PELBAGAI bentuk cara scamme r memperdayakan mangsa secara dalam talian antaranya seperti Macau Scam, African Scam, Love Scam.
PELBAGAI bentuk cara scamme r memperdayakan mangsa secara dalam talian antaranya seperti Macau Scam, African Scam, Love Scam.
Addin

Apabila semakin canggih teknologi hari ini, maka semakin canggih cara manusia berfikir sehinggakan cara memperdayakan orang lain pun juga canggih. Hal ini dikaitkan dengan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan tidak bermoral iaitu menipu masyarakat untuk meraih kepentingan diri. 

Sebelum ini kecoh apabila tersiar berita dalam negara, bahawa sekumpulan penipu (scammer) ditangkap pihak berkuasa. Sindiket seperti ini adalah bukan yang pertama dalam sejarah Malaysia dan dunia, bahkan sebelum ini banyak berlaku berdasarkan apa yang dilaporkan dalam menerusi berita. Terdapat pelbagai bentuk cara scammer memperdayakan mangsa, akan tetapi yang terbanyak berlaku pada masa kini ialah penipuan (scam) secara dalam talian antaranya seperti Macau Scam, African Scam,
Love Scam dan lain-lain.

Ada penganalisis mengatakan Macau Scam ini adalah penipuan yang paling berbahaya. Hal ini kerana kaedah penipuan yang digunakan tersangat halus dan licik. Antaranya scammer cuba melakukan penyamaran dengan mengaku diri mereka sebagai pihak berkuasa seperti pegawai bank, polis, kastam dan lain-lain. Mereka ini akan membuat panggilan telefon secara rawak (random) bagi mengenakan mangsa.

Perkara yang biasa menjadi modal atau bahan mudah untuk memperdayakan mangsa adalah berupa hadiah atau tuntutan kes yang melibatkan saman, tunggakan, cas bayaran tertentu, dan lain-lain; yang perlu diselesaikan oleh mangsa dengan melibatkan pemindahan sejumlah wang kepada mereka. Bagi mangsa yang panik dan takut, biasanya mereka akan segerakan melakukan pemindahan wang tanpa membuat pengesahan bagi mengetahui situasi sebenar. Tambahan pula, watak scammer ini boleh meyakinkan mangsa dengan nada suara dan gaya laras bahasa seolah pihak penguat kuasa yang sebenar.

Selain itu, ada penipuan yang menggunakan teknik 'mengambil jiwa' orang lain seperti yang banyak berlaku dalam kalangan kaum hawa yang mencari teman hidup. Ia popular dengan nama Love Scam.

Sindiket ini didalangi oleh pakar 'mengayat wanita' sehingga mangsa akan 'cair' terpedaya dengan kata-kata manis yang diberikan lalu tercetusnya hubungan antara mangsa dan scammer. Menurut laporan berita yang ditularkan dalam media, modus operandi love scammer
ini adalah meminta mangsa memindahkan sejumlah wang dengan beralasankan bahawa ia adalah cukai atau processing fee bagi hadiah yang kononnya akan dihantar kepada mangsa. 

Terdapat juga scam berbentuk warisan harta atau wang daripada pihak luar. Scam ini pula menyasarkan golongan yang mudah terkasima dengan penangan tawaran sejumlah harta yang akan diwariskan.

Ia bermula daripada kiriman e-mel atau mesej yang menyatakan mangsa adalah pewaris harta bernilai jutaan ringgit daripada seorang bangsawan. Kemudian mangsa akan dihubungi oleh individu tersebut yang sering kali dikaitkan dengan berasal dari negara Afrika, lalu memperkenalkan dirinya dengan mengatakan beliau memiliki sejumlah harta. 

Biasanya, beliau akan memohon pertolongan kepada mangsa terlebih dahulu untuk menyelesaikan urusan beliau, sebagai contoh kesukaran yang dihadapinya ketika membeli barangan atau membuat bayaran dengan meminta mangsa mendahulukan wangnya. Kemudian, beliau akan menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda kepada mangsa sebagai tanda penghargaannya. Justeru, bagi golongan yang cepat 'kalah' dek kerana tawaran lumayan atau perasaan simpati untuk memberikan bantuan, mereka akan terjerat.

