KOREAN Wave adalah istilah yang memacu hingga tersebarnya budaya Korea ke pelbagai negara di dunia. FOTO Arkib NSTP
KOREAN Wave adalah istilah yang memacu hingga tersebarnya budaya Korea ke pelbagai negara di dunia. FOTO Arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Sewaktu duduk bersantai di sebuah kafe sementara menunggu isteri membeli-belah di dalam sebuah pasar raya di bandar raya Johor Bahru, penulis melihat kira-kira 10 anak muda lelaki dan perempuan berpakaian ala Korea turut duduk minum.

Semua macam berjanji untuk bertemu dan minum di kafe itu. Sambil mengucapkan 'an nyeongha seyo', mereka gelak dan tertawa dengan mesra.

Penulis yang tidak tahu makna perkataan itu terus melakukan carian di Google sebelum mengetahui itu perkataan bahasa Korea yang bermaksud 'helo' dan turut kedengaran beberapa perkataan lain disebut kumpulan berkeaan.

Pening minum kopi, penulis bertambah pening melihat gelagat pemuda dan pemudi cakap Melayu ala-ala Korea.

Mungkin sekarang ini bukan zaman penulis, tetapi jauh di lubuk hati, timbul persoalan kenapa budaya sedemikian merasuk dan membunuh budaya Melayu itu sendiri.

Adakah ketua atau kerajaan dipimpin mereka yang seusia pak cik ini membuat salah dalam menentukan arus tuju hingga membuatkan mereka ini dihinggapi dan dijangkiti penyakit budaya Korea ini.

Mungkin Generasi Y akan marah yang amat sangat bila penulisan kali ini.

Apa tidaknya, masyarakat hari ini terutama di peringkat muda mudi dan belia remaja sangat taksub dengan nyanyian atau drama Korea atau K-Pop.

Demam Korea menjalar dalam pemikiran dan kehidupan pemuda serta pemudi masa kini dan jika disebut P Ramlee, mungkin mereka berkata 'apa barang tengok budaya lama' sedangkan kita maju ke hadapan dan sanggup meninggalkan budaya tersendiri yang tersemat dalam kalangan orang tua kita.

Apapun, tidak salah menjadi peminat, tetapi janganlah sampai meninggalkan budaya sendiri.

Budaya K-Pop atau K-Drama sudah mulai menjalar dalam kalangan masyarakat kita, produk budaya dari negeri Gingseng dan Ninja itu meninggalkan beberapa impak negatif.

Korean Wave adalah istilah yang memacu hingga tersebarnya budaya Korea ke pelbagai negara di dunia. Tak hanya di Malaysia, ia turut melanda negara lain seperti Indonesia, bahkan negara di Eropah dan Amerika.

Beberapa tahun kebelakangan ini demam Korea memasuki negara kita, tidak hanya drama Korea, muzik K-Pop turut menjangkiti dan digilai masyarakat Malaysia. Sebut saja, Super Junior, BigBang, SNSD, Infinite, EXO hingga BTS mulai menjadi kiblat muzik baru masyarakat dunia termasuk di negara kita.

Lebih-lebih lagi di era internet ini, penyebaran maklumat berlaku dengan cepat dan mudah diakses di mana-mana termasuk telefon pintar.

Alasan mengapa budaya Korea mudah diterima masyarakat kita, kata mereka kerana adanya kemiripan budaya.

Sama-sama berada di kawasan Asia, budaya Korea masih mengenal sopan santun seperti di Malaysia.

Ini menjadi daya tarikan tersendiri. Berbeza dengan budaya barat yang cenderung bebas dan tidak berperaturan serta ganas.

Berikut disenaraikan impak negatif budaya Korea terhadap remaja di Malaysia:

• Menjadi lebih boros

Banyak barang dagangan (merchandise) khas Korea dibawa masuk ke Malaysia dan remaja yang tidak dapat mengawal nafsu pasti akan berbelanja lebih daripada kemampuan kononnya agar tidak ketinggalan zaman atau dicerca rakan kerana kurang Korea nanti.

Menjadi saingan antara mereka berbelanja lebih daripada kemampuan untuk ditunjukkan dalam media sosial bahawa mereka ditakrifkan atau sebaris dan peminat setia Korea.

Perkara sebegini jika tidak dapat ditangani atau dibendung, akan merosakan tatasulisa dan ekonomi mereka.

• Hilang keharmonian

Sering terjadi pertengkaran dan perselisihan faham antara kelab peminat kerana kebanyakan mereka akan memilih artis atau idola sendiri sehingga terjadi perdebatan.

Ada dalam kalangan mereka sering bergaduh serta kata mengata di media sosial demi meluahkan rasa ketidakpuasan hati masing-masing dan sudah pasti hal sedemikian mungkin merosakkan mental mereka yang terbabit.

• Mengabaikan budaya sendiri

Sebagai masyarakat majmuk, kita ada budaya sendiri tetapi akibat terlalu taasub dengan budaya Korea, ada yang sanggup melupakan budaya dipraktikkan nenek moyang kita selama ini.

Mengamalkan budaya Korea dalam kehidupan dan tata cara kehidupan seharian tidak baik dan sesuai untuk ita sebagai rakyat Malaysia yang sudah semestinya perlu ada jati diri sendiri.

• Pilih produk jenama Korea

Kini ramai mengabaikan produk tempatan dan dalam erti kata lain, membantu ekonomi Korea tetapi memiskinkan negara sendiri.

Pada hal produk negara kita kadangkala lebih baik dan bagus kualitinya berbanding dengan barangan Korea. Daripada segi penyanyi pula, kita harusnya lebih membanggakan Datuk Siti Nurhaliza berbanding artis Korea yang rambut berbelah tepi dan menutup mata itu.

• Musibah pembedahan plastik

Ada antara mereka berbelanja ribuan ringgit demi mengikut gaya artis Korea membuat pembedahan plastik.

Hidung kembang hendak dimancungkan, pipi berjerawat hendak dilicinkan, mulut kecil hendak dibesarkan selain bertindik hidung dan lidah.

• Membuang masa

Kini ramai remaja membuang masa melayari TikTok Korea yang bermacam ragam gayanya. Purata lebih tiga jam sehari digunakan untuk melayari TikTok, sedangkan masa itu lebih berfaedah jika meringankan tulang membantu ibu bapa.

Jadi terpulang kepada kita untuk menilai sejauh mana baik atau buruknya sesuatu budaya itu terutama jika kita pandai dan matang untuk mentafsir dan menterjemahkannya.

Janganlah kita memperjuangkannya hingga melupakan budaya dan adat resam orang tua kita terdahulu. Nasihat penulis, 'Jangan duk Korea sangat' mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, tetapi kematangan berfikir akan mendewasakan kita dengan acuan bangsa kita sendiri.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 7:00 AM