PENULIS (tiga dari kiri) bersama jurupandu dan rakan pendaki yang menyertai ekspedisi  'Trans Naning Reverse'.
PENULIS (tiga dari kiri) bersama jurupandu dan rakan pendaki yang menyertai ekspedisi 'Trans Naning Reverse'.
Julia Ismail


PENDAKIAN gunung adalah satu aktiviti lasak yang tidak semua individu boleh melakukannya.

Sememangnya ia nampak mudah, namun cabaran yang perlu dihadapi berbeza mengikut setiap pendakian dan lokasi cabaran.

Bagi pendaki, cabaran yang berbeza pasti ditagih setiap kali memulakan ekspedisi.

Pelbagai lokasi akan dipilih mengikut tahap kesukaran dan juga pengalaman sebagai pencapaian peribadi.

Terdapat kira-kira 250 gunung di seluruh Malaysia yang menjadi tumpuan pendaki dan Negeri Sembilan antara lokasi yang menjadi pilihan ekoran terdapat banyak gunung yang sesuai untuk pendakian santai.

Baru-baru ini, penulis bersama Kelab Kembara Kosmopolitan berpeluang meneroka Trans Naning di Negeri Sembilan dengan menawan tujuh puncak gunung di Negeri Sembilan dalam satu pendakian.

Tujuh puncak itu adalah Gunung Tampin Selatan (733 meter), Tampin Utara (728 meter), Puncak 705 (705 meter), Puncak 701 (701 meter), Gagak (807 meter), Rembau (884 meter) and Datuk (700 meter) dengan jarak keseluruhan 21 kilometer.

Ekspedisi ini diketuai Norzasrudin Mohamed Nor dengan membawa enam pendaki memulakan pendakian dari kaki Gunung Tamping dan bakal berakhir di Gunung Datuk.

Bagi ekspedisi ini, ia digelar Trans Naning Reverse kerana kebiasaannya pendaki akan mula mendaki dari kaki bukit Gunung Datuk dan berakhir di Gunung Tampin.

PENDAKIAN 'Trans Naning Reverse' menuntut kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
PENDAKIAN 'Trans Naning Reverse' menuntut kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.

Penulis bersama pasukan berkumpul di kaki bukit Gunung Datuk dan menaiki lori untuk ke kaki Gunung Tampin. selepas taklimat dan bacaan doa pendakian bermula pada jam 4 pagi .

Pendakian seawal pagi itu memberikan satu pengalaman yang berbeza berbanding mendaki pada sebelah siang. Pendaki perlu menggunakan lampu suluh atau lampu kepala.

Ketika mendaki, angin agak kuat. Ada juga rasa takut tapi disebabkan mendaki beramai-ramai, jadi suasana menjadi kurang menakutkan.

Kami mendaki melepasi puncak Gunung Tampin Selatan dan berhenti di puncak Gunung Tampin Utara untuk berehat dan menunaikan solat Subuh.

Pendakian pada awal pagi itu tidak berapa sukar mungkin kerana cuaca masih sejuk dan laluannya agak mendatar.

Kemudian, pendaki perlu meredah trek yang agak mencabar dan curam dari Puncak 705 untuk ke Kem Ultra iaitu kawasan landai bersungai. Di sini pendaki berhenti berehat sambil menikmati pemandangan sungai jernih yang dipenuhi ikan.

Seterusnya adalah pendakian dengan trek mendaki tanpa kawasan landai dari Kem Ultra ke Puncak 701. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai ke Puncak 701.

PUNCAK Gunung Datuk yang berjaya ditawan.
PUNCAK Gunung Datuk yang berjaya ditawan.

Apabila tiba di Puncak 701, pendaki sudah tidak mempunyai pilihan untuk berpatah balik dan hanya perlu meneruskan perjalanan.

Pada ketika ini, majoriti pendaki sudah tidak tidur melebihi 24 jam namun perjalanan ke Puncak Gagak, Rembau dan seterusnya ke puncak Gunung Datuk perlu diteruskan. Kami semua selamat tiba di puncak terakhir iaitu Gunung Datuk pada 6 petang.

Akibat bergerak turun dari Gunung Datuk agak lewat ekoran berehat sambil mengabadikan gambar di puncak Gunung Datuk terlalu lama, para pendaki tiba di kaki gunung setelah matahari melabuhkan tirainya.

Keseluruhan pendaki tiba di kaki bukit Gunung Datuk sekitar 9 malam dengan selamat sekali gus berjaya menamatkan misi menawan tujuh puncak selama 17 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 6:30 AM