CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

SATU lakaran sejarah baharu dalam sistem pendidikan di negara kita apabila peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dilaksanakan dalam situasi negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

Malah, peperiksaan SPM yang sepatutnya dilaksanakan penghujung 2020 ditangguhkan ke 2021. Beberapa peperiksaan utama lain turut ditangguhkan seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan beberapa sijil utama lain.

Bermakna, calon SPM 2020 sebenarnya melalui tempoh pembelajaran kira-kira setahun tiga bulan, tidak seperti kebiasaan, di mana peperiksaan akan berakhir biasanya pada akhir November dalam tahun semasa.

Ia melakarkan satu sejarah baharu dalam sistem pendidikan di negara kita. Mutakhir, pemakluman dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan tarikh pengumuman keputusan SPM 2020 ialah pada 10 Jun 2021.

SPM adalah sijil terpenting yang menjadi sasaran utama setiap pelajar peringkat sekolah menengah di Malaysia. Ia adalah gerbang ke peringkat pengajian tinggi seperti kolej dan universiti untuk pengajian peringkat Matrikulasi atau Asasi.

Pengajian peringkat tingkatan enam juga telah dijadikan status pra-universiti. Oleh itu, calon SPM akan bermati-matian berusaha agar mendapat keputusan yang terbaik bagi melayakkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya.

Malah, kelayakan di peringkat SPM juga menjadi ukuran dan syarat dalam perjawatan di beberapa sektor pekerjaan seperti jawatan dalam sektor awam dan swasta. SPM umpama perjuangan hidup mati bagi semua pelajar. Bukan sahaja di pihak pelajar, malah pihak sekolah juga berusaha sebaik mungkin bagi menjamin kejayaan pelajar mereka.

Cabaran besar berlaku apabila beberapa kali proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) terpaksa dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac 2020. Sehingga diputuskan PdP diadakan secara atas talian dari rumah (PdPR). Kemudian, dibenarkan untuk pelajar terlibat dengan peperiksaan utama sahaja seperti SPM menyambung PdP secara bersemuka di sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sehinggalah tamatnya peperiksaan SPM 2020 secara keseluruhan pada akhir Mac 2021. Apapun yang berlaku, ia pasti meninggalkan sedikit sebanyak kesan kepada calon SPM 2020. Kita boleh merasakan macam mana keresahan mereka semasa sekolah ditutup. Betapa mereka bergelut dengan kaedah PdP yang baharu secara PdPR yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Memang benar kebanyakan pelajar peringkat tingkatan lima mungkin sudah agak biasa dengan peralatan telekomunikasi terkini seperti telefon pintar, tablet dan komputer. Namun, untuk menggunakannya bagi tujuan belajar pastinya suatu pengalaman baharu bagi mereka.

Belum lagi mengambil kira beberapa golongan yang mempunyai kemampuan yang agak terbatas untuk menyediakan peralatan itu kepada anak-anak mereka. Ditambah lagi dengan kapasiti capaian internet yang agak bermasalah di beberapa lokasi.

Kerajaan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Transformasi dalam sistem pendidikan negara adalah keperluan masa kini dan masa hadapan. Apatah lagi kita sekarang sudah berada dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menggabungkan dunia fizikal, digital dan biologikal.

Selaras dengan itu, kita yakin dalam pengurusan sistem pemarkahan dan penilaian pastinya pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) secara khusus ada kaedah terbaik untuk menanganinya dalam situasi pandemik seperti ini.

Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pastinya juga banyak membantu pihak LPM memastikan pengurusan peperiksaan agar berjalan dengan lancar dan berkesan. Ini juga cabaran besar kepada pihak terlibat untuk menjamin ketelusan, kecekapan dan integriti yang tinggi. Agar akhirnya keputusan dapat diumumkan pada masa dan mengikut jadual yang dirancang.

Melihat kepada perspektif pelajar pula, sudah pasti berbagai tanggapan dan harapan yang diletakkan. Harapan yang paling utama ialah agar mereka akan mendapat keputusan cemerlang sebagaimana yang dicita-citakan. Agar tiada kesan besar lantaran pandemik yang berlaku sepanjang pengajian mereka. Pastinya mereka masih mengingati betapa mencabarnya mereka belajar dalam suasana pandemik.

Bukan setakat cabaran belajar, tetapi pada masa sama terpaksa menjaga diri daripada wabak yang mengancam nyawa. Bahkan, ada yang terpaksa menangguhkan peperiksaan kerana dikuarantin.

Dua situasi terpaksa mereka hadapi, tidak sebagaimana tahun-tahun sebelum ini. Namun, ingatlah firman Allah SWT: "Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." (Surah Ali Imran, ayat 159)

Setelah berusaha, maka bertawakal kepada Allah SWT adalah jalan terbaik untuk mencapai ketenangan dan menerima segala keputusan dengan reda.

Manakala, pihak sekolah juga tentunya mempunyai sasaran dan harapan untuk dicapai. Prestasi sekolah juga menjadi sasaran untuk mengekalkan rekod kecemerlangan sekolah masing-masing.

Usaha berlipat ganda sudah dilakukan dengan norma baharu dalam proses PdP yang penuh mencabar. Maka, sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang diharapkan.

Di samping harapan guru untuk melihat anak didik mereka mencapai kejayaan cemerlang walau apa jua cabaran. Itulah kemanisan seorang guru apabila melihat anak muridnya berjaya.

Demikianlah juga dengan ibu bapa yang juga tidak ketinggalan mendapat kesan daripada suasana pandemik yang dilalui anak-anak mereka.

Kesimpulannya, semua pihak mengharapkan cabaran pandemik dihadapi calon SPM 2020 ini tidak mengakibatkan kesan tidak baik kepada mereka.

Penulis Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 5:59 AM