Sebahagian kereta kebal tentera Israel. - FOTO AFP
Sebahagian kereta kebal tentera Israel. - FOTO AFP
Bernama-Xinhua

Baitulmaqdis: Israel memutuskan untuk menghadiri pendengaran kes berkaitan "tindakan genosid di Gaza" yang difailkan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Hague, Belanda, Xinhua memetik laporan laman sesawang Israel Ynet petang Isnin.

"Israel telah menandatangani konvensyen menentang pembunuhan beramai-ramai selama beberapa dekad dan kami pastinya tidak akan memboikot prosiding itu, tetapi bangkit dan menangkis plot yang tidak masuk akal terhadap kami," kata penasihat keselamatan negara Israel Tzachi Hanegbi.

Menurut laporan terbabit, keputusan itu didahului dengan perbincangan intensif oleh pegawai-pegawai atasan diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Kes itu difailkan pada Jumaat di mana Israel berdepan tuduhan melanggar Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid berhubung dengan rakyat Palestin di Gaza.

Dalam pemfailan itu, Afrika Selatan turut menggesa ICJ melindungi hak-hak rakyat Palestin daripada sebarang kemudaratan di bawah Konvensyen Genosid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 5:17 PM