FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kekerapan penggunaan puting kosong dan botol susu sehingga mengganggu penyusuan susu ibu menyumbang kepada kes masalah tumbesaran kanak-kanak terbantut di Malaysia.

Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019, mendapati satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun (21.8 peratus) mengalami masalah bantut.

Lebih menggusarkan apabila kes kanak-kanak terbantut semakin membimbangkan dan berisiko melarat sehingga ke generasi seterusnya jika ia tidak ditangani dengan serius.

Mendedahkan perkara itu kepada Harian Metro, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak dikategorikan sebagai bantut apabila tidak mencapai ketinggian sepatutnya untuk usia mereka, berdasarkan carta pertumbuhan panjang/tinggi untuk usia.

Menurutnya, keadaan ini berlaku apabila seseorang kanak-kanak tidak mendapat makanan yang berkualiti dan cukup dalam suatu tempoh masa lama.

"Hasil Tinjauan NHMS menunjukkan peningkatan prevalen bantut sebanyak 4.1 peratus iaitu daripada 17.7 peratus (NHMS 2015) kepada 21.8 peratus (NHMS 2019).

"Peningkatan ini melepasi tahap piawai 20 peratus hingga 30 peratus dikategorikan sebagai tinggi di bawah indeks Public Health Significance," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, masalah ini berlaku di semua negeri dengan peratusan tertinggi dicatatkan di Negeri Kelantan (34.0 peratus), Terengganu (26.1 peratus), Pahang (25.7 peratus) dan Putrajaya (24.3 peratus).

"Penggunaan botol susu dan puting kosong menyebabkan anak tidak berjaya disusukan melalui penyusuan ibu terutamanya dalam tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran.

"Ini kerana hisapan melalui puting susu pasif (bayi tidak perlu banyak menghisap dan menggerakkan rahang) berbanding penyusuan secara terus daripada ibunya. Ini menyebabkan bayi keliru puting dan memilih untuk terus menghisap botol susu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiada hisapan bayi pada payudara ibunya akan menyebabkan bekalan susu ibu mula berkurangan dan akhirnya bayi menolak penyusuan terus daripada ibu.

"Penggunaan botol susu dalam memberi susu, minuman atau makanan serta penggunaan puting kosong juga menyebabkan kanak-kanak tidak berminat untuk makan atau minum makanan secara betul dan sihat. Ia turut meningkatkan risiko jangkitan penyakit seperti cirit-birit sekiranya botol dan puting tidak dibersihkan dan dinyahkuman dengan betul oleh penjaga seterusnya meningkatkan risiko masalah pertumbuhan seperti bantut dan susut dalam kalangan kanak-kanak.

INFOGRAFIK.
INFOGRAFIK.

"Atas sebab inilah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan amaran penggunaan botol susu, puting susu dan puting kosong boleh mengganggu penyusuan susu ibu. Ia perlu dipamerkan atau tertera pada bungkusan produk sebagai peringatan risiko kepada ibu bapa.

"Antara faktor utama lain menyumbang kepada masalah bantut adalah bayi dilahirkan atau intrauterine growth restriction (IUGR) iaitu keadaan di mana janin tidak berkembang sempurna di dalam kandungan. Bayi dilahirkan kurang berat lahir low birth weight (LBW) iaitu kurang 2,500 gram.

"Sosio ekonomi keluarga iaitu kawasan sama ada bandar atau luar bandar, pendapatan isi rumah, kumpulan etnik, pekerjaan dan tahap pendidikan turut menjadi faktor kanak-kanak bantut.

"Risiko adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka di luar bandar, keluarga berpendapatan rendah, bapa tidak bekerja dan ibu berpendidikan rendah," katanya.

Beliau berkata, kes kanak-kanak terbantut juga disebabkan amalan pemberian makanan yang tidak sihat iaitu memberi bayi makan terlalu awal atau lewat daripada usia 180 hari, tidak memberi anak makanan berkhasiat yang mencukupi dan pelbagai selain tidak bersih atau tidak selamat.

"Amalan pemberian makanan daripada sumber protein haiwan turut tidak mencukupi bagi menyokong tumbesaran anak dan jangkitan penyakit," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, faktor ketinggian (genetik) ibu bapa iaitu ketinggian ibu kurang daripada 150 sentimeter (sm) serta ketinggian bapa kurang daripada 160sm juga boleh menyebabkan anak mereka terbantut.

Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham.

Miliki sistem imuniti lemah, mudah dijangkiti penyakit

Kes kanak-kanak terbantut mampu memberi kesan jangka panjang kepada perkembangan kanak-kanak di negara ini selain menyebabkan golongan itu mudah dijangkiti penyakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masalah bantut akan memberi impak kepada perkembangan psikomotor, psikologi, sosial, Intelligence Qoutient (IQ) dan Emotional Qoutient (EQ).

Malah menurutnya, kanak-kanak yang terbantut memiliki sistem imuniti yang sangat lemah dan mudah dijangkiti penyakit.

"Dalam jangka masa panjang, anak yang terbantut akan mengalami masalah kekurangan fungsi intelektual. Ini akan menjejaskan prestasi pembelajaran di sekolah, kurang peluang mendapat pekerjaan dan mempunyai berpendapatan yang rendah apabila dewasa.

"Mereka juga lebih berisiko untuk menjadi gemuk berbanding kanak-kanak yang mempunyai ketinggian yang normal, sekiranya tiada kawalan dari segi pengambilan makanan dan tidak melakukan aktiviti fizikal yang secukupnya," katanya kepada Harian Metro.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat isu kesihatan kanak-kanak. Ia dibuktikan apabila sebanyak RM10 juta diluluskan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Bajet 2022.

"Dana itu antara lain digunakan bagi mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak. KKM akan memperluaskan bantuan terhadap kanak-kanak dalam kalangan keluarga miskin yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.

"Mereka akan diserapkan ke dalam Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan. Selain itu golongan yang berdepan masalah kekurangan berat badan, masalah bantut, kurus serta semua kes berisiko bagi setiap kategori juga diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata, KKM turut menggandakan usaha pencegahan masalah ini melalui perluasan Program Community Feeding (PCF) Bandar di lima negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Beliau berkata, bermula tahun 2019 sehingga kini, KKM menjalankan intervensi pencegahan berkaitan kesihatan dan pemakanan untuk menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak dengan mensasarkan 1,000 hari pertama kehidupan iaitu bermula dengan ibu mula mengandung sehingga kanak-kanak berusia dua tahun.

"Intervensi pencegahan ini bertujuan mengawal dan mengurangkan masalah malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun dengan memberi pendedahan (public awareness) melalui pelbagai saluran hebahan media dan aktiviti outreach berkaitan masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak kepada kumpulan sasar.

"Ia turut membabitkan usaha mempertingkatkan kompetensi anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM dan penjaga/ pengasuh kanak-kanak di taska kerajaan dan swasta berhubung pertumbuhan dan pemakanan kanak-kanak.

"Selain itu pencegahan bantut juga disasarkan kepada kanak-kanak miskin bandar dengan pelaksanaan Program Community Feeding (PCF) Bandar di PPR Taman Cendana, Johor Bahru," katanya.

Menurutnya, kaedah lain adalah dengan Penubuhan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak dianggotai semua kementerian dan agensi berkaitan dengan faktor penyumbang kepada masalah bantut.

"Pembentukan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-kanak, 2022-2030 yang membabitkan pelbagai kementerian dan agensi juga diadakan bagi menangani kes kanak-kanak terbantut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 7:01 AM