FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Dua minggu lalu, penulis menyaksikan satu pertandingan akhir bola tampar sebuah agensi penguat kuasa kerajaan di Stadium Pasir Gudang, Johor yang menemukan pasukan pilihan Topi Merah melawan Baju Biru.

Hebat dan sengit perlawanan itu yang disaksikan penyokong fanatik yang bergendang serta bersorak. Boleh sakit jantung melihat kedua-dua pasukan bersaing dan berbalas asakan.

Pasukan Topi Merah adalah juara bertahan terdiri daripada otai atau tenaga yang semakin hilang kudrat membabitkan usia 50-an yang berbekalkan pengalaman dan mereka dilihat mampu menewaskan pasukan Baju Biru membabitkan tenaga muda berusia 25 tahun ke bawah.

Di akhirnya, pasukan Baju Biru memenangi perlawanan sengit yang berlangsung lima set.

Penulis bukan ingin bercerita mengenai kejohanan, tetapi pengamatan mendapati tenaga melebihi pengalaman bagi sesebuah jabatan penguat kuasaan. Walaupun pengalaman ditagih atau diberi perhatian, tenaga orang muda dianggap fighter dan penting bagi sesebuah pasukan penguatkuasaan.

Penulis tidak menyentuh organisasi atau jabatan lain, tetapi menekankan kepada agensi penguatkuasaan sahaja apabila tenaga itu amat perlu apabila kita berurusan dengan orang ramai.

Dalam konsep penguatkuasaan, menjalankan tugas bukan bererti tenaga tua tidak diperlukan, tetapi dalam erti kata lain, tidak boleh lagi menjadi barisan hadapan dan mereka ini tidak harus diletakkan di bahagian hadapan lagi. Jadi, seseorang ketua harus bijak mengatur penugasan kepada orang lama dengan menjadikan mereka sebagai penyelia atau tenaga pengajar kerana pengalaman dimiliki mereka terlalu banyak dan boleh mengajar anggota baharu menjalankan kerja dengan lebih baik lagi.

Namun, tenaga lama tidak boleh dipinggirkan, tetapi haruslah bijak mengatur tempat tugas yang sesuai bagi umur dan tenaga mereka, takkan kita nak tengok atau biarkan Mamat berusia 50-an berlari menangkap orang yang membuat salah. Nanti, mudah suspek melarikan diri kerana kudrat dan tenaganya tidak seperti dahulu.

Majoriti kita mula bekerja pada usia agak muda dan kesedaran kita perlu mematuhi arahan orang lain adalah sesuatu yang amat sukar dihadapi. Namun, pekerjaan pertama kita, tidak kira betapa tingginya tekanan yang dihadapi menjadi pengajaran hidup paling berharga.

Pengalaman tidak mungkin boleh didapati di mana-mana dan pada satu tahap, mungkin boleh membentuk diri kita di dalam dunia profesional. Pun begitu, orang baharu atau tenaga muda yang baru berkecimpung dalam dunia pekerjaan tidak kira dalam bidang keselamatan, kerajaan atau swasta haruslah diingatkan bahawa hormat kepada orang lama haruslah diterapkan, tidak kira sebesar mana pangkat anda.

Hormat kepada yang lebih tua dan berpengalaman itu perlu walaupun mereka bukan lahir atau merasai zaman teknologi canggih sebagaimana sekarang. Tapi, dengan mesin taip lama digunakan mereka, sesebuah organisasi itu berkembang sehingga sekarang dan dasar yang mereka buat dipakai kini dan hanya ditambah sedikit demi sedikit oleh generasi sekarang untuk keperluan semasa.

Tetapi, dalam dunia pekerjaan sekarang, sikap hormat kepada orang lama kian pudar. Pegawai atasan yang muda memarahi orang lama yang tidak berpangkat.

Segelintir mereka ini tidak lagi memandang hormat tenaga lama atau otai kerana bagi mereka, pangkat adalah hirarki yang wajib dihormati tetapi ingat, pangkat tidak dibawa mati.

Kepemimpinan yang baik bukan daripada maki hamun atau herdik, seorang ketua yang baik dilihat dari segi hala tuju yang hendak dibawa pasukan dipimpinnya dan mencapai objektif organisasi, bukan seorang ketua yang garang dan sebagainya. Nilai masyarakat sekarang dalam dunia pekerjaan adalah amat luntur.

Orang baharu tidak hormat orang lama. Pegawai baharu tidak hormat pegawai lama. Junior tidak hormat senior. Orang muda tidak hormat orang tua. Anak tidak hormat ibu bapa. Orang yang dipimpin tidak hormat kepada pemimpin. Dalam menterjemahkan rasa hormat menghormati, menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan bersopan bermakna menunjukkan rasa hormat kepada golongan itu dengan memberi layanan baik. Nilai amat berkait rapat dengan budaya dan nilai itu sudah pasti berbeza antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat lain. Begitupun,
nilai yang dikongsi oleh setiap manusia untuk hidup harmoni dengan menghormati perbezaan yang wujud antara satu sama lain.

Penulis mula menilai bahawa jika nilai hormat menghormati, toleransi, sabar, penyayang dan sebagainya tidak lagi ada di dalam diri, apakah mereka layak dipanggil manusia bertamadun? Apakah mereka menyangka kemodenan itu adalah dengan adanya kecanggihan material, pangkat dan darjat? Nilai murni orang Melayu adalah Islam, inilah kelebihan agama Islam. Sejarah menceritakan dahulunya orang di Tanah Melayu menganut agama yang agak keras nilainya. Tetapi, selepas kehadiran Islam meresap di jiwa orang Melayu, masyarakat di Tanah Melayu berubah jauh. Inilah nilai yang masih bertahan dan masih lagi dipertahankan.

Jangan kita keliru antara kaca dan permata. Jangan gadaikan nilai emas yang kita ada kepada kemurahan pembangunan yang merosakkan jati diri serta nilai manusiawi kita. Bersyukurlah kerana kini memegang nilai sangat besar di dalam diri kita. Pertahankan dan sebarkan kepada manusia lain supaya menghargai, mempelajari serta mempraktikkan nilai yang bertunjangkan Islam. Walaupun berada di zaman sains dan teknologi, jangan kita menjadi hamba kepada teknologi, sebaliknya biarlah teknologi menjadi hamba kepada kita. Jangan kerana teknologi terhakis rasa hormat pada orang lain.

Rasa hormat ditunjukkan melalui cara kita berbahasa dengan orang lain kerana bahasa adalah medium berkongsi idea dan perasaan. Bahasa termasuk bahasa lisan dan bukan lisan seperti gerak badan dan tulisan. Jika orang bercakap kita buat acuh tak acuh, itu tidak hormat namanya. Apatah lagi jika orang itu lebih dewasa daripada kita.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 7:00 AM