MASJID dan surau dipenuhi dengan kehadiran jemaah bagi menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amal ibadah yang disyariatkan.
MASJID dan surau dipenuhi dengan kehadiran jemaah bagi menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amal ibadah yang disyariatkan.
Mohd Shahrizal Nasir

Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana kita dikurniakan nikmat untuk berada dalam bulan Ramadan tahun ini. Sesungguhnya tidak semua orang menikmati kurniaan peluang melaksanakan ibadah di bulan mulia ini. Dengan sentiasa mensyukuri nikmat ini, mudah-mudahan Allah SWT akan terus memilih kita untuk berada dalam bulan Ramadan dan meraih rahmat-Nya.

Semua orang tahu mengenai keistimewaan Ramadan berbanding bulan lain. Justeru, semangat di awal Ramadan ini kelihatan semua orang teruja melaksanakan ibadah khususnya pada waktu malam. Masjid dan surau dipenuhi dengan kehadiran jemaah bagi menghidupkan malam Ramadan dengan amal ibadah yang disyariatkan.

Walau bagaimanapun, seperti mana berlaku pada tahun-tahun sebelum ini, di kebanyakan tempat berlaku kemerosotan jumlah jemaah yang hadir menjelang akhir Ramadan. Ini mungkin disebabkan ramai yang khatam al-Quran, maka tinggal sedikit sahaja yang masih memegang mushaf. Jemaah solat Tarawih juga semakin berkurangan kerana masing-masing mungkin sudah keletihan. Ini semua berlaku kerana kita kurang ilmu mengenai keistimewaan Ramadan.

Bagi mengelakkan hal seumpamanya berlaku pada Ramadan kali ini, kita perlu mengatur strategi bagi memastikan momentum pelaksanaan ibadah berada pada tahap yang baik, malah perlu dipertingkatkan. Ini kerana kelebihan Ramadan perlu direbut pada sepuluh malam terakhir dalam Ramadan.

Istiqamah dalam pelaksanaan ibadah pada Ramadan boleh dilakukan sekiranya seseorang itu memahami kelebihan bulan ini. Oleh itu, terdapat banyak nas sahih yang memperkatakan mengenai kelebihan beribadah pada bulan Ramadan. Semua kelebihan ini disebut Rasulullah SAW bagi menggalakkan umatnya melaksanakan ibadah dengan istiqamah serta berusaha meningkatkan mutunya pada akhir Ramadan.

"Sesiapa yang menghidupkan malam (beribadah) pada bulan Ramadan kerana iman dan mencari pahala, maka diampuni semua dosanya yang telah lalu." (Muttafaq 'alaih). Hadis ini cukup jelas menyatakan kelebihan beribadah pada setiap malam dalam bulan Ramadan. Sebulan penuh ini perlu dimanfaatkan untuk beribadah kepada Allah SWT untuk mendapat keampunan-Nya. Tawaran ganjaran ini terbuka kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan. Maksudnya, semua orang mempunyai peluang yang sama rata. Namun ia memerlukan usaha yang berterusan.

Sekarang kita masih mempunyai semangat yang kuat untuk menunaikan ibadah. Usah lunturkan semangat terbabit. Hayati kelebihan Ramadan sepertimana yang dijelaskan Rasulullah SAW, nescaya kita akan sentiasa melakukan ibadah berdasarkan ilmu, bukan semangat semata-mata.

Selain itu, untuk memastikan semangat beribadah kita kekal konsisten, maka perlu lihat juga kemampuan diri. Jangan kerana terlalu bersemangat, maka kita lakukan ibadah dengan tergesa-gesa sehingga badan menjadi terlalu letih. Akhirnya nanti diri akan cepat berasa letih dan tidak bersemangat untuk memanfaatkan hari-hari seterusnya dalam bulan Ramadan.

