LALUAN pacak yang menguji kekuatan mental dan fizikal.
LALUAN pacak yang menguji kekuatan mental dan fizikal.
Hafiz Ithnin


GUNUNG Angsi di Kuala Pilah bukan nama asing dalam kalangan mereka yang suka mendaki di Malaysia kerana ia boleh dilakukan tanpa perlu bermalam.

Malah, lokasinya yang tidak begitu jauh dari ibu kota juga menjadi faktor Gunung Angsi berketinggian 825 meter (m) itu sentiasa menjadi tumpuan ramai pendaki.

Penulis juga dimaklumkan jika pada hujung minggu atau cuti umum, boleh dikatakan agak ramai yang mengunjungi gunung berkenaan. Apatah lagi, jika sebelum negara dilanda penularan pandemik Covid-19.

Penulis difahamkan Gunung Angsi yang diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan hanya membenarkan 20 pendaki dalam satu kumpulan pada satu-satu masa untuk mendaki gunung berkenaan.

Malah, pendaki juga dikenakan caj permit RM5 seorang bagi membantu Jabatan Perhutanan melaksanakan aktiviti penyelenggaraan dan memastikan keadaan ekopelancongan itu dalam keadaan baik.

Tidak sekadar itu, pengunjung juga perlu membuat pendaftaran di kaunter pintu masuk pendakian di laluan Bukit Putus seawal jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari berkerja.

LALUAN denai menuju puncak Gunung Angsi kadangkala landai.
LALUAN denai menuju puncak Gunung Angsi kadangkala landai.

LALUAN permulaan pendakian yang bertangga.
LALUAN permulaan pendakian yang bertangga.

Manakala, pada cuti umum atau hujung minggu kaunter dibuka seawal jam 6.30 pagi. Diingatkan juga aktiviti bermalam tidak dibenarkan.

Ketika mendaki Gunung Angsi penulis melihat ia diuruskan cukup baik terutama dengan adanya kemudahan tandas sebelum memulakan pendakian dan beberapa laluan mencanak disediakan tali.

Tidak sekadar itu, memandangkan ia adalah Hutan Simpan Kekal Angsi, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan juga melarang pengunjung membuat aktiviti pembakaran atau merosakkan tumbuhan ketika berada di dalamnya.

Disebabkan faktor itu, ketika aktiviti mendaki ke puncak yang mengambil masa sekitar dua jam, boleh melihat laluannya bersih dan beberapa lokasi untuk berehat juga mempunyai pondok yang terjaga.

Sepanjang pendakian ke puncak, penulis dapat melihat keindahan flora yang segar menghuni di kiri dan kanan laluan denai.

PAPAN tanda yang cantik di puncak Gunung Angsi.
PAPAN tanda yang cantik di puncak Gunung Angsi.

Bagi mereka yang gemar merakam keindahan itu, pastinya mendaki Gunung Angsi boleh dijadikan sebagai pilihan.

Malah, ada juga di beberapa laluan terdapat tumbuh-tumbuhan yang membentuk 'pintu gerbang'. Sememangnya formasi tumbuh-tumbuhan itu amat unik dan dapat mengubat sedikit ketika penat mendaki.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti mendaki, pastinya dapat merasai cabaran awal di Gunung Angsi yang dihidangkan dengan laluan mencanak sekitar sejam pertama pendakian dan hanya beberapa laluan pendek yang agak mendatar.

Jadi tidak mustahil ia menjadi sasaran ramai pendaki tegar atau pelari denai untuk menguji ketahanan fizikal dan mental mereka dengan menjadikan Gunung Angsi sebagai lokasi untuk berlatih sebelum mendaki gunung yang lebih ekstrim.

Di puncaknya pula terdapat papan tanda dan beirut lama serta pondok untuk berehat.

Ketika penulis sampai ke puncak, cuaca agak baik dan tidak ditutupi awan, sekali gus dapat melihat panorama gunung lain di sekitar Gunung Angsi.

Memandangkan pendakian awal ke puncak Gunung Angsi agak mencanak, disarankan pengunjung untuk sentiasa berhati-hati ketika turun dan menggunakan tali yang sudah dipasang sekiranya tidak yakin melalui beberapa permukaan cerun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:19 AM