Dapatan daripada hasil siasatan pihak berkuasa, kes penipuan ini terjadi dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur mahupun status. Ia bukan sahaja membabitkan golongan awam sahaja, bahkan golongan profesional terkena sama. Semua scam ini adalah tidak lain tidak bukan adalah jenayah iaitu mengambil harta orang lain secara haram dengan mengambil kesempatan terhadap orang yang lemah. 

Penulis berpendapat lemah di sini dapat ditafsirkan kepada dua bentuk tafsiran; iaitu pertama, kurang ilmu (jahil) dan kedua, tamak. Hal ini kerana kejahilan dan ketamakan seseorang adalah 'lubuk keuntungan' bagi syaitan manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Islam amat bertegas dalam soal ini, dengan mengharamkan penganutnya melakukan apa sahaja penipuan tambahan pula ia akan menjadi darah daging si pemakannya kelak.

Walau bagaimanapun, masalah scam yang kerap berlaku dalam masyarakat ini dapat diselesaikan dengan tuntas dan baik iaitu melalui beberapa cara antaranya ialah ilmu dan orang sekeliling.

Tidak dinafikan lagi jika seseorang yang mempunyai ilmu yang jitu, pastinya dia tidak akan tertipu. Namun, perlu diingatkan juga ilmu tidak boleh dilihat melalui nilaian kertas sijil atau pekerjaan kerana ramai juga golongan yang dianggap pandai dalam kalangan berstatus profesional turut terpalik.

Dengan ilmu, ia menjadi benteng seseorang yang mampu mengawal semua gerak geri seseorang. Dalam konteks ini, dia akan bertenang seketika dan membuat penilaian dengan setiap dakwaan, luahan, mahupun tawaran yang dijanjikan oleh scammer iaitu tidak merasa panik setelah mendapat panggilan atau tidak mudah simpati dengan situasi sedih yang diceritakan atau tidak ghairah untuk mendapatkan sesuatu habuan yang lumayan dengan senang.

Oleh itu, setiap umat Islam digalakkan mengamal doa supaya dikurniakan ilmu bermanfaat yang dapat menjaga diri kita: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima."  (Hadis  Riwayat Ibnu Majah)

Menurut Sheikh Majdi Abdul Wahab Ahmad ketika memberi komentar kitab Hisnul Muslim bahawa ilmu yang bermanfaat tersebut adalah ilmu yang boleh memberi manfaat pada diri sendiri dan juga orang lain. 

Selain itu, orang sekeliling juga dapat membantu bagi mengelakkan seseorang daripada diperdaya oleh sang scammer ini. Ahli keluarga, jiran tetangga, kawan-kawan yang berada di sekeliling tidak kurang dianggap sebagai barisan hadapan (fronliners) untuk berkongsi sesuatu sebelum membuat apa-apa tindakan. Justeru itu, amalan bertanya adalah perkara yang sangat penting sebelum seseorang membuat apa-apa keputusan, tambahan pula dikaitkan dengan isu scam ini. Adalah lebih baik seseorang itu merujuk kepada pihak berkaitan ketika menghadapi sesuatu situasi yang tidak jelas dan diragui.

Hal ini bertepatan dengan ayat firman Allah SWT: "…Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan (ahli zikr) jika kamu tidak mengetahui." (Surah al-Nahl: 43)

Menurut kebanyakan kitab tafsir termasuklah Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ruh al-Ma'ani, bahawa perkataan 'ahli  zikr' tersebut adalah merujuk ahli kitab namun terdapat juga sebahagian ulama yang lain menafsirkannya sebagai orang yang berpengetahuan dan berilmu. Alim Nusantara tersohor iaitu Pak Hamka dalam Tafsir al-Azharnya, turut sama menafsirkan ahli zikr sebagai ahli peringatan atau seseorang berpengetahuan luas. Umumnya, orang berpengetahuan ini ialah orang yang berada dalam bidang masing-masing.

Maka dari sini, adalah menjadi keperluan diri seseorang untuk bertanya atau merujuk pihak yang tahu atau berautoriti yang sebenar untuk mendapatkan penjelasan mengenai kesahihan sesuatu perkara. Apa pun, amalan bertanya atau meminta pandangan orang lain ini membantu menyelesaikan bukan sahaja dalam masalah scam ini sahaja, bahkan kebanyakan perkara dalam segenap kehidupan seseorang. 

Penulis Pensyarah  Fakulti Bahasa dan Pendidikan,  Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 4:58 PM