GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Bengang betul dengan perangai Mamat ni, kita sibuk bekerja di pejabat, dia tidur kat surau.

Setiap hari, katanya tidak sihat dan ada saja sakitnya. Tetapi, apabila diintai, dia bukan berehat atau tidur dalam surau, tapi tangannya tidak lepas daripada telefon bimbit dan melayari Internet serta media sosial.

Bukan dengki atau iri hati, tetapi jika kerja dia pun kita kena buat sedangkan kerja kita sendiri berlambak, boleh timbul tekanan perasaan dan berbakul sumpah seranah. Selain stres, timbul dosa kering kerana menyumpah orang.

Bukan Mamat sahaja, Senah dan Limah pun sama dan kerap culas waktu kerja. Katanya, hantar anak ke klinik, datuk tak sihat, suami tak balik rumah dan pelbagai lagi alasan.

Semua pekerja sudah lali dengan alasan mereka yang culas dan mengelat ketika bekerja, tetapi kalau bab membodek bos, mereka nombor satu.

Misalnya, waktu bos datang kerja, dia berlari buka pintu kereta dan lebih menyakitkan hati, siap bawa bekal mi goreng lauk ayam dari rumah untuk bos.

Hai Mamat, Senah dan Limah, kalau ikutkan hati, mahu aje kena pelempang, tetapi apakan daya. Terpaksa ikut dan laksanakan kerja walaupun meluat melihat mereka yang culas dan makan kudrat kawan lain dalam kerja.

Orang culas dan pengelat ini umpama duri dalam daging kepada organisasi dan boleh menyakitkan hati rakan setugas. Hendak dimarah, kita sama level atau sama pangkat dengannya.

Hendak diadukan kepada bos, nanti bergaduh. Jadi, terpaksalah kita yang bekerja dengan seikhlas hati menelan kepahitan dengan hati tidak berapa reda.

Culas atau mengelat pada waktu bekerja adalah satu amalan tidak baik, lebih-lebih lagi apabila kita makan kudrat rakan sekerja yang bersusah membuat kerja kita, sedangkan kita bersenang-senang dengan pelbagai alasan tidak masuk akal.

Culas atau mengelat susah untuk dimengertikan dan dianggap 'mengular' dalam bahasa yang senang difahami.

Jika kita hanya buat kerja sendirian di setiap jabatan atau organisasi, ia pasti akan melemahkan pentadbiran atau perjalanan organisasi kerana si culas atau si pengelat yang buruk tingkah lakunya.

Apabila kita menjalankan tugas dengan tidak ikhlas, culas dn mengelat, natijahnya akan menimpa diri kita sendiri.

Realitinya, ramai yang buat begini. Bukan setakat mengular dalam pejabat, malah keluar pejabat awal sebelum rehat makan tengah hari.

Selepas makan, lewat masuk ke pejabat semula dan waktu makan tengah hari sejam menjadi tiga atau empat jam.

Sebenarnya, kesilapan dan pucuk pangkal bermula daripada diri sendiri. Nak suruh ketua pantau pun tidak boleh kalau kita sendiri sudah memang bersikap sedemikian sejak azali.

Kalau sekali sekala, bolehlah diterima. Tetapi kalau setiap hari, itu kes parah. Melebihkan buat kerja sendiri, misalnya membungkus kerepek di rumah.

Jika bekerja sendiri, bolehlah mengisi masa dengan berbaring, bersantai atau tidur. Tiada yang marah dan makan hati.

Bagi yang sudah berkeluarga, beringatlah apa yang kita lakukan. Sama ada halal atau haram, akan mengalir dalam darah keluarga kita dan menjadi darah daging.

Hampir semua pejabat mempunyai politik tersendiri. Politik pejabat adakalanya memberi impak positif dengan menggalakkan persaingan, tetapi tidak kurang membuatkan prestasi pekerja menurun.

Menurut kajian di Universiti Harvard, pekerja culas, malas atau toksik sangat berbahaya kerana sikap mereka mempengaruhi orang sekeliling dan paling kritikal jika bos terpengaruh dengan mereka.

Kesan daripada pekerja sebegini sebenarnya merugikan syarikat dalam pelbagai aspek seperti kos, masa dan tenaga.

Bagaimana untuk kenali pekerja culas? Berikut tujuh jenis pekerja culas dan suka mengelat.

• Kuat mengampu. Ini masalah paling besar. Seorang ketua yang bagus tidak akan menghiraukan pekerja yang kuat mengampu, tetapi fokus kepada pencapaian mereka dan Indek Petunjuk Prestasi (KPI).

Orang yang kuat mengampu biasanya tidak mempunyai pencapaian bagus, tetapi akan mengampu ketuanya dengan harapan dapat mengaburi pencapaiannya.

Baginya, sikap 'yes bos' seolah-olah yes boss all the time walaupun cadangan ketua itu ada kepincangan dan perlu dibaiki.

• Dahaga pujian. Pekerja dalam dunia korporat biasanya memerlukan kerjasama tinggi. Setiap individu memainkan peranan penting bagi menjayakan projek atau task.

Tapi pada masa sama, ada pekerja ingin pujian itu lebih kepadanya kerana merasakan diri lebih bagus daripada orang lain. Sikap begini bahaya kerana boleh menurunkan motivasi pekerja.

• Suka mengungkit. "Kau kena ingat, disebabkan aku, kau dapat tawaran kerja di sini." Sekiranya anda menghadapi masalah ini, sebaiknya anda terus tukar tempat kerja atau pindah ke jabatan lain.

Sikap suka mengungkit ini akan terus melumpuhkan motivasi seseorang untuk bekerja dengan lebih rajin. Lebih-lebih lagi jika yang mengungkit itu daripada senior atau ketua.

• Talam dua muka. Depan cakap lain, belakang cakap lain. Ini satu lagi toksik yang perlu anda hindari. Paling teruk apabila rakan sekerja yang dipercayai, tetapi mempunyai sifat begini.

Untuk kenal talam dua muka ialah apabila mereka tidak tahu yang kita tahu dia berbohong.

• Tidak amanah. Ia selalu dikaitkan dengan duit. Pinjam duit tetapi tidak 'pandai' bayar balik. Belanja besar, sanggup beli yang berjenama tetapi pada masa sama hutang dengan rakan sepejabat belum dilangsaikan.

Malah, jika menipu tuntutan, disuruhnya rakan untuk tolong 'cover line' sekali. Sebaiknya, elaklah orang sebegini bagi menjamin fikiran yang tenang.

• Selalu negatif. Apa sahaja yang keluar dari mulutnya semua negatif. Orang itu salah, orang ini tidak betul. Sikap ini bahaya dan harus diingatkan, seseorang yang boleh bercerita tentang keburukan orang lain kepada anda, bererti mereka turut boleh bercerita mengenai keburukan anda kepada orang lain.

• Selalu rasa betul. Pekerja begini susah untuk bekerjasama terutama jika memerlukan kerjasama berpasukan. Pendapat orang lain tidak mahu diterima lebih-lebih lagi yang jawatannya lebih rendah daripada mereka.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 6:00 AM