KEINDAHAN panorama dari puncak Bukit Kodiang yang juga dikenali sebagai Bukit Mok Cun.
KEINDAHAN panorama dari puncak Bukit Kodiang yang juga dikenali sebagai Bukit Mok Cun.
Fariz Ubaidullah Mahamud


AJAKAN rakan untuk mendaki Bukit Kodiang pada petang Aidilfitri lalu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang buat penulis.

Apa tidaknya, sebelum ini bukit berkenaan hanya dilihat dari jauh ketika penulis berulang-alik antara Tunjang, Jitra ke Perlis.

Namun, rancangan secara 'tiba- tiba' itu mendorong penulis dan dua lagi rakan mendaki Bukit Kodiang yang selama ini hajat untuk menawannya kerap meniti di bibir.

Biarpun nama asalnya adalah Bukit Kodiang, namun selepas pengambaran drama popular Mok Cun dilakukan di situ, ia kemudian lebih dikenali sebagai Bukit Mok Cun.

Selepas meletakkan kenderaan di kaki bukit disusuli sedikit senaman regangan dan doa, penulis dan rakan memulakan pendakian.

Seperti kebanyakan bukit di negeri Jelapang Padi, sebahagian Bukit Mok Cun tidak dilitupi dengan tumbuh-tumbuhan.

Meskipun hanya 140 meter dari aras laut, namun laluan pendakiannya memiliki cabaran tersendiri.

PENULIS (tengah) bersama rakan di puncak.
PENULIS (tengah) bersama rakan di puncak.

Tiada 'diskaun' istimewa atau kasihan untuk pendaki meskipun di permulaan trek.

Trek pendakian yang menegak memaksa jantung untuk bekerja dengan lebih laju dan pendaki perlu lebih berhati-hati.

Boleh dikatakan hampir 95 peratus trek pendakian adalah menegak kecuali di 'verandah' dan sebahagian kecil laluan berada di bawah redupan pokok.

Di sesetengah laluan, disediakan tangga besi dan tali bagi memudahkan proses pendakian.

Meskipun tiada jaminan keselamatan ketika mendaki, sekurang-kurangnya tangga besi yang disediakan boleh membantu mengurangkan bahaya ketika memanjat batu-batu yang berbentuk dan berpemukaan tajam.

Ada juga pendaki yang mahu mencabar kekuatan tenaga dengan mendaki melalui batuan itu dari menggunakan tangga.

Apa pun jika mahu mendaki bukit ini, penulis menyarankan supaya memakai sarung tangan bagi mengurangkan risiko kecederaan ketika pendakian.

PAPAN tanda menunjukkan pengunjung sudah tiba di bukit yang menjadi sebutan ramai.
PAPAN tanda menunjukkan pengunjung sudah tiba di bukit yang menjadi sebutan ramai.

Sepanjang pengamatan penulis, ada banyak tali PP (polypropylene) di sepanjang trek yang diikat antara pokok ke pokok sebagai langkah keselamatan.

Apabila sampai di kawasan yang dikenali sebagai 'verandah,' pendaki disajikan dengan pemandangan Gunung Jerai, bandar Alor Setar, Gunung Kriang, Bukit Hantu, Bukit Kalong, jeti Kuala Perlis, Selat Melaka dan Pulau Langkawi.

Tip untuk pendaki, pemandangan terbaik jika mendaki pada musim padi masak yang dilatari rona hijau kuning keemasan terutama ketika matahari mula memancar selepas jam 10 pagi.

Penulis dan rakan kemudian meneruskan pendakian ke lokasi foto yang menjadi idaman ramai iaitu sudut menghala Hutan Lipur Bukit Wang.

Kami meluangkan masa seketika untuk merakamkan gambar kenangan yang istimewa kerana penulis dan rakan masing-masing masih lengkap berbaju Melayu dengan bersamping.

TANGGA disediakan untuk memudahkan pendakian.
TANGGA disediakan untuk memudahkan pendakian.

Usai merakam detik kenangan, kami bergerak menuruni Bukit Mok Cun dengan penuh hati-hati.

Pendaki dinasihatkan supaya menuruni tangga dengan berhati-hati supaya tidak tersepak batu yang boleh menimpa pendaki lain di bawah.

Jika diteliti, kebanyakan permukaan batu kapur bukit ini dihakis air hujan atau proses luluhawa yang membentuk struktur tajam, leper dan menghala ke atas.

Ada permukaan batuan yang berlapis-lapis seperti disusun bertindan atas satu sama lain.

Air yang mengalir pula membentuk lekukan dengan permukaan yang boleh menakung air dan ada yang membentuk gaung dalam seperti di sekitar sebelah kiri tangga pertama.

Secara keseluruhan, pendakian naik dan turun tidak mengambil masa lama iaitu hanya sekitar 40 minit hingga satu jam.

Namun ia juga bergantung kepada stamina dan keadaan di laluan pendakian, jika ramai pengunjung, pendakian akan lebih perlahan.

Pada pendapat penulis, keadaan bukit Bukit Kodiang yang berbatu tidak sesuai untuk kanak-kanak, mereka yang baru berjinak dalam aktiviti pendakian atau gayat kepada ketinggian.

Namun jika berkesempatan dan mempunyai keberanian, jangan lupa mencuba aktiviti dropzone yang disediakan!

TALI keselamatan turut disediakan di trek pendakian.
TALI keselamatan turut disediakan di trek pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 7:01 AM