PENCEMARAN udara memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.
PENCEMARAN udara memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.
Hafiz Ithnin

Kejadian tumpahan bahan kimia di sungai yang berlaku di Johor baru-baru ini membuatkan ramai antara kita mula terfikir mengenai kesannya kepada kesihatan.

Apatah lagi dalam keadaan panas menyebabkan bahan kimia itu meruap dan menghasilkan gas berbahaya kepada orang ramai.

Gas yang tidak boleh dilihat pergerakannya itu hanya boleh dirasai menerusi deria bau yang akhirnya menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan terutama kanak-kanak menerima kesan negatifnya.

Bagi melindungi diri daripada terus menjadi mangsa pencemaran bahan kimia itu, Pegawai Perubatan Klinik Batik, Dr Mozarina Mokhtar memberi lima tip yang boleh digunakan orang ramai jika berdepan dengan situasi itu.

1. Peka kepada arahan atau maklumat terbaharu mengenai persekitaran di tempat anda.

Jika berlaku kejadian pencemaran alam sekitar yang menyebabkan kesan teruk kepada orang ramai, pihak berkuasa termasuk pegawai kesihatan akan sentiasa memantau rapi sesebuah tempat bagi mengenal pasti tahap keselamatannya.

Maklumat mengenai perkara itu biasanya akan disampaikan secara pantas kepada masyarakat setempat dan sebagai individu terbabit secara langsung di kawasan berkenaan, sikap ambil tahu perlu ada bagi memastikan diri anda tidak terdedah kepada persekitaran yang berbahaya terutama menyebabkan masalah kesihatan.

2. Gunakan penutup mulut dan hidung yang bersesuaian.

Dalam situasi persekitaran yang tercemar penutup mulut dan hidung berkualiti perlu digunakan bagi memastikan individu di kawasan berkenaan tidak mudah menghidu gas beracun.

Di pasaran ada pelbagai jenis penutup mulut dan hidung yang mempunyai fungsi penapis kerana ia lebih berkesan untuk melindungi manusia daripada menyedut udara tercemar.

3. Minum banyak air.

Air diketahui mempunyai banyak kebaikan kepada tubuh manusia supaya tidak mengalami dehidrasi yang mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti pening kepala dan terasa lemah.

Air juga juga menjadi ejen mengeluarkan toksik atau bahan yang tidak diperlukan daripada badan manusia termasuk bahan tercemar.

Oleh itu, minum air secukupnya supaya badan anda lebih kuat dan segar.

4. Jangan teragak-agak berjumpa doktor.

Persekitaran tercemar sememangnya memberi banyak kesan kepada kesihatan dan semestinya setiap individu tidak mahu ia mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih teruk.

Sekiranya berlaku masalah kesihatan walaupun kecil, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bagi memastikan masalah yang dialami itu dapat dibendung dan dikawal lebih awal. Lebih cepat anda mendapatkan rawatan, lebih baik kesannya kepada kesihatan.

5. Keluar dari kawasan tercemar.

Sekiranya kawasan anda tidak selamat, jangan ambil risiko terus tinggal di kawasan berkenaan. Apatah lagi, sekiranya anda mempunyai anak-anak kecil.

Berpindah segera dan pastikan keadaan benar-benar selamat daripada udara tercemar sebelum pulang ke rumah. Langkah ini dilihat drastik tetapi ia jalan terbaik melindungi kesihatan anda sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:00 AM