Fred Chong bersama barisan pelakon pada tayangan media Filem Pulau di Starling Mall. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Fred Chong bersama barisan pelakon pada tayangan media Filem Pulau di Starling Mall. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Penerbit filem kontroversi, Pulau iaitu Fred Chong mensasarkan kutipan lebih RM7 juta walaupun 10 babak dalam filem itu terpaksa dipotong untuk mendapat klasifikasi PG13.

Fred berkata, pihaknya percaya filem arahan Euho itu mampu mencecah kutipan pecah panggung dengan menarik penonton tempatan ke pawagam walaupun pernah berdepan kontroversi dan kecaman yang hebat sebelum ini.

"Sebagai penerbit, kami terpaksa memotong sebanyak enam babak dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) pula memotong empat lagi babak menjadikan keseluruhan sebanyak 10 babak dalam filem ini dipotong untuk mendapatkan klasifikasi PG13 dan tayangan di pawagam tempatan," katanya.

Fred berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana Pulau di sini, hari ini.

Pulau yang akan ditayangkan mulai 9 Mac ini sepatutnya ditayangkan di 127 panggung wayang di seluruh negara. Namun, dikurangkan kepada 124 panggung apabila kerajaan negeri Terengganu mengharamkan tayarang filem itu di tiga panggung di sana.

Dalam pada itu, Fred berkata, pihaknya masih menunggu keputusan rayuan untuk membatalkan pengharaman tayangan filem ini di Terengganu.

Bagaimanapun, kata Fred, Pulau juga lulus tanpa sebarang potongan untuk tayangan di Singapura, tetapi untuk tayangan di Brunei sebanyak 17 babak dipotong.

Dalam laporan sebelum ini, filem terbitan My Way Pictures dengan kerjasama Film Force dan WebTVAsia itu mencetuskan kontroversi apabila trailer menerima kecaman hebat netizen gara-gara memuatkan babak panas dan pelakon berpakaian seksi.

"Kami berharap filem ini tidak berdepan dengan kerugian. Cuma ada beberapa penaja yang menarik diri sebelum ini.

"Namun, kami percaya Pulau adalah filem yang baik dan harus ditonton. Kami harap penonton menerima filem ini dengan hati terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 9:49 PM