PENDUDUK Palestin terpenjara dan sukar akses kepada sumber makanan yang mencukupi. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin terpenjara dan sukar akses kepada sumber makanan yang mencukupi. FOTO AFP
Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli

MAKANAN adalah keperluan asas kepada manusia dalam pelbagai peringkat usia, sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa mahu pun tua. Ia termasuk dalam ke perluan daruriyat bagi memelihara nyawa, tubuh badan dan akal manusia.

Ketiadaan makanan boleh menyebabkan kebuluran dan kematian, manakala kekurangan makanan akan menyebabkan perkembangan otak terganggu kerana tidak mendapat nutrien yang mencukupi di samping boleh menyebabkan tumbesaran kanak-kanak menjadi bantut.

Asasnya, keterjaminan makanan adalah situasi yang mana setiap orang dalam keluarga mempunyai bekalan makanan mencukupi, berkhasiat, selamat dan boleh dicapai makanan itu.

Ia melibatkan empat dimensi utama, pertama, ketersediaan makanan, iaitu makanan itu wujud dan tersedia serta mencukupi pada setiap masa; kedua, akses makanan, makanan itu boleh dicapai dan dikonsumsi bila diperlukan; ketiga, penggunaan makanan, makanan itu berkhasiat, bernutrisi, berkualiti dan tidak memudaratkan; keempat, kestabilan dan kemampanan makanan, iaitu makanan yang terjamin ada, mampan dan dapat memenuhi keperluan.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dalam pelaporan Monitoring Food Security in Food Crisis Countries with Conflict Situations, sehingga tahun 2021, satu pertiga daripada penduduk Palestin atau 1.8 juta rakyatnya, berdepan masalah kekurangan makanan berdasarkan kepada penilaian sosioekonomi dan keterjaminan makanan.

Di Semenanjung Gaza, 1.01 juta penduduk diancam tahap serius keterjaminan makanan, 0.43 juta penduduk diancam tahap sederhana serius dan 0.19 juta penduduk kurang serius keterjaminan makanannya.

Dalam kajian terhadap status nutrisi rakyat Palestin dari tahun 2011 sehingga 2023, mendapati bahawa berlaku dua gejala dalam kalangan kanak-kanak Palestin. Di satu sisi, berlaku gejala malnutrisi yang mendorong kepada penurunan berat badan kanak-kanak. Ia disebabkan senario ketidakcukupan bekalan makanan untuk sekurang-kurangnya selama tempoh dua hari.

Dalam sisi kedua, berlakunya gejala obesiti bagi kanak-kanak yang berpunca daripada pengambilan makanan tidak sihat dan tidak berkhasiat seperti minuman berkarbonat dan kekurangan pengambilan produk berasaskan tenusu.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Situasi keterjaminan makanan semakin serius pasca berlakunya serangan pihak Israel. Jika sebelumnya, penduduk Palestin telahpun mengalami krisis makanan. Situasi ini berlaku akibat pihak Israel menyekat sumber air ke kawasan pertanian, merampas tanah pertanian dan merosakkan hasil tanaman penduduk Palestin. Keadaan menjadi bertambah parah apabila berlaku serangan dari pihak Israel.

Petani Palestin tidak dapat beraktiviti di luar rumah, malah ada yang menjadi mangsa serangan walaupun berada di dalam rumah.

Penduduk Palestin terpenjara dan sukar akses kepada sumber makanan yang mencukupi. Penduduk Gaza khususnya telah berhadapan dengan sekatan terhadap akses makanan, bekalan air bersih, dan pemusnahan infrastruktur, pemotongan bekalan eletrik dan jaringan internet.

Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada tenaga solar. Bagi mendapatkan bekalan makanan, mereka terpaksa beratur, buat catuan makanan hanya sehari sekali dan terpaksa meminum air dari sumber tidak bersih.

Ini ditambah lagi keadaan rumah yang musnah sama sekali, perkakasan dapur yang rosak, diikuti perasaan takut serta tidak selamat berada dalam zon konflik. Nyawa mereka boleh melayang pada bila-bila masa sahaja.

Kebiasaannya, makanan ruji bagi penduduk Palestin adalah roti. Namun, stok bekalannya adalah semakin terhad. Para pembeli terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya di kedai. Di samping itu, jumlah kedai yang menjualnya juga berkurangan akibat musnah dalam serangan tentera Israel.

Pada masa sama, mereka berdepan kenaikan harga barangan akibat kekurangan stok, ditambah dengan mereka yang kehilangan mata pencarian dan tiada sumber kewangan yang kukuh menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli makanan. Akibat sekatan Israel juga, mereka kehabisan diesel, dan kenderaan tidak dapat bergerak untuk menyalurkan air bersih ke kawasan tertentu. Situasi ini menambah penderitaan rakyat Palestin.

Selain itu, sekatan makanan juga juga senjata ampuh untuk menekan penduduk Palestin agar tunduk dengan tekanan Israel sekali gus mengosongkan kediaman mereka dan berhijrah ke kawasan lain.

Pihak Israel menggunapakai taktik kotor bagi melemahkan psikologi pihak lawan dengan menyekat akses terhadap keperluan asas. Strategi seperti ini dilakukan dengan tindakan seperti menuang simen ke dalam mata air di kawasan al-Hijrah, selatan Hebron untuk menghalang rakyat Palestin daripada menggunakannya dalam aktiviti pertanian.

Dengan itu, mereka tidak lagi dapat meneruskan aktiviti bercucuk tanam. Israel turut memusnahkan jaringan laluan yang menyukarkan menghantar bantuan makanan.

Walaupun terdapat pelbagai bantuan disalurkan dari seluruh dunia, tetapi sekatan dilaksanakan Israel menjadikan masalah semakin meruncing.

Bantuan banyak tersadai di pintu sempadan. Senario ini menyebabkan bantuan sukar disampaikan. Walaupun bantuan sampai, isu kekurangan bekalan makanan ditambah pula dengan isu ketidaksamarataan pengagihan barangan bantuan di zon konflik.

Akibatnya, mereka terpaksa mencatu pengambilan makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup di samping mengelak terputus bekalan makanan.

Penulis Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 5:59 AM