LALUAN sungai yang memukau.
LALUAN sungai yang memukau.
Hafiz Ithnin


GUNUNG Melaka? Benarkah ada gunung di Melaka? Itu yang bermain di fikiran penulis sebaik sahaja mendapat tugasan untuk mendaki gunung itu bersama 11 pendaki yang diketuai T Ravichandran.

Terletak di Nyalas, Melaka, Gunung Melaka sebelum ini dikenali sebagai Bukit Gapis tetapi ia mendapat jolokan gunung kerana paling tertinggi di negeri itu.

Mempunyai ketinggian sekitar 512 meter dari aras laut, Gunung Melaka sememangnya mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan eko di negeri itu.

Malah, penulis boleh katakan tahap kesukaran pendakian berada di tahap pertengahan kerana ia mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke puncak

Untuk meletakkan kenderaan juga tidak sukar kerana di hadapan lokasi memulakan pendakian terdapat kawasan yang cukup luas untuk parkir.

Pendakian bermula di 'pintu masuk' melalui kebun getah kurang 10 minit menerusi laluan denai yang cukup landai.

Selepas melalui kebun getah, terdapat laluan yang sedikit berbukit sebelum menemui laluan air sungai di bawahnya.

Ketika penulis mengunjunginya, air sungai berkenaan begitu cetek kerana mungkin bertandang pada musim panas.

LOKASI berehat yang mempunyai pondok.
LOKASI berehat yang mempunyai pondok.

POKOK yang mampu mengeluarkan gema yang kuat.
POKOK yang mampu mengeluarkan gema yang kuat.

PESERTA tiba di puncak 'Gunung Melaka'.
PESERTA tiba di puncak 'Gunung Melaka'.

Namun, pemandangannya tetap menarik kerana terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan seperti cendawan yang tumbuh meliar di sekitarnya.

Selepas melalui sungai berkenaan, laluannya sudah sedikit menaik dan seingat penulis terdapat tiga tempat berehat sebelum tiba di puncak.

Laluan pendakian juga agak luas dan pada hemat penulis ia begitu sesuai untuk si pelari denai berlatih kerana jika berlari ke puncak mungkin boleh sampai kurang sejam setengah.

Ketika pendakian, anda juga akan dapat menemui pokok yang boleh dijadikan sebagai 'bantuan kecemasan' sekiranya sesat kerana apabila memukulnya, ia mengeluarkan gema yang agak kuat.

Namun nama pokok itu penulis tidak tahu kerana ketika mengikuti aktiviti pendakian itu penunjuk arah kami agak kurang arif mengenai tumbuh-tumbuhan yang berada di sekelilingnya.

Menghampiri puncak, pendaki akan dapat melihat bongkah batu sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan yang didakwa dibina British pada 1901.

Sebaik berada di puncak, ia tidaklah begitu luas terutama untuk mengambil foto pemandangan dan agak merbahaya untuk berada ramai di kawasan itu.

Pemandangan di puncak adalah deretan bukit dan gunung berhampiran dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:43 AM