PEMANDANGAN indah bandar raya Ipoh dari puncak Bukit Kledang.
PEMANDANGAN indah bandar raya Ipoh dari puncak Bukit Kledang.
Fariz Ubaidullah Mahamud
rencana@hmetro.com.my


TATKALA aktiviti riadah dan rekreasi dibenarkan oleh kerajaan, penulis tidak berfikir panjang memilih Bukit Kledang untuk didaki.

Ketika perjalanan pulang ke kampung di Batu Gajah, Perak, penulis 'niatkan' sekali untuk mendaki Bukit Kledang yang terletak di Menglembu, Ipoh bandar yang dirindui.

Selepas lama berehat daripada mendaki dan terakhir sekali K2 Malaysia iaitu Gunung Kenderong di Gerik, penulis rasa elok bermula dengan bukit yang kurang ekstrem, tetapi kekal menyihatkan badan dan membakar kolesterol mahu pun kalori.

Berketinggian 808 meter, bukit itu rendah sedikit berbanding Gunung Santubong dan Gunung Angsi.

Perjalanan sehala dari tempat letak kereta ke puncak atau lebih tepat Stesen Pemancar Bukit Kledang Atas adalah sejauh tujuh kilometer dan mencabar mental serta fizikal pendaki.

Apapun bagi penulis, ini medan permulaan paling sesuai untuk menguji kemampuan anda yang berhasrat menjadikan aktiviti memanjat gunung untuk diceburi.

LALUAN berturap untuk mendaki Bukit Kledang.
LALUAN berturap untuk mendaki Bukit Kledang.

Jalannya yang berturap hingga ke puncak sama seperti di Taman Negara Kubah, Sarawak yang menempatkan Gunung Serapi.

Namun jika jalan berturap sehingga ke puncak pun sukar ditangani, maka menjelajah denai hutan, meranduk batang pokok resam kering yang boleh melukakan, hilang kasut dalam selut dan meredah sungai hanya sekadar impian yang disimpan kemas dalam hati.

Tidak terjumpa pula bagaimana asalnya bukit ini mendapat nama namun jika asalnya dari pokok kledang, ia adalah sejenis pokok keras yang boleh dibuat perahu.

Menurut sumber atas talian, pokok kledang dalam famili Moraceae yang berasal dari Semenanjung dan nama botaninya Artocarpus lanceifolius Roxb.

Di Bukit Kledang, pengunjung boleh memilih untuk melalui jalan berturap sepenuhnya atau mencuba laluan hutan dan bertangga itu pun jika berani.

Jalan berturap mempunyai tandas dan wakaf berselang beberapa ratus meter untuk kegunaan pengunjung.

Penulis hanya mencuba satu laluan bertangga sebagai alternatif memintas satu keluk jalan sebelum ketinggian 250 meter selepas bertanya arah kepada seorang pendaki.

Sepanjang pendakian ke aras 250 meter sememangnya menyajikan pemandangan bandar raya Ipoh berlatarkan Banjaran Titiwangsa.

PENULIS berehat seketika dalam pendakian ke puncak Bukit Kledang.
PENULIS berehat seketika dalam pendakian ke puncak Bukit Kledang.

Penulis bagaimanapun tidak singgah di pelantar pemandangan berkenaan dan ia boleh dijadikan alasan untuk datang lagi jika ada kelapangan.

Dalam perjalanan ke puncak, pendaki biasanya ditemani geng berbasikal, pejalan kaki dan ada juga yang berlari.

Namun, pendaki perlu berhati-hati kerana kenderaan pacuan empat roda milik sebuah syarikat telekomunikasi sering melalui laluan berkenaan.

Dalam pada itu, pendaki tidak perlu gusar risiko sesat di kawasan berkenaan kerana ia cuma ada satu simpang tiga sahaja.

Sepanjang pendakian, penulis bersama adik lelaki, kami ditemani bunyi unggas menghiburkan hati.

Pendaki juga disarankan supaya tidak membawa terlalu banyak makanan dan minuman sebagai bekalan memadai hanya air minuman secukupnya, sebuku roti, coklat atau buah-buahan.

Lebih penting, sampah mesti dibawa pulang bagi memastikan alam sekitar di kawasan berkenaan kekal terjaga.

Alhamdulillah, selepas dua jam mendaki, penulis dan adik berjaya sampai di puncak.

DI puncak Bukit Kledang.
DI puncak Bukit Kledang.

Bagaimanapun, pemandangan dari atas sedikit terhad kerana ketinggian pokok di kawasan berkenaan.

Namun, bagi mereka yang tahu sudut yang mana untuk dirakam gambar, semua tidak menjadi halangan, bahkan setiap altitude dan ketinggian menyediakan panorama berbeza untuk dinikmati.

Selepas berehat seketika dan merakam gambar kenangan, kami bergerak turun.

Penulis juga sempat mengabadikan gambar ulat geluntur gergasi dan pokok paku yang menakung embun ditemui ketika menuruni bukit berkenaan.

Apa yang dapat disimpulkan, Bukit Kledang sesuai untuk semua pendaki terutama yang baharu berjinak-jinak dalam aktiviti rekreasi berkenaan dan ia juga menyajikan cabaran tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 6:15 AM