ARIFFIN berada atas ‘hammock’ untuk menikmati keindahan pemandangan air terjun dan sungai yang memukau.
ARIFFIN berada atas ‘hammock’ untuk menikmati keindahan pemandangan air terjun dan sungai yang memukau.
Hafiz Ithnin


BAGI Ariffin Mutalib, 34, ini bukan kali pertama dia mengunjungi lokasi perkelahan yang cukup terkenal bagi peminat aktiviti perkelahan kerana dekat dengan Lembah Klang.

Malah, perjalanan untuk menuju lokasi utamanya juga menjadi begitu tular di media sosial kerana ada terowong di atasnya adalah Lebuhraya Karak.

Ternyata kunjungan kali kedua Ariffin ke Sungai Pisang, Gombak di Selangor itu tidak membosankan.

Apatah lagi, panorama indah alam semula jadi menjadi tawaran utama. Meskipun perlu berjalan kira-kira lima kilometer (km) menuju Air Terjun Sungai Pisang, namun rasa penat tidak terasa kerana akhirnya dihidangkan air terjun yang cukup menyegarkan.

Ariffin berkata, kali kedua dia mengunjungi kawasan itu adalah bersama tiga rakannya yang merancang sejak dua bulan lalu untuk ke lokasi berkenaan.

Katanya, destinasi perkelahan itu sebenarnya begitu sesuai bagi mereka yang baharu sahaja berjinak-jinak dengan dunia penerokaan alam semula jadi apatah lagi perjalanan melalui jalan denai juga tidak begitu jauh.

AIR Terjun Sungai Pisang berada berhampiran Lembah Klang menjadi lokasi yang dekat untuk dikungjungi warga kota.
AIR Terjun Sungai Pisang berada berhampiran Lembah Klang menjadi lokasi yang dekat untuk dikungjungi warga kota.

"Selain itu, ada juga tempat parkir berbayar disediakan penduduk setempat bagi mereka yang ingin ke Air Terjun Sungai Pisang. Jadi, tiada masalah untuk meletakkan kenderaan.

"Sebaik memulakan perjalanan, ada papan tanda yang memberikan penunjuk arah jelas ke air terjun itu.

"Bagi mereka yang kali pertama ke sana dan hanya mengikuti penunjuk arah itu, Insya-Allah tidak sesat," katanya.

Jelasnya, bagi mereka yang ingin ke Air Terjun Sungai Pisang perlu membayar permit RM5 kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPMS).

PENGUNJUNG perlu menaiki tangga selepas melalui terowong.
PENGUNJUNG perlu menaiki tangga selepas melalui terowong.

Katanya lagi, dengan bayaran itu permit dan caj parkir berpatutan untuk pengunjung ke Air Terjun Sungai Pisang sudah semestinya menjadikan percutian pendek ke destinasi itu amat menjimatkan.

Bercerita mengenai perjalanan ke air terjun berkenaan, katanya, selepas melalui terowong yang menjadi lokasi popular untuk merakam gambar itu, dia hanya perlu melalui jalan denai sejauh kira-kira tiga kilometer.

"Kurang satu kilometer lagi, kami mendengar deruan Air Terjun Sungai Pisang dan semestinya rasa teruja untuk menikmati kesegaran air tidak boleh dinafikan.

"Selain itu, di sekitarnya juga ada tapak yang boleh meletakkan khemah dan ada banyak pokok untuk menggantung 'hammock'," katanya.

Tambahnya, ketika dia dan rakan-rakan berada di Air Terjun Sungai Pisang antara yang aktiviti dilakukan selain mandi-manda pastinya menyediakan masakan dan minuman ringkas.

FOTO dalam terowong menjadi kemestian kerana mempunyai nilai kreativiti tersendiri.
FOTO dalam terowong menjadi kemestian kerana mempunyai nilai kreativiti tersendiri.

"Untuk aktiviti mandi-manda sebenarnya tidak begitu bahaya dari segi kedalaman hanya paras pinggang orang dewasa sahaja.

"Tidak sekadar itu, ada kawasan tinggi yang membolehkan mereka yang berani membuat terjunan 'tiruk'," katanya.

Katanya, mengunjungi Air Tejun Sungai Pisang begitu menyeronokkan kerana keadaannya masih terpelihara.

"Panorama hijau di sekeliling ketika berada dalam 'hammock' sememangnya begitu tenang. Meskipun lokasinya tidak begitu jauh dengan lebuh raya pemandangan dan bunyi air terjun menguasai perasaan pengunjung.

"Pada saya, ia ini menjadi pilihan ramai peminat air terjun di sekitar Lembah Klang khasnya kerana begitu dekat dan mempunyai destinasi yang masih cantik serta bersih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 6:21 AM