HORMAT kepada yang lebih lama bekerja adalah perlu meskipun pangkat dan jawatan kita lebih tinggi daripada mereka. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
HORMAT kepada yang lebih lama bekerja adalah perlu meskipun pangkat dan jawatan kita lebih tinggi daripada mereka. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Budaya dan adat orang Melayu memang terkenal daripada segi hormat-menghormati. Sejak kecil lagi, memang kita sudah diajar supaya menghormati sesiapa pun tidak kira sama ada tua atau muda.

Penulis percaya bukan budaya Melayu sahaja yang menutarakan sedemikian, malah jika sesuatu yang baik kesudahannya, budaya asing atau mana-mana budaya turut akan menyetujuinya. Dalam penulisan kali ini penulis mahu mengutara dan membincangkan secara santai berkaitan isu respek atau hormat.

Isu ini banyak berkisar dalam dunia pekerjaan sama ada sebuah organisasi kerajaan mahupun swasta, dewasa ini selalu sahaja kedengaran masalah sudah saling tidak menghormati antara satu sama lain dalam bidang pekerjaan dan persekitarannya. Yang muda sudah tidak hormat pada yang tua lagi disebabkan pangkat sudah mencanak tinggi dan yang di puncak dengan ego tidak jejak bumi mendongak terus menerus tanpa saling menghormati pekerja bawahan dan lebih malang lagi hanya memandang sebelah mata atau tidak berpaling langsung.

Paling utama, memang ada banyak cara untuk kita menunjukkan rasa hormat terhadap orang lain. Bagi yang muda, semudah memberi salam itu dianggap menghormati kepada yang lebih tua dan dalam setiap perbuatan yang kita lakukan, hormat-menghormati adalah aspek sangat penting. Tidak kira dalam bidang kerja atau aktiviti dilakukan, hormat adalah perkara pertama perlu diambil kira.

Celik mata bangun pagi, makan, berjalan, bercakap, memandu, sehingga tengah tidur pun, kita mesti menghormati. Ini kerana kalau tidur berdengkur sampai jiran dengar, memang tidak patut lah jika hendak dikatakan dalam contoh paling mudah difahami.

Ketika permulaan penulis dalam bidang penguat kuasa membina kerjaya dalam bidang keselamatan, memang diakui kita bersendirian dalam dunia dan perjalanan pekerjaan yang baru ditempuhi, hormat kepada yang lebih lama bekerja adalah perlu meskipun pangkat dan jawatan kita lebih tinggi daripada mereka.

Tidak salah sekadar hormat kepada yang lebih tua dan semestinya yang tua walaupun pangkatnya tidak setinggi mana akan sedar diri dan menghormati ketuanya walaupun jauh lebih muda daripada mereka.

Janganlah pula yang muda berpangkat lebih tinggi bongkak dengan pangkat dan kuasa tanpa sedikit pun memandang jasa orang tua yang lama ini. Bila kita saling menghormati, itu akan menunjukkan nilai budi pekerti kita. Secara tidak langsung, kita menunjukkan betapa tingginya ilmu yang kita miliki. Bahkan, apabila kita pandai hormat orang, secara automatik orang akan berfikir kita berpendidikan tinggi. Maka, senang cakap lubang jerawat pun boleh jadi flawless bila kita pandai hormat orang.

Bagi jenis yang muka nak ketat saja dan mungkin tidak tahu nak hormat orang, belajar setinggi mana pun tak berguna. Ingatlah, sentiasa ada yang lebih baik daripada kita. Hormat bukan sekadar sesama manusia, namun menghormati persekitaran juga perlu.

Oleh itu, jangan lupa tengok sekeliling dulu sebelum berniat membuat sesuatu. Secara tidak sedar, setiap apa yang kita 'muat naik' dalam laman sosial perlulah berhemah dan menghormati orang lain.

Jangan main sedap tangan seronok tulis untuk memuat naik sesuatu hanya disebabkan mahu ingin meluahkan apa yang kita fikir ia betul. Sekali lagi, penulis tegaskan jika kita nak dihormati, maka kita perlu tahu untuk menghormati orang lain.

Sebenarnya banyak yang boleh dibincangkan berhubung isu hormat ini. Cuma, penulis sekadar menyentuh perkara umum saja. Dapat disimpulkan dengan prinsip yang penulis selalu jadikan pegangan untuk diri iaitu respect is earned, not given. If you seek for it, you seek attention not respect.

Hormat adalah asas dalam kehidupan kerana beberapa sebab:

• Mengekalkan perhubungan: Hormat-menghormati membentuk asas perhubungan yang sihat sama ada hubungan peribadi, profesional atau masyarakat. Ia memupuk kepercayaan, komunikasi dan kerjasama.

Apabila orang berasa dihormati, mereka lebih cenderung untuk membalas penghormatan itu yang membawa kepada hubungan lebih kukuh.

• Menggalakkan kesaksamaan: Hormat mengakui nilai dan maruah yang wujud setiap individu tanpa mengira latar belakang, kepercayaan atau status mereka. Ia menggalakkan kesaksamaan dengan melayan semua orang dengan adil dan bertimbang rasa.

Dalam persekitaran yang penuh hormat, diskriminasi dan prasangka kurang berkemungkinan berkembang.

• Memupuk persefahaman: Hormat-menghormati menggalakkan pemikiran terbuka dan empati. Dengan menghargai pelbagai perspektif dan pengalaman, individu boleh belajar antara satu sama lain dan meluaskan pemahaman mereka tentang dunia. Ini boleh membawa kepada toleransi yang lebih besar dan penerimaan perbezaan.

• Mewujudkan persekitaran positif: Hormat-menghormati menyumbang kepada suasana positif dan menyokong dalam pelbagai konteks seperti sekolah, tempat kerja dan komuniti.

Apabila orang berasa dihormati, mereka lebih cenderung untuk berasa selamat, bermotivasi dan terlibat dalam persekitaran mereka yang membawa kepada peningkatan produktiviti dan kesejahteraan.

• Menyelesaikan konflik: Komunikasi yang menghormati adalah penting untuk menyelesaikan konflik secara membina. Apabila individu mendekati perselisihan pendapat dengan saling menghormati, mereka lebih cenderung mendengar secara aktif, menyatakan diri mereka dengan tenang dan mencari penyelesaian secara kolaboratif.

Ini boleh mengelakkan konflik daripada meningkat dan menggalakkan perdamaian.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:01 AM