MASZLEE (tengah) beramah mesra dengan kariah Masjid al Huda Bandar Baru Ibrahim di Majid, Simpang Renggam selepas menunaikan solat Jumaat. FOTO/MOHAMAD FAHD RAHMAT
MASZLEE (tengah) beramah mesra dengan kariah Masjid al Huda Bandar Baru Ibrahim di Majid, Simpang Renggam selepas menunaikan solat Jumaat. FOTO/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat

KEMENTERIAN Pendidikan berharap melahirkan lebih ramai murid yang berkemampuan menguasai pelbagai bahasa selain berasa seronok ketika melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) pada masa depan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ia susulan langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menekankan kepentingan berbahasa Inggeris selain penggunaan teknologi dalam aktiviti P&P.

“Yang penting kita menekankan pembudayaan bahasa Inggeris dengan tidak mengenepikan Bahasa Melayu dan menggalakkan bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa keperluan dunia di sekolah.

“Dalam tempoh lima tahun ini, kita berharap dapat menghasilkan murid yang ‘multilingual’ dengan membudayakan pembelajaran secara suka dan seronok. Kita tidak mahu beban,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan barangan keperluan harian kepada 40 penerima terdiri daripada golongan asnaf termasuk fakir miskin di Masjid al Huda Bandar Baru Ibrahim Majid, di Simpang Renggam, hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau sendiri bersama sektor berkenaan akan memastikan hasrat berkenaan mencapai matlamatnya menerusi pendekatan kebahagiaan, kasih sayang, hormat menghormati selain kerja kesukarelaan.

“Kita akan galakkan banyak kerja sukarela, tidak jadi dasar tetapi menjadi budaya. Kita mahu, pembelajaran kita berteraskan literasi dan saya sendiri akan cuba memastikan bersama sektor terbabit untuk membawa literasi seperti filem, dokumentari, kartun, untuk pembelajaran bahasa.

“Pokoknya ialah hendak jadikan pembelajaran bahasa sesuatu yang menggembirakan, kita hendak murid datang ke sekolah dengan gembira, mereka hendak datang sekolah, mereka tak mahu ponteng,” katanya.

Beliau berkata, berharap menerusi pendekatan itu juga nanti dapat menghapuskan budaya curiga mencurigai, prejudis, dengki mendengki dan saling tidak percaya dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Tiga pokok utama dan harap sampai bila-bila, kita mahukan kebahagiaan, saling berkasih sayang antara murid dan guru, kaum, bangsa, agama, bandar dan luar bandar dan saling hormat menghormati.

“Dan perkara ini menjadi tonggak dasar dalam sesi P&P, menjadi budaya di sekolah, kita suka belajar bahasa kerana kita sayang satu sama lain dan saling menghormati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 7:26 PM