HORMAT-MENGHORMATI adalah menjadi asas kepada perpaduan  dalam masyarakat khususnya dalam negara berbilang kaum dan bangsa sebagaimana di negara kita. FOTO Arkib NSTP
HORMAT-MENGHORMATI adalah menjadi asas kepada perpaduan dalam masyarakat khususnya dalam negara berbilang kaum dan bangsa sebagaimana di negara kita. FOTO Arkib NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Menghormati orang lain adalah sifat terpuji. Semua manusia adalah ingin dihormati dan dihargai walau apa perbezaan sekali pun antara mereka.

Perasaan suka dihormati adalah menjadi penghubung antara sesama manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Walau dalam apa keadaan sekali pun, setiap orang sangat menghargai penghormatan yang diberikan rang lain. Oleh itu, sikap hormat kepada orang lain adalah sangat dituntut dalam Islam.

Hormat-menghormati adalah menjadi asas kepada perpaduan dalam masyarakat khususnya dalam negara berbilang kaum dan bangsa sebagaimana di negara kita. Jika tidak kerana perbezaan bangsa atau agama sekali pun, sifat hormat-menghormati membawa kepada keutuhan hubungan antara sesama bangsa dan agama.

Lumrah untuk berbeza pendapat atau pandangan antara sesama manusia adalah perkara biasa. Malah, ia bukan menjadi penghalang kepada hubungan yang baik sesama mereka.

Dalam konteks ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Jelas difahami daripada ayat ini bahawa Allah SWT menjadikan kepelbagaian bangsa di dunia ini adalah dengan tujuan supaya mereka kenal-mengenal dan menghubungkan jalinan perhubungan yang baik. Bukan bermaksud kepelbagaian kejadian Allah itu membawa kepada perpecahan dan tidak kesefahaman antara sesama manusia sehingga kepada dalam masalah khusus dan umum dalam agama.

Sebagai contoh yang biasa ialah perbezaan pandangan ulama dalam Islam berkaitan perkara cabang yang tertentu seperti dalam bidang fekah. Adapun dalam perkara usul ataupun asas seperti akidah, maka tiada perbezaan pandangan yang dibenarkan. Justeru, dalam perkara yang kita diberi kebebasan untuk berbeza pandangan, ia adalah ruang untuk keluasan pergerakan hidup dan membawa rahmat kepada semua.

Al-Khatib Al-Baghdadi mengatakan: "Jika kalian melihat seseorang melakukan amalan yang itu diperselisihkan sedangkan engkau berpendapat lain (dari amalan itu) maka jangan engkau larang ia."

Merujuk kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat kita secara khusus, banyak dilihat pertembungan antara pandangan yang berbeza dan kadang-kadang membawa kepada permusuhan. Ini kerana masing-masing yang membawa atau melontar pandangan tidak bersedia untuk menerima pandangan sebaliknya apatah lagi untuk dihormati.

Bayangkan sekiranya tiada perbezaan pandangan antara ulama mengenai perkara semudah wuduk sebagai contoh, pastinya membawa kepada kesukaran dalam melaksanakan ibadat dalam situasi tertentu. Begitu juga apabila berhadapan pelbagai pandangan dalam mazhab Islam yang berbeza. Ulama sejak dahulu mengambil dan memperaktikkan semangat hormat-menghormati antara sesama mereka termasuk kepada orang yang sudah meninggal daripada kalangan mereka. Antara yang paling tekenal ialah kata-kata Imam al-Syafei Rahimahullah yang bermaksud: "Pendapatku adalah benar yang mengandung kemungkinan salah, sedangkan pendapat orang lain selain aku adalah salah yang mengandung kemungkinan benar."

Mereka juga sangat hormat-menghormati sesama mereka walaupun mereka berbeza pandangan dalam banyak perkara terutama berkaitan perkara yang membabitkan perkara sunat seperti amalan dan sebagainya. Antara mereka wujudnya rasa hormat dan menghargai pandang ulama lain. Kata-kata ini yang menjadi pegangan kepada ulama kita yang selepas daripadanya sehingga hari ini. Perkara ini yang membuka ruang yang luas kepada perkembangan ilmu dalam Islam.

Oleh itu, bagi mereka yang masih berpegang kepada asas yang diletakkan oleh ulama yang terdahulu masih dapat mengawal dan mengekalkan suasana toleransi dan saling menghormati antara sesama mereka. Sepatutnya kita berpegang dengan perintah Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud: "Dan jadilah kalian semua hamba Allah yang bersaudara." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam konteks penyebaran ilmu pengetahuan, kebebasan seluasnya hendaklah diberikan kepada setiap individu untuk menyatakan pandangan masing-masing. Sekiranya ada pandangan yang menyalahi peraturan dan etika, maka pihak berkuasa agama yang sepatutnya memantau dan mengambil tindakan sewajarnya. Adapun untuk mengambil tindakan secara individu adalah tidak sewajarnya. Apatah lagi dalam keadaan yang tidak pasti kebenaran atau kebatilan satu-satu perkara.

Islam juga menganjurkan supaya dalam hal-hal seperti ini, siasatan ataupun tabayyun hendaklah dilakukan khususnya apabila datangnya sesuatu perkhabaran daripada pihak yang tidak berautoriti ataupun yang fasik. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Ayat ini jelas memerintahkan supaya kita bertabayyun apabila berada dalam situasi orang fasik yang membawa berita.

Oleh itu, pendekatan yang sesuai perlu diguna pakai setiap orang demi memastikan sifat hormat-menghormati kekal dan perkembangan ilmu pengetahuan secara khususnya akan terus subur dalam masyarakat. Seterusnya, akan membawa kepada kegemilangan ilmu pengetahuan.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 7:00 AM