Seorang lelaki memeriksa kerosakan di sebuah rumah di kem pelarian di Tulkarm, tempat tentera Israel melakukan serbuan semalaman, pada 19 Januari 2024 di Tebing Barat yang diduduki, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas di Gaza. FOTO AFP
Seorang lelaki memeriksa kerosakan di sebuah rumah di kem pelarian di Tulkarm, tempat tentera Israel melakukan serbuan semalaman, pada 19 Januari 2024 di Tebing Barat yang diduduki, di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas di Gaza. FOTO AFP
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Ada satu perkembangan positif berhubung krisis Hamas-Israel pada bulan pertama 2024 ini. Ia apabila pendengaran awam dalam kes genosid difailkan Afrika Selatan terhadap Israel berlangsung di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di The Hague, Belanda, pada 11 dan 12 Januari lalu.

Ia adalah kali pertama rejim Zionis diheret ke mahkamah dunia berhubung dengan operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza. Pendengaran kes itu berlangsung ketika perang di Gaza memasuki tempoh 100 hari, yang menyaksikan lebih 23,000 penduduk Palestin terkorban.

Afrika Selatan memfailkan kes itu dengan mendakwa rejim Zionis itu melakukan genosid (pembunuhan beramai-ramai) di Gaza. Menurutnya, perbuatan sedemikian dilakukan dengan niat untuk menghapuskan lebih ramai rakyat Palestin di Gaza. Ia mendakwa, tindakan Israel itu melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.

Afrika Selatan turut meminta mahkamah mengeluarkan langkah-langkah sementara bagi melindungi hak rakyat Palestin daripada kemudaratan yang lebih teruk sehingga sukar untuk dipulihkan dan memastikan Israel patuh terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid.

Secara ringkasnya, Afrika Selatan mengemukakan lima tindakan rejim zionis yang didakwanya sebagai genosid.

Salah seorang peguam yang mewakili pasukan Afrika Selatan, Adila Hassim berkata, tindakan pertama yang menunjukkan genosid adalah 'pembunuhan besar-besaran rakyat Palestin di Gaza.' Beliau turut menunjukkan kepada mahkamah, gambar kubur besar di Gaza.

Beliau berkata, Israel membedil kawasan yang diisytiharkan selamat di Gaza dengan bom 200 paun (900 kilogram/g). Menurut Adila, lebih 1,800 keluarga kehilangan beberapa ahli keluarga, manakala ada keluarga yang mana ahlinya langsung tidak terselamat. Katanya, tiada yang selamat daripada serangan Israel termasuk bayi dan kanak-kanak.

Adila berkata, perbuatan kedua yang menunjukkan genosid adalah tindakan Israel yang 'sengaja mengenakan syarat yang tidak boleh mengekalkan kehidupan di Gaza' dan membawa kemusnahan di enklaf itu, melalui pemindahan paksa sebahagian besar penduduknya.

Menurut peguam itu, beribu-ribu keluarga terpaksa berpindah beberapa kali. Pada masa sama, setengah juta penduduk tidak boleh kembali ke rumah selepas ia musnah akibat dibedil Israel. Adila turut menyatakan bagaimana Israel memberi arahan kepada seluruh hospital untuk berpindah dalam tempoh 24 jam tanpa bantuan dalam memindahkan mangsa yang cedera atau memindahkan bekalan perubatan.

Israel melakukan perkara sama di sebahagian besar utara Gaza, di mana lebih daripada satu juta orang diminta berpindah dalam masa yang singkat. "Perintah itu sendiri adalah pembunuhan beramai-ramai," kata Adila.

Menurut peguam ini juga, Israel menyekat makanan dan bekalan air di Gaza, menyebabkan kebuluran yang meluas dan ia menghilangkan keupayaan untuk mengagihkan apa yang ada, dengan menyekat pergerakan pekerja bantuan. Adila turut memainkan klip yang menunjukkan ratusan rakyat Palestin berlari mengejar trak yang membawa bantuan ke Gaza.

Adila menambah, Israel juga sengaja mengenakan syarat yang menafikan penduduk Palestin di Gaza mendapat tempat tinggal, pakaian, peralatan tempat tidur dan barangan bukan makanan kritikal yang lain. Beliau berkata, tiada air selamat untuk diminum, dibersihkan dan dimasak. Pada masa sama katanya, kes penyakit, termasuk cirit-birit, semakin meningkat. Menurutnya, lebih ramai rakyat Palestin mungkin mati akibat kelaparan dan penyakit. Pada masa sama, Israel masih mengepung wilayah tepi pantai itu.

Perbuatan keempat yang menunjukkan genosid, kata Adila adalah serangan tentera Israel ke atas sistem penjagaan kesihatan Gaza yang menjadikan kehidupan di sana tidak mampan. Penjagaan kesihatan Gaza sudah lumpuh akibat serangan Israel selama bertahun-tahun, katanya. Ia kini katanya tidak dapat menampung jumlah orang yang cedera yang memerlukan rawatan menyelamatkan nyawa.

Akhir sekali, Adila mengetengahkan perbuatan kelima yang menunjukkan genosid apabila Israel menghalang rawatan menyelamatkan nyawa yang diperlukan untuk kelahiran bayi. Ini, tambahnya, sama dengan menghalang kelahiran di Gaza, dan tindakan pembunuhan beramai-ramai.

Untuk rekod, ICJ tidak akan membuat keputusan pada waktu terdekat ini mengenai dakwaan genosid, malah, prosiding itu boleh mengambil masa bertahun-tahun. Namun, ICJ dijangka membuat keputusan mengenai permohonan Afrika Selatan supaya mahkamah mengeluarkan keputusan berhubung langkah-langkah sementara bagi melindungi hak rakyat Palestin daripada kemudaratan yang lebih teruk.

Keputusan ICJ juga adalah muktamad dan tidak boleh dirayu. Namun, ia bergantung kepada negara berkenaan, dalam hal ini, Israel, sama ada untuk menguatkuasakannya.

Sama ada keputusan akan berpihak kepada Palestin atau sebaliknya, itu mungkin mengambil masa yang lama lagi.

Namun, sekurang-kurangnya nama Afrika Selatan akan terpahat dalam sejarah apabila menjadi negara paling berani mengheret Israel ke mahkamah dunia untuk berdepan tuduhan paling berat iaitu genosid.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 7:01 AM