BARISAN peserta Akademi Qurra’ bersama Mudarris dan Mudarrisah mengaminkan bacaan doa Ustaz Ahmad Tarmizi.
BARISAN peserta Akademi Qurra’ bersama Mudarris dan Mudarrisah mengaminkan bacaan doa Ustaz Ahmad Tarmizi.
Sudirman Mohd Tahir


TV AlHijrah memperkukuhkan kedudukannya sebagai stesen televisyen yang menyebar luas dakwah dengan membawakan program realiti mengaji al-Quran dikenali sebagai Akademi Qurra'.

Seramai 12 peserta terdiri daripada tujuh lelaki dan lima perempuan mengambil bahagian dengan barisan qari dan qariah ini dikenali sebagai Tilmiz dan Tilmizah Akademi Qurra' sepanjang rancangan bersiaran selama lapan minggu.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, berbekalkan kecintaan yang mendalam terhadap al-Quran, 12 peserta berumur 18 hingga 40 tahun berusaha mempelajari lenggok bacaan al-Quran, ilmu taranum, tajwid, fasohah dan teknik kawalan suara.

"Mereka adalah Muhammad Akasyah Md Yunos (18 tahun, Selangor), Muhamad Nurfahmi Zainal (23, Negeri Sembilan), Muhammad Nur Faridzuan Basar (20, Johor), Saifullah Khanip Rofli (19, Pahang), Muhammad Nur Zuhdi Mohd Daud (25, Johor), Adam Hakimi Khairulnizam (18, Kedah) dan Abdullah Afif Mohd Ariffin (22, Melaka).

"Manakala barisan Tilmizah pula adalah Aina Syafiyah Selamat (22, Melaka), Nik Maghfirah Nik Abd Rahman Zaki (19, Kelantan) Nurnazhirah Shaharudin (24, Selangor), Nooraini Abdullah (40 tahun, Selangor) dan Nur Ain Syahirah Shaifullah (21, Kelantan).

"Walaupun mereka adalah muka baharu dalam dunia taranum al-Quran, mereka mempunyai bakat sangat besar untuk menyatukan ummah dengan al-Quran. Mereka adalah harta ummah yang sedang digilap untuk menjadi permata yang menyinari dunia dakwah.

"Saya menjangkakan program ini meraih kumpulan penonton tersendiri, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam penerbitan rancangan realiti berkonsepkan mengaji al-Quran. Juri sendiri mencadangkan sesi bacaan peserta dipanjangkan untuk memberi masa secukupnya kepada peserta mengalunkan jenis-jenis taranum yang diberikan. Malah, cadangan ini disambut baik penonton di televisyen dan di media sosial." katanya.

FAKHRUL UNIC tampil sebagai pengacara program.
FAKHRUL UNIC tampil sebagai pengacara program.

Episod pengenalan yang juga disiarkan menerusi Facebook Live dan aplikasi Alhijrah Plus meruntun jiwa penonton apabila peserta paling berusia iaitu Tilmizah Nooraini, seorang doktor perubatan berkongsi kisah yang memotivasikan dirinya untuk bergelar Tilmizah walaupun berusia 40 tahun.

Tilmizah Nooraini diuji dengan kepayahan dan dugaan membesarkan anak kesayangannya yang juga pesakit kanser leukemia.

"Apabila berada di puncak kerjaya, cita-cita saya untuk terus meneroka bidang perubatan terhenti apabila anak saya disahkan menghidapi leukemia. Saya mencari sesuatu yang boleh menenangkan jiwa pada waktu itu. Akhirnya, saya temui kedamaian dalam kelas pengajian taranum online," kongsinya selaku peserta kedua yang diuji juri jemputan iaitu Ustaz Amirahman Abas dengan bacaan dari surah Al-Isra menggunakan taranum Bayyati Husaini dan Nahawan.

Program Akademi Qurra' disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu. Manakala Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula adalah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin. Program ini juga menampilkan Fakhrul UNIC selaku pengacara rancangan.

Bagaimanapun, tiada penyingkiran di minggu pertama bagi memberi peluang kepada semua peserta untuk terus menimba ilmu di minggu seterusnya.

Selain itu, doa khas memperkukuh solidariti terhadap al-Quran turut dibaca Ustaz Ahmad Tarmizi di penghujung rancangan bagi menyatakan sokongan terhadap inisiatif kerajaan Malaysia yang menggantikan senaskhah al-Quran yang dibakar dengan sejuta naskhah al-Quran yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 6:09 AM