Pekerja memindahkan mayat ke ruang simpanan sebelum diuruskan. - FOTO AP
Pekerja memindahkan mayat ke ruang simpanan sebelum diuruskan. - FOTO AP
Reuters

Beijing: Rumah pengurusan pengebumian di seluruh ibu kota China, Beijing, menjadi kelam-kabut apabila ramai pekerja dan pemandu mereka dijangkiti Covid-19.

Walaupun ketika ini Beijing masih belum melaporkan sebarang kematian akibat Covid-19 sejak dasar sifar-Covid dilonggarkan pada 7 Disember lalu tetapi pekerja yang sakit mula menjejaskan banyak perkhidmatan dari restoran hinggalah firma penghantaran dan puluhan rumah pengurusan pengebumian.

"Kami mempunyai sedikit kereta dan pekerja sekarang.

"Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan pembakaran mayat tetapi kami mempunyai ramai pekerja yang diuji positif, sekali gus menjejaskan operasi," kata seorang kakitangan di Rumah Pengebumian Miyun kepada Reuters.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada peningkatan permintaan untuk pembakaran mayat itu adalah disebabkan oleh peningkatan kematian berkaitan Covid-19.

Di Rumah Pengebumian Huairou pula, seorang kakitangan berkata terdapat mayat terpaksa menunggu selama tiga hari sebelum ia dibakar.

"Anda boleh mengangkut mayat ke sini sendiri, sangat sibuk kebelakangan ini," kata kakitangan itu.

Pihak berkuasa kesihatan China kali terakhir melaporkan kematian akibat Covid-19 pada 3 Disember lalu dan ibu negara China kali terakhir melaporkan kematian pada 23 November.

Namun, media China, Caixin, melaporkan semalam, dua wartawan veteran meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 di Beijing, antara kematian pertama yang diketahui sejak China melonggarkan kebanyakan dasar sifar-Covid.

Hari ini, Caixin melaporkan seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun di Sichuan meninggal dunia akibat Covid-19 pada 14 Disember.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini melaporkan tiada perubahan kepada jumlah kematian Covid-19 rasminya, iaitu sebanyak 5,235 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 5:09 PM