Sebab itu solat sunat Tarawih dilakukan sebanyak dua rakaat diikuti dua rakaat lagi sehingga selesai mengikut imam. Tidak ada orang yang melakukan solat Tarawih sama ada lapan rakaat ataupun 20 rakaat secara berterusan dengan satu salam. Ini bukti pensyariatan ibadah oleh Islam yang meraikan kadar kemampuan manusia. Solat juga tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia akan membuatkan diri cepat letih dan mungkin menghilangkan rasa seronok ketika beribadah.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, jika engkau melihat bahawa Subuh akan datang, maka solatlah satu rakaat untuk membuat rakaat solatnya menjadi ganjil." Ibnu Umar ditanya: "Apakah maksud dua rakaat, dua rakaat?" Ibnu Umar menjawab: "Maksudnya, setiap dua rakaat, salam." (Muttafaq 'alaih)

Perhatikanlah bagaimana Allah SWT menjelaskan perihal ibadah supaya dilakukan dalam keadaan yang tidak membebankan diri sendiri. Setiap manusia ada nafsu yang perlu ditangani mengikut panduan Islam. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah al-Quran dengan tartil." (Surah al-Muzzammil, ayat 1-4)

Setiap hari dalam bulan Ramadan mempunyai fadilat yang sama melainkan malam Lailatuqadar. Pemahaman sesetengah orang yang mengatakan setiap malam dalam bulan Ramadan mempunyai keistimewaan yang tersendiri perlu diperbetulkan. Hal ini kerana ramai yang akan memilih-milih hari tertentu berdasarkan fadilat yang sampai kepadanya dan meninggalkan malam yang fadilatnya tidak cukup menarik bagi dirinya.

Alqamah pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah tentang ibadah Rasulullah SAW, katanya: "Apakah Rasulullah  SAW  mengkhususkan hari-hari tertentu dalam beribadah?" Lalu dijawab oleh Saidatina Aisyah: "Tidak. Baginda selalu beribadah terus-menerus tanpa putus." (Muttafaq 'alaih)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang terus-menerus dilaksanakan walaupun sedikit." (Muttafaq 'alaih). Semua ini membuktikan setiap orang perlu memastikan bahawa ibadah dalam bulan Ramadan dilaksanakan dengan konsisten bukan sahaja pada awalnya, tetapi diteruskan pada pertengahan bulan dan digandakan pada sepuluh malam terakhir.

Ada kalanya untuk menaikkan semangat beribadah, kita perlu menjadikan ibadah orang lain sebagai pemangkin kepada motivasi diri sendiri. Apabila melihat orang lain pergi ke masjid untuk menunaikan solat fardu, kita juga sepatutnya rasa ingin turut ke masjid. Apabila melihat orang melazimi dirinya dengan membaca al-Quran sepanjang Ramadan, kita juga termotivasi untuk membaca al-Quran meskipun hanya satu muka surat setiap kali selepas menunaikan solat fardu.

Begitu juga sekiranya kita menerima juadah berbuka puasa daripada jiran, kita juga perlu rasa ingin memberi juadah kepada mereka pada hari berikutnya. Ini satu 'perlumbaan' yang sihat dalam usaha memastikan diri tidak terlepas peluang meraih ganjaran di bulan Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "…Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Satu lagi perkara yang perlu diusahakan untuk memastikan kita sentiasa istiqamah melakukan ibadah ialah dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Dalam usaha untuk meraih rahmat dan ganjaran istimewa daripada Allah SWT, maka kita tidak boleh berjaya melainkan dengan pertolongan daripada-Nya. Jangan rasa hanya kudrat diri sendiri mampu untuk melakukan ibadah kerana semuanya bergantung kepada izin-Nya jua.

Perbanyakkan membaca doa yang diajar Rasulullah SAW kepada sahabatnya bernama Mu'az bin Jabal: "Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadah terbaik kepada-Mu." (Hadis riwayat Abu Daud). Ibadah yang terbaik sepertimana yang dinyatakan Rasulullah SAW ialah ibadah yang dilakukan secara konsisten.

Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 5:59 AM