Najwa Abu Bakar sahkan filem Dukun ke Indonesia. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Najwa Abu Bakar sahkan filem Dukun ke Indonesia. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT filem Dukun iaitu Najwa Abu Bakar mengesahkan filem kontroversi itu bakal ditayangkan di pawagam Indonesia dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun, Najwa yang juga Ketua Astro Shaw berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan pihak pemamer di negara terbabit.

"Astro Shaw akan memberikan maklumat yang terperinci apabila perbincangan mengenainya selesai," katanya.

Difahamkan, selain Indonesia filem lakonan Datin Seri Umie Aida itu juga bakal ditayangkan di beberapa negara rantau Asia.

Ditanya mengenai perkara itu, Najwa mengakui terdapat beberapa negara berminat untuk menayangkan filem itu di negara mereka.

"Selepas Singapura dan Indonesia, terdapat beberapa lagi negara menunjukkan minat untuk menayangkan filem ini di negara mereka.

"Ini menunjukkan filem tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan diterima ramai jika dihasilkan dengan baik dan bermutu.

"Kami akan mengumumkan dari masa ke semasa jika ada negara lain lagi yang bersetuju," katanya.

Terdahulu, Umie Aida memuat naik paparan skrin daripada akaun Twitter @paradigmafilm yang menyatakan filem Dukun akan ditayangkan di pawagam Indonesia.

"Filem kontroversi Malaysia Dukun akan segera tayang di bioskop Indonesia!," tulisnya.

Filem arahan Dain Said itu yang ditayangkan sejak 5 April lalu mencatat kutipan lebih RM10 juta selepas 'diperap' 12 tahun.

Sebelum ini, selepas filem Dukun arahan Dain Said siap pada 2006, penerbit dikatakan berdepan masalah menayangkan karya terbabit. Antara faktor yang dikatakan menghalang Dukun ditayangkan termasuk babak ganas selain menyentuh sensitiviti pihak tertentu.

Sepatutnya, Dukun yang dihasilkan pada kos kira-kira RM2.8 juta, boleh ditonton pada Disember 2006. Namun, tarikh itu berganjak ke Mac tahun berikutnya hinggalah tertunda beberapa kali.

Rentetan itu, timbul dakwaan Dukun diharamkan Lembaga Penapis Filem (LPF). Namun, pihak terbabit mengesahkan tidak pernah mengharamkan filem berkenaan.

Selain Umie, filem itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat, Elyana dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 2:13 PM