ALLAH SWT  merahsiakan waktu berlaku lailatulqadar bagi memberi pahala yang berlipat ganda kepada hamba-Nya.
ALLAH SWT merahsiakan waktu berlaku lailatulqadar bagi memberi pahala yang berlipat ganda kepada hamba-Nya.
Dr Azri Bhari

MASYARAKAT Islam di seluruh dunia sudah berada di penghujung Ramadan tahun ini yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi bakal meninggalkan dan berpisah dengan bulan sangat mulia lagi berkat.

Setiap individu dianjurkan meraih peluang meningkatkan amal ibadah ketika di ambang 10 malam terakhir kerana terdapat satu malam istimewa yang disebut lailatulqadar sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kebesaran lailatulqadr itu? Lailatulqadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." (Surah al-Qadr: 1-5)

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir Ramadan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut." (Riwayat Ibnu Hibban: no.3436)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: "Carilah lailatulqadar pada malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir Ramadan." (Riwayat al-Bukhari: no.2017)

Terdapat beberapa amalan soleh yang dianjurkan untuk dilakukan dan diperbanyakkan pada 10 malam terakhir Ramadan seperti melaksanakan ibadah qiamullail, tahajud, witir, iktikaf, berzikir, berselawat, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

Sekiranya di bulan selain Ramadan kurang melaksanakan amalan sunah, maka inilah masa untuk masyarakat Islam bersungguh-sungguh dalam beribadah supaya Allah SWT menggandakan pahala amalan kepada yang berpeluang dan direzkikan mendapatkan lailatulqadr.

Terdapat beberapa tujuan dan hikmah di sebalik kerahsiaan berlaku lailatulqadar kepada masyarakat Islam supaya terus memburu dan mencari malam yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

Pertama,  menzahirkan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT. Allah SWT berhak mengatur dan merancang setiap sesuatu tanpa campur tangan sesiapa pun. Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu dan perkara yang telah diciptakan termasuklah waktu lailatulqadr.

Ilmu Allah SWT sangat luas dan mustahil dikuasai oleh manusia atau makhluk ciptaan-Nya sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah: 30)

Ayat-ayat di atas membuktikan bahawa ilmu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia amat terbatas. Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu perkara sama ada yang nyata mahupun tersembunyi.

Kedua,  memastikan manusia kekal fokus dan sentiasa berterusaan dalam keadaan beribadah kepada Allah SWT. Sekiranya tidak diketahui bilakah berlaku lailatulqadar secara spesifik, menjadikan seseorang terus beribadah pada semua malam dan tidak hanya pada malam tertentu sahaja. 

Demikianlah, sikap dan keseriusan orang soleh terdahulu sibuk dengan melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir untuk mendapatkan lailatulqadar.

Istiqamah dalam melaksanakan ibadah dan perintah Allah adalah suatu tuntutan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah-Ku seterusnya) dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku)." (Surah Yunus: 89)

Ketiga,  berpeluang melipatgandakan amalan dan pahala. Sekiranya, lailatulqadr telah diketahui, sudah tentu sikap segelintir individu akan mengabaikan waktu malam yang lain pada Ramadan daripada beribadah.

Justeru itu, Allah SWT telah merahsiakan waktu berlaku lailatulqadar bagi memberi pahala yang berlipat ganda kepada hamba-Nya yang sentiasa berusaha beribadah dan konsisten berdoa kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr: 3)

Keempat,  mencegah dan memelihara manusia daripada melakukan maksiat. Segelintir individu tidak dapat menahan dan mengawal diri daripada melakukan perbuatan maksiat yang boleh merugikan diri sendiri.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Semua anak Adam itu melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat." (Riwayat Ibn Majah: no.4392)

Betapa bahaya dan malangnya sekiranya seseorang mendapatkan lailatulqadar, namun masih berani bergelumang dengan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Ramadan adalah bulan yang terbaik bagi seseorang hamba yang mahu diampunkan semua dosa. Namun, terdapat segelintir yang cukup rugi apabila memasuki Ramadan, tetapi dosa tidak diampunkan oleh Allah SWT.

Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda bersabda: "Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)." Baginda ditanya: "Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin." Maka Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Sesiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin." (Riwayat Ibn Hibban: 907)

Demikianlah, masyarakat Islam perlu bermuhasabah terhadap semua amalan dalam setiap detik kehidupan yang dilalui dan seterusnya bertaubat kepada Allah SWT di atas setiap dosa dan kesalahan yang telah dilakukan.

Perlu disedari bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. Justeru, peluang keemasan yang disediakan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 5:59 AM