PELBAGAI tumbuhan hijau masih tidak terusik.
PELBAGAI tumbuhan hijau masih tidak terusik.
Hafiz Ithnin
hafizithin@mediaprima.com.my


AIR Terjun Neelofa atau Air Terjun Gitar yang terletak di Kemensah, Selangor bukan asing bagi warga Lembah Klang.

Bagi Mohd Faiz Kamaruzzan yang mengunjungi destinasi itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merasakan ia adalah destinasi berhampiran ibu negara sesuai dilawati mereka yang gemarkan aktiviti menerokai alam semula jadi demi menikmati pemandangan air terjun yang cantik.

Mohd Faiz berkata, untuk ke destinasi itu, anda perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa kerana ia terletak di dalam hutan simpan.

"Dari ibu negara ke lokasi itu, tempoh pemanduan kurang dari 30 minit sahaja kerana tempat parkir terletak di Kampung Kemensah.

"Perkara paling penting ialah kita perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa untuk masuk menerokai kawasan yang terletaknya Air Terjun Neelofa," katanya.

Mohd Faiz berkata, dari tempat dia dan rakan meletakkan kereta, mereka perlu menerokai laluan denai yang mempunyai pelbagai bentuk muka bumi.

Jelasnya, jika ingin mengunjung destinasi itu dinasihatkan bukan pada musim hujan kerana laluan ke air terjun itu lebih mencabar jika hujan.

"Sepanjang perjalanan untuk menuju ke Air Terjun Neelofa, saya dan rakan-rakan merasa begitu teruja kerana tidak sangka terdapat destinasi untuk beriadah yang begitu dekat dengan ibu negara.

"Apatah lagi ketika kami mengunjunginya adalah dalam tempoh kerajaan sudah membenarkan untuk aktiviti melancong di sekitar Selangor sahaja. Jadi, di sini adalah lokasi yang menjadi pilihan," katanya.

ANTARA air terjun yang boleh dijumpai pengunjung sebelum
ANTARA air terjun yang boleh dijumpai pengunjung sebelum

Jelasnya, untuk mengunjungi destinasi itu mereka berjalan sejauh sekitar dua jam dan dihidangkan dengan pelbagai panorama alam semula jadi yang begitu menenangkan.

"Sebelum tiba di Air Terjun Neelofa, saya dan rakan-rakan menemui dua air terjun dan ia juga boleh menjadi tempat untuk bersantai dan merakam gambar yang menarik.

"Tetapi, kami menyasarkan untuk pergi lebih jauh ke dalam bagi mencari air terjun yang popular dalam kalangan penggiat ekopelancongan ibu negara itu," katanya.

Katanya, ketika dia dan rakan menuju ke air terjun itu didapati laluannya tidak begitu sukar kerana terdapat laluan denai yang jelas.

"Selepas hampir dua jam melalui jalan denai dan dua air terjun sebelumnya, akhirnya di depan mata kami Air Terjun Neelofa!

"Sememangnya, air terjun ini begitu indah. Mungkin tidak ramai yang mengunjunginya terutama dalam keadaan pendemik Covid-19 menjadikan air terjun ini seperti tidak pernah 'dikunjungi," katanya.

LALUAN denai yang jelas kelihatan. FOTO Mohd Faiz Kamaruzzan
LALUAN denai yang jelas kelihatan. FOTO Mohd Faiz Kamaruzzan

Jelasnya, pengunjung ke destinasi itu boleh menikmati curahan air terjun yang jernih dan begitu sejuk. Malah, kawasan di bawah air terjun berkenaan tidak begitu dalam.

"Rasa puas dapat membasahkan diri di Air Terjun Neelofa selepas berjalan hampir dua jam. Bagaimanapun, saya melihat ia tidak sesuai untuk dijadikan lokasi berkhemah kerana ruang yang terhad.

"Namun, bagi pendapat saya tempat itu tidak perlu dijadikan sebagai lokasi perkhemahan demi menjadi kelestarian dan keindahannya. Cukup sekadar untuk aktiviti bermandi-manda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:20 AM