Ella
Ella
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Atas permintaan luar biasa, penganjur Hitman Solutions menambah satu hari lagi untuk konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini pada 11 Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, berkata mereka enggan mengecewakan peminat yang terlepas membeli tiket pada 10 Jun selepas licin terjual dalam tempoh 24 jam.

"Atas permintaan ramai yang menghantar mesej langsung dan ciapan di Twitter, kami memutuskan menambah satu malam lagi untuk konsert Ella.

"Kami akan merealisasikan perkara ini khusus buat peminat Ella," katanya.

Penjualan tiket bagi malam kedua akan mula dijual esok, jam 12 tengahari di www.hitmanlive.com.

Semalam, Ella mencipta rekod baharu apabila tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota 'sold out' dalam masa 24 jam sahaja bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena.

Tiket konsert yang mula dijual jam 12 tengah hari kelmarin terjual sebanyak 50% hanya dalam tempoh dua jam sahaja.

Bagaimanapun, penjualannya dihentikan buat sementara kerana lebih 25,000 membanjiri laman web menunggu untuk mendapatkan tiket. Kebanjiran itu mengakibatkan proses pembelian menjadi tergendala.

Pihak penganjur segera menyelesaikan isu terbabit dan penjualan disambung semula pada jam 5 petang hari sama.

Sebagai simbolik 35 tahun dalam industri muzik, Ella bakal menyampaikan 35 dendangan termasuk Sepi Sekuntum Mawar Merah, Standing In the Eyes of the World, Sembilu, Baldu Biru dan Retak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 8:17 PM