JIKA berpeluang berkunjung ke Segamat, Johor, jangan lupa singgah di Takah Pengkoi, lokasi pelancongan alam semula jadi menarik yang kini mula menjadi sebutan.
Lokasi santai untuk seisi keluarga itu menyediakan tempat percutian unik berkonsepkan rumah dan pokok di kawasan perkampungan Orang Asli di Kampung Kudong, Bekok.
Biarpun terletak jauh di kawasan pedalaman namun ia lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Laluan masuk dari jalan utama juga selesa dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Jalan berkenaan sudah dinaik taraf kerana sebelum ini, pengunjung perlu melalui kawasan ladang kelapa sawit dan laluan 'off road' yang agak mencabar, sesuai untuk kenderaan pacuan empat roda sahaja.
Menurut perkongsian info oleh Tourism Johor, terdapat binaan rumah atau chalet yang menggunakan pokok di Takah Pengkoi.
Pengunjung yang datang bukan sahaja dapat melepaskan tekanan seharian dengan mandi air terjun malah boleh menginap di chalet yang disediakan
Selain itu, penginapan ala dorm juga disediakan dan paling istimewa, pengunjung turut boleh berkhemah di kawasan yang dikhaskan.
Turut disediakan, rumah penginapan di atas pokok yang memerlukan ketahanan stamina untuk memanjatnya.
Bagi yang bertuah membuat tempahan awal, anda berpeluang menginap di satu-satunya chalet yang dibina betul-betul di tepi kawasan air terjun.
Bayangkan, apabila buka sahaja pintu, anda akan dihidangkan dengan suasana indah kawasan air terjun yang nyaman dan mendamaikan.
Kebanyakan pengunjung juga tidak ketinggalan untuk melakukan barbeku ketika bermalam di Takah Pengkoi dengan semua bahan dibawa sendiri.
Bagaimanapun, peralatan untuk barbeku juga ada disediakan untuk pengunjung berkelah.
Dalam pada itu, gelongsor juga dibina untuk membolehkan pengunjung mandi manda di kawasan kolam air terjun dengan lebih menyeronokkan.
Air terjun Takah Pengkoi cukup jernih dan dingin, sesuai untuk seisi keluarga bermandi manda.
Selain penginapan, ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya tenaga elektrik (daripada penjana kuasa elektrik), meja, kerusi, kemudahan tempat letak kereta yang luas.
Takah Pengkoi diuruskan Tok Batin dan seorang wanita yang dikenali sebagai Kak Ros serta bayaran masuk turut dikenakan kepada pengunjung.
Jadi, masukkan Takah Pengkoi dalam senarai destinasi percutian impian anda dan realisasikan apabila keadaan sudah mengizinkan kelak.
Bak kata tulisan grafiti yang menyambut kedatangan pengunjung, 'Jok Melinjau ke Takah Pengkoi' (Jom datang ke Takah Pengkoi) dalam bahasa suku kaum Jakun.
Bercutilah dalam Malaysia kerana negara kira sememangnya memiliki banyak lokasi percutian menarik untuk diterokai.