AIR Terjun Sungai Lopo sesuai untuk riadah seisi keluarga.
AIR Terjun Sungai Lopo sesuai untuk riadah seisi keluarga.
Sharizan Musa


SUDAH menjadi kebiasaan bagi penulis menggunakan kelapangan pada hujung minggu untuk melakukan aktiviti luar seperti mendaki dan meneroka alam semula jadi.

Baru-baru ini, penulis gunakan kesempatan yang ada untuk meneroka destinasi rekreasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Salah satu destinasinya ialah ke Air Terjun Sungai Lopo, Hulu Langat bersama beberapa teman.

Apatah lagi ada dalam kalangan teman penulis itu belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Air Terjun Sungai Lopo ini antara tarikan lain di daerah berkenaan.

Bukan hanya Gunung Nuang, Air Terjun Sungai Gabai, Air Terjun Sungai Tekala dan Sungai Congkak saja yang menarik, malah Air Terjun Sungai Lopo juga mempunyai keunikan tersendiri dalam kalangan pencinta alam semula jadi.

Rancangan yang sudah diatur beberapa hari sebelumnya disertai enam rakan penulis dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Cyberjaya.

KEINDAHAN laluan air terjun yang indah untuk dirakam.
KEINDAHAN laluan air terjun yang indah untuk dirakam.

Untuk ke Air Terjun Sungai Lopo, pengunjung boleh menggunakan aplikasi Waze dengan mencari Sungai Lopo Village untuk sampai ke tapak permulaan.

Perjalanan penulis dari Kuala Lumpur ke Hulu Langat sejauh 40 kilometer (km) mengambil masa 45 minit melalui Bukit Ampang.

Bagi mereka yang ingin mengisi perut sebelum memulakan aktiviti menyusuri denai dan meredah hutan, terdapat banyak gerai serta kedai di sepanjang jalan menuju ke tapak parkir yang terletak di Asli Adventure Base Camp.

Jalan untuk sampai ke tapak parkir selepas mengambil simpang dari Jalan Hulu Langat agak sempit. Pengunjung dinasihatkan untuk berhati-hati ketika memandu.

 PENGUNJUNG perlu melalui laluan denai sebelum tiba ke destinasi air terjun.
PENGUNJUNG perlu melalui laluan denai sebelum tiba ke destinasi air terjun.

Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kenderaan yang datang dari arah bertentangan. Bayaran parkir dikenakan RM5 untuk sebuah kereta.

Tapak parkir juga menyediakan fasiliti seperti bilik air, bilik mandi, surau dan gerai makanan bagi kemudahan pengunjung sebelum serta selepas melakukan aktiviti.

Sebelum memulakan perjalanan, penulis dan teman-teman membahagikan barang-barang yang perlu dibawa sama rata untuk memudahkan aktiviti meredah hutan.

Jam 9.40 pagi, kami memulakan perjalanan. Pada kebiasaannya, perjalanan mengambil masa sekitar satu jam setengah untuk sampai ke Air Terjun Sungai Lopo.

Namun hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur pada malam sebelumnya menyebabkan trek yang dilalui menjadi lecak, berlumpur dan licin.

Bagaimanapun, trek menuju ke air terjun jelas dan tidak mengelirukan. Boleh dikatakan hampir 80 peratus trek adalah landai dan selebihnya memerlukan pendakian pada kadar yang sederhana.

Kecuraman pendakian pada lebih kurang 60 darjah mungkin kelihatan agak sukar tapi pada pengamatan penulis, pengunjung tidak memerlukan stamina yang tinggi untuk sampai ke air terjun itu.

Selepas hampir sejam setengah, bunyi deruan air terjun sudah kedengaran dan menaikkan semangat penulis dan teman-teman. Perkara pertama yang dilakukan adalah mencari kawasan yang sesuai untuk merehatkan diri dan makan tengah hari.

AIR Terjun Sungai Lopo yang menarik kehadiran pencinta alam semula jadi.
AIR Terjun Sungai Lopo yang menarik kehadiran pencinta alam semula jadi.

Suasana segar, nyaman dan ditemani bunyi deruan air terjun membangkitkan lagi selera penulis serta teman-teman untuk mengisi perut yang kelaparan.

Bagi memudahkan teman-teman menyediakan juadah tengah hari, penulis memilih tapak yang berdekatan dengan punca air.

Pada kebiasaannya sebelum pandemik Covid-19, kawasan air terjun ini akan sesak dengan pengunjung. Kini pengunjung yang datang turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sedikit sebanyak, peraturan yang ditetapkan itu memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang ke tempat rekreasi ini.

Selain mandi-manda, bagi penggemar dunia fotografi, terdapat banyak elemen menarik untuk dirakam di kawasan air terjun ini sebagai kenangan.

Seperti Lata Medang, aktiviti yang menarik di air terjun ini adalah menggelongsor dari tingkat atas air terjun bagi mereka yang lebih gemarkan cabaran.

Salah satu perkara yang membuatkan penulis men

yukai Air Terjun Sungai Lopo adalah kolam yang tidak merbahaya dan sesuai untuk dinikmati pengunjung dari pelbagai lapisan usia.

Namun begitu, pengunjung yang membawa keluarga dinasihatkan untuk mengawasi keselamatan ahli keluarga masing-masing terutama anak-anak kecil.

Puas bermandi-manda dan makan tengah hari, penulis dan teman-teman memulakan perjalanan pulang sekitar jam 2 petang. Perjalanan turun lebih cepat berbanding perjalanan naik.

Sekiranya pengunjung tidak berhasrat untuk ke Air Terjun Sungai Lopo, pengunjung juga boleh berkelah di sungai yang terletak berhampiran dengan tempat parkir. Terdapat juga barisan chalet dan wakaf yang boleh disewa untuk keselesaan anda!.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 6:11 AM