UNTUK sampai ke lokasi Air Terjun Lata Makau pengunjung perlu meredah hutan terlebih dahulu dan perjalanannya mengambil masa dua hingga tiga jam.
UNTUK sampai ke lokasi Air Terjun Lata Makau pengunjung perlu meredah hutan terlebih dahulu dan perjalanannya mengambil masa dua hingga tiga jam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


SESEKALI jika dapat lari dari kesibukan kota, pasti ramai yang memilih ke destinasi tenang seperti kawasan air terjun di kaki pergunungan.

Dapat bermandi-manda di air terjun yang dingin terutama ketika cuaca panas membahang ketika ini sememangnya satu aktiviti didambakan masyarakat.

Bagi warga kota yang merancang untuk berkunjung ke kawasan air terjun sebaik tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak, terdapat beberapa lokasi menarik yang boleh dikunjungi di sekitar Lembah Klang antaranya:

AIR Terjun Chiling antara lokasi yang tepat untuk penggemar aktiviti lasak.
AIR Terjun Chiling antara lokasi yang tepat untuk penggemar aktiviti lasak.

1) Air Terjun Chiling, Kuala Kubu Bharu

Jika anda seorang yang gemarkan aktiviti lasak, Air Terjun Chiling adalah lokasi yang tepat.

Untuk sampai ke kawasan air terjun ini, anda perlu merentasi lima anak sungai, mengharungi anak sungai yang berbatu dan licin serta perlu melepasi titi gantung.

Semua cabaran ini berbaloi apabila melihat air terjun bertingkat, panorama hutan masih kekal tidak terusik dan kejernihan air yang mengalir.

AIR Terjun Kemensah terkenal dengan kejernihan airnya.
AIR Terjun Kemensah terkenal dengan kejernihan airnya.

2) Air Terjun Kemensah

Air Terjun Kemensah terkenal dengan kejernihan airnya, kawasan yang kurang berbatu dan terdapat kolam takungan air.

Ia juga dilengkapi dengan kemudahan chalet yang sangat selesa menjadikan kawasan ini sering dipenuhi pengunjung.

3) Air Terjun Perdik, Hulu Langat.

Kawasan yang memiliki pelbagai kemudahan ini sesuai bagi aktiviti berkumpulan atau rakan sekerja termasuk program bina semangat.

Selain bermandi-manda, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti merentas hutan atau mendaki Bukit Chenuang yang berketinggian 850 meter dari paras laut.

4) Air Terjun Lata Makau, Kuala Kubu Bharu.

Untuk sampai ke lokasi air terjun ini pengunjung perlu meredah hutan terlebih dahulu dan perjalanannya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam.

Ianya agak mencabar namun apabila melihat pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan serta dapat menyejukkan badan dengan dingin air sungai, semuanya berbaloi.

5) Air Terjun Sungai Tekala, Hulu Langat.

Air terjun Sungai Tekala terkenal dengan kejernihan airnya.

Arusnya yang tidak deras dan kedalaman air cetek menjadikannya destinasi yang sesuai untuk keluarga yang memiliki anak kecil.

Selain itu, kolam tadahan juga disediakan untuk pengunjung bermandi-manda.

Pengunjung akan dikenakan bayaran masuk dan antara kemudahan yang disediakan adalah tandas serta surau.

6) Air Terjun Sungai Congkak, Hulu Langat.

Antara destinasi popular dalam kalangan penduduk Lembah Klang.

Kawasan rekreasi itu lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti resort, kawasan lapang untuk beraktiviti secara berkumpulan serta kelestarian air terjun yang masih elok terjaga sekali gus membuatkan destinasi ini sering menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu.

AIR Terjun Sungai Tua antara kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti seisi keluarga pada hujung minggu.
AIR Terjun Sungai Tua antara kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti seisi keluarga pada hujung minggu.

7) Air Terjun Sungai Tua, Ulu Yam.

Salah satu kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti seisi keluarga pada hujung minggu.

Terdapat sungai yang cetek dan sesuai serta selamat bagi aktiviti mandi-manda si kecil.

Selain itu, terdapat juga kemudahan pondok untuk berteduh di tepi sungai serta mudah untuk diakses dengan menggunakan kenderaan.

8) Air Terjun Sendat, Ulu Yam.

Air Terjun Sendat atau Hutan Lipur Sungai Sendat terletak di Jalan Ulu Yam yang menuju ke Batang Kali.

Ia dikatakan memiliki tiga tingkat air terjun yang menawarkan kedalaman dan keluasan kolam berlainan.

9) Air Terjun Templer

Ia terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Templer dan menjanjikan kelainan buat pengunjung.

Pondok berkelah, bilik salin pakaian dan surau disediakan bagi memudahkan urusan pengunjung.

Selain itu, laluan dan jambatan bagi menjamin keselamatan turut disediakan.

Bukan itu saja, pengunjung juga selesa kerana ia turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti kedai makan, tapak perkhemahan dan juga chalet bagi yang berminat untuk bermalam di sini.

10) Air Terjun Kanching, Selayang.

Terdapat tujuh peringkat air terjun untuk pengunjung terokai bersama rakan-rakan dan keluarga pada hujung minggu.

Namun, untuk sampai ke peringkat yang paling atas pengunjung perlu meredah hutan terlebih dahulu.

Selain pemandangan indah, sungai yang cetek dan kurang berbatu juga

sesuai untuk aktiviti mandi-manda seisi keluarga.

Antara kemudahan yang disediakan adalah tandas, surau dan tempat persalinan pakaian.

Jadi, tunggu apa lagi, rancanglah sebaiknya aktiviti anda dan dapatkan kerehatan minda yang sebenar sambil menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:21 AM