Amir Abd Hamid

Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan analisis dan dialog prestasi negeri berhubung keputusan pelajar yang menduduki percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, analisis dan dialog prestasi itu untuk membantu sekolah membuat persediaan bagi pelajar menduduki peperiksaan sebenar SPM pada 22 Februari depan.

Langkah itu juga, katanya, membolehkan pihaknya mengenalpasti aspek yang paling terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) supaya dapat dibantu.

"Sebanyak 2,004 sekolah atau 85 peratus daripada 2,350 sekolah sudah laksanakan peperiksaan percubaan SPM manakala 346 atau 15 peratus masih belum selesaikan khususnya sekolah di negeri awal terbabit PKPB iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Sabah dan Selangor.

"Berdasarkan percubaan, saya tidaklah nak umumkan keputusan tetapi kita ada analisis dan kita boleh lihat (contohnya) negeri mana atau subjek paling terkesan.

"Maklumat bukanlah untuk diumum tetapi lebih kepada (kegunaan) pendidikan, nak fahami kedudukan pelajar dan bantu mereka," katanya dalam taklimat media berhubung Pengoperasian Institusi Pendidikan Bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekolah yang belum melaksanakan peperiksaan percubaan SPM boleh melakukannya sejurus sesi persekolahan dibuka semula 20 Januari depan apabila pelajar sudah boleh menyambung persekolahan secara bersemuka.

Habibah berkata, semua sekolah sudah menghabiskan silibus sukatan pelajaran atau kurikulum untuk pelajar yang menghadapi SPM.

"Peperiksaan percubaan penting bukan saja dari segi membantu pelajar tetapi boleh digunakan dalam keadaan tertentu. Contohnya bagi mereka nak teruskan pengajian bidang tertentu yang perlu temu duga dilakukan sebelum keputusan sebenar SPM (keluar), boleh guna keputusan percubaan," katanya.

Ditanya apakah jangkaan keputusan sebenar SPM pasca pandemik Covid-19, beliau berkata, sebagai seorang pendidik, beliau amat berharap supaya pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus berlaku bukan saja untuk peperiksaan.

Kelmarin, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin mengumumkan KPM menutup semua sekolah