google

"Penyelesaian itu merangkumi pelbagai petua dari cara menambah baik atau memperkaya makanan sehinggalah mendidik ibu bapa mengenai makanan tempatan yang berkhasiat dan tersedia.

"Pada masa sama, pihak doktor dan ibu bapa perlu memeriksa tumbesaran kanak-kanak sekurang-kurangnya sekali setahun," katanya.

Fasa IMFeD For Growth yang seterusnya (2023 hingga 2027) menggariskan tiga teras utama iaitu teras pertama adalah memperluaskan skop daripada usia satu hingga lima tahun kepada satu hingga 17 tahun.

Ia bagi membolehkan IMFeD mengesan dan menguruskan tumbesaran sepanjang zaman kanak-kanak dan keremajaan, tidak kira di mana fasa tumbesaran mereka.

Teras kedua pula membabitkan pembinaan kapasiti di mana pakar penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dalam memerangi pembantutan kanak-kanak.

Kata Dr Lee, pihaknya merancang untuk menganjurkan latihan kepada pengamal am, pegawai perubatan, pakar perubatan keluarga serta jururawat di klinik swasta dan awam, bagi memastikan tumbesaran akan terus diutamakan di persekitaran bandar dan luar bandar, tidak kira sosio-ekonomi tinggi mahupun rendah.

"Bagi teras ketiga, kami akan memperkasakan kempen saringan dan kaunseling IMFeD For Growth untuk memanfaatkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja setiap tahun, " katanya.

Pada tahun 2018, IMFeD melancarkan kempen saringan dan kaunseling tumbesaran kanak-kanak melalui rangkaiannya yang terdiri daripada lebih 200 klinik swasta.

Setakat ini, program itu turut menjalankan lebih 100,000 saringan tumbesaran, dan hasil datanya mendedahkan bahawa seorang daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun berisiko menghadapi tumbesaran lemah.

Sementara itu, kempen saringan dan kaunseling tahun ini bakal berlangsung dari Ogos hingga Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 7:00 AM