PENDUDUK di sekitar Taman Pasir Putih mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom sesak nafas, pening dan loya di bilik gerakan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mohd Sabran Md Sani
PENDUDUK di sekitar Taman Pasir Putih mendapatkan rawatan selepas mengalami simptom sesak nafas, pening dan loya di bilik gerakan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


“KALAU mereka (petugas) hentikan kerja pembersihan sungai pada hari kedua kerana tidak tahan bau gas kimia, apatah lagi kami penduduk kampung di sini, yang terpaksa menghadap udara tercemar setiap hari,” kata suri rumah, Sabariah Kasmin, 52.

Sabariah antara penduduk Kampung Bukit Pulai yang paling terkesan akibat pencemaran gas kimia apabila sisa toksik dibuang di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Kedudukan kampung itu paling hampir dengan sungai itu dan hanya kira-kira 300 meter dari lokasi pembuangan sisa berkenaan.

Sabariah berkata, dia dan penduduk kampung paling terjejas dan bimbangkan kesihatan masing-masing.

Katanya, mereka akur sekiranya diarahkan berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) sekiranya mendapat arahan pihak berwajib, namun sehingga kini tiada sebarang arahan dikeluarkan.

“Siapa pun risau jika kesan pencemaran sungai ini menjejaskan kesihatan. Paling tidak pun, pihak berwajib kenalah usaha untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat.

“Kalau disuruh berpindah, kami akan ikut arahan dan akur, namun sehingga kini tiada sebarang arahan walaupun mereka sedar kami dan warga Kampung Pasir Putih paling terkesan dengan isu pencemaran ini,” katanya yang tinggal di kampung itu sejak 30 tahun lalu.

Menurutnya, disebabkan tidak ada kata putus mengenai perpindahan, penduduk tidak mempunyai pilihan lain kecuali menghidu bau pencemaran meskipun sedar risiko kesihatan terjejas.

“Kalau nak pindah sendiri pun kami tak tahu nak ke mana, tak ada kenderaan mengangkut kami, sedangkan setiap hari kami terpaksa menghidu bau kuat hingga mengakibatkan sesak nafas dan loya,” katanya.

Katanya, pada masa sama penduduk berharap petugas kesihatan datang memeriksa kesihatan mereka berbanding mendapatkan rawatan sendiri di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih.

“Kalau mereka sendiri bimbang dengan keselamatan diri ketika berada di kampung kami, bayangkan betapa risaunya kami yang menjadi penghuni kampung ini,” katanya yang tinggal serumah bersama sembilan ahli keluarga.

Suri rumah, Zaharah Yahya, 45, berkata, penduduk kampung dalam dilema sama ada memilih berpindah atau kekal di kawasan berisiko terhidu gas kimia dari sungai tercemar.

“Kalau nak pindah sendiri pun sekurang-kurangnya mengambil masa panjang, sedangkan penutupan sekolah anak-anak belum pasti sehingga bila.

“Tapi kalau nak diikutkan kesan pencemaran, nak saja kami berpindah kerana tidak sanggup berdepan pencemaran dalam jangka masa panjang sedangkan sehingga kini proses pembersihan sungai masih belum selesai,” katanya.

Menurutnya, kesihatan penduduk kampung memang terjejas, malah tanda keracunan akibat terhidu gas kimia itu berlaku sejak hari pertama, termasuk sesak nafas, pening, loya dan muntah.

“Paling merisaukan, kedudukan kampung kami terlalu hampir dengan kawasan sungai tercemar itu dengan jarak dari lokasi pembuangan sisa toksik hanya kira-kira 300 meter.

“Sebab itu kami masih menunggu arahan dan mahu berpindah, jika tidak pun berikan peruntukan menerusi Dana Bencana Alam supaya kami pindah sendiri hingga keadaan selamat.

“Paling tidak, pindahkan kami ke PPS jauh dari sini kerana boleh dikatakan seluruh Pasir Gudang menghirup udara sama,” katanya.

Menceritakan pengalaman hari pertama kejadian, katanya penduduk kampung terjaga dari tidur selepas terhidu bau kuat.

“Pada malam itu, satu kampung boleh bangun dari tidur sebab terhidu bau yang sangat kuat hingga menimbulkan kerisauan kerana bimbang kesihatan masing-masing.

“Keesokannya baru berlaku kekecohan apabila ada penduduk kampung membuat laporan polis sebelum melihat ambulans bertali arus melalui kawasan kampung kami.

“Hari pertama hingga ketiga keadaan amat sesak apabila kami terpaksa hidu gas kimia yang kuat dan reda pada hari keempat kerana hujan lebat, namun ramai pula terkesan akibat udara tercemar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 11:09 AM