GELAGAT pendaki, di atas puncak Gunung Pulai.
GELAGAT pendaki, di atas puncak Gunung Pulai.
Zuhainy Zulkiffli


'TREK kejam' antara gelaran yang diberi kepada jalur pendakian Gunung Pulai di Baling, Kedah dan 'digeruni' dalam kalangan pendaki.

Permukaan dan keadaannya yang berbatu tajam, tiada landai dan licin, turut menyerlahkan keunikannya sebagai gunung kedua tertinggi di negeri itu.

Sedikit latar belakang Gunung Pulai, mercu tanda Baling itu turut mempunyai tarikan tersembunyi di sebalik lapan gua purba berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun sebelum Masihi.

Gunung dengan ketinggian 620 meter itu juga pernah digelar Piramid Hijau atau 'The Green Pyramid' dalam kalangan pelancong berikutan bentuknya bersegi tiga menyamai piramid di Mesir.

Di kaki gunung yang menjadi laluan utama pendakian, terdapat susunan batu nisan lama dipercayai berusia ratusan tahun yang dikatakan milik Tok Bandar dan penduduk terawal di situ.

Pendakian penulis bersama dua lagi rakan media baru-baru ini ditemani pemandu arah gunung yang terdiri daripada penduduk tempatan.

Penulis difahamkan tidak digalakkan mendaki ketika hujan berikutan keadaan batunya yang licin dan disebabkan hujan pada awal pagi, kami memulakan pendakian pada jam 7.30 pagi berbanding perancangan awal pada jam 4.30 pagi.

Sejujurnya bagi penulis, jika mahu mencari erti pendakian, Gunung Pulai adalah lokasi terbaik bagi mencabar fizikal dan mental.

CABARAN yang menanti bukan ketika mendaki, tetapi ketika menuruni Gunung Pulai ini.
CABARAN yang menanti bukan ketika mendaki, tetapi ketika menuruni Gunung Pulai ini.

PENULIS dan rakan media bersama pokok paku aji yang banyak terdapat di jalur pendakian.
PENULIS dan rakan media bersama pokok paku aji yang banyak terdapat di jalur pendakian.

Menerusi jalur pendakian yang kebanyakannya menegak, pendaki perlu bijak mengimbangi badan selain mengerah sepenuh tenaga untuk berpaut.

Antara yang menjadi tarikan ialah keunikan pokok paku aji yang dipercayai berusia puluhan tahun, dapat dilihat sepanjang jalur pendakian.

Menurut penunjuk arah gunung Mohd Tarmizi Abdul Aziz, 44, pokok berkenaan boleh mencecah ratusan ribu ringgit walaupun bersaiz kecil.

Katanya, dia juga pernah beberapa kali membawa golongan pengkaji tumbuhan dan bunga liar ke gunung itu selain jurugambar yang mahu membidik foto unggas.

"Walaupun tidak banyak kes orang sesat, tetapi pendaki digalakkan naik bersama penunjuk arah gunung kerana mereka lebih mahir dengan jalur pendakian selain soal keselamatan.

"Selain pelakon Azhan Rani, pelakon dan pengarah Opie Zami juga pernah membuat penggambaran di situ," katanya.

Walaupun terlepas peluang melihat 'awan karpet,' namun pemandangan dari puncak Gunung Pulai sedikit meredakan rasa sakit badan.

Tersergam indah Gunung Baling yang terletak berhampiran selain kawasan hijau di pekan itu yang belum diteroka menjadi 'santapan mata' selepas berhempas pulas untuk

ke puncak.

BERGAMBAR di papan tanda menjadi satu kemestian kepada pendaki.
BERGAMBAR di papan tanda menjadi satu kemestian kepada pendaki.

Agak lama penulis dan rakan berada di puncak kerana mahu merakamkan aksi pendaki dan pemandangan indah bagi kegunaan saluran media masing-masing.

Namun cabaran yang menanti bukanlah ketika mendaki, tetapi ketika menuruni gunung berkenaan terutama kepada individu yang mudah gayat.

Pendaki perlu memusingkan badan ketika menuruni laluan selain berwaspada dengan setiap langkah.

Sangkaan kami tepat kerana hujan renyai ketika di pertengahan jalan menyebabkan batu menjadi licin dan tanah berselut selain turut diserang pacat.

Meskipun memakai sarung tangan, tapak tangan penulis masih berasa perit namun itulah antara 'kepuasan' yang mahu dirasai pendaki menerusi hobi ini.

Penulis mencadangkan supaya pendaki menginap sahaja di chalet sekitar Baling sejurus menuruni gunung dan menikmati keindahan desa yang mendamaikan.

Selain makanan tempatannya yang enak dan murah, keramahan penduduk juga turut menyebabkan penulis terpanggil untuk ke sana lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 6:32 AM