GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Selepas berakhirnya Ramadan umat Islam kembali kepada kehidupan biasa. Ibadah puasa yang dilalui sepanjang Ramadan banyak mendidik agar menjadi manusia yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Begitu juga dengan amalan lain yang secara totalnya meningkat pada Ramadan. Namun, yang lebih penting ialah meneruskan amal ibadah pada Ramadan ke bulan seterusnya.

Beribadah adalah satu amalan yang sangat penting dalam Islam. Menjadi seseorang yang sentiasa beribadah mempunyai banyak kelebihan yang memberi kesan positif kepada individu dan masyarakat secara keseluruhannya. Dalam al-Quran dan hadis, terdapat banyak petunjuk berkaitan kepentingan beribadah dan kesannya kepada kehidupan manusia secara keseluruhan. Antara kelebihan menjadi seorang yang sentiasa beribadah ialah meningkatkan hubungan individu dengan Allah SWT. Dengan melaksanakan ibadah seperti solat, puasa dan membaca al-Quran, seseorang itu lebih dekat dengan penciptanya. Ini membantu memperkuatkan iman dan takwa individu serta membina kebersamaan yang kukuh antara diri dengan Allah SWT.

Selain itu, beribadah juga membentuk disiplin diri. Aktiviti ibadah seperti menunaikan solat, puasa dan mengeluarkan zakat mengajar individu untuk mengatur masa dan bertanggungjawab terhadap kewajipan agama. Disiplin ini tidak hanya berlaku dalam aspek keagamaan, tetapi juga merentasi kehidupan seharian, termasuk dalam pelajaran, kerja dan hubungan sosial.

Antara kelebihan lain orang yang sentiasa beribadah adalah meningkatkan kepekaan sosial dan empati terhadap orang lain. Islam mengajar kepentingan memberi bantuan kepada yang memerlukan melalui amalan sedekah dan zakat. Dengan sentiasa beribadah, seseorang itu lebih cenderung membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Ini membantu mengurangkan jurang sosial dan meningkatkan keharmonian dalam masyarakat.

Selain kelebihan kepada individu, beribadah juga memberi kesan positif kepada masyarakat. Masyarakat yang sentiasa beribadah cenderung mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka menghormati hak orang lain, mengamalkan kejujuran dan memupuk sikap bertimbang rasa. Ini membentuk masyarakat yang amanah dan harmoni, di mana keadilan dan keamanan menjadi keutamaan.

Pentingnya beribadah juga tercermin dalam pengiktirafan Allah dalam al-Quran dan hadis. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang yang) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 21)

Sepanjang Ramadan umat Islam dididik agar menjaga percakapan daripada menuturkan kata-kata yang tidak baik, termasuk menggelar orang dengan gelaran tertentu. Al-Quran dan hadis memberikan arahan jelas mengenai pentingnya memelihara lidah dan menjauhi perkataan tidak baik. Ibadah dan akhlak Muslim semasa Ramadan sepatutnya diteruskan pada bulan lain, khususnya berkaitan menjaga lidah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang Mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia." (Surah, al-Isra', ayat 53)

Ayat ini menegaskan pentingnya menggunakan perkataan yang baik dan berhemah kerana kata-kata yang tidak baik boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian.

Hadis Rasulullah SAW juga menegaskan pentingnya menjaga lidah dan menggunakan kata-kata yang baik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang percaya kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menekankan dalam situasi kita tidak mampu mengucapkan perkataan yang baik, adalah lebih baik untuk berdiam diri daripada mengucapkan perkataan yang buruk atau menyakitkan.

Selain itu, Rasulullah SAW juga memberikan peringatan tegas terhadap penggunaan kata-kata yang merendahkan atau menghina orang lain. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memanggil saudaranya dengan sebutan yang buruk, maka dosanya akan kembali kepadanya, selagi saudaranya tidak layak diberi gelaran itu" - (Hadis Riwayat Muslim). Ini menunjukkan betapa seriusnya Islam memandang kepada penghinaan dan kecaman terhadap orang lain melalui kata-kata.

Dengan demikian, menjaga percakapan dan mengekalkan lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak baik merupakan kewajipan dalam Islam. Hal ini tidak hanya menghindarkan fitnah dan permusuhan di kalangan masyarakat, tetapi juga mencerminkan kedewasaan dan kesopanan berkomunikasi. Sebagai umat Islam, adalah penting bagi kita untuk sentiasa merujuk kepada ajaran al-Quran dan hadis dalam setiap aspek kehidupan, termasuk cara kita berbicara dan berinteraksi.

Tegasnya, larangan berkata keji kepada orang lain adalah satu prinsip asas dalam ajaran Islam. Islam mengajar umatnya menghormati dan menghargai orang lain serta berkomunikasi dengan cara sopan dan berhemah. Melalui pengamalan ajaran ini, diharapkan tercipta masyarakat harmoni dan penuh kasih sayang.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:01 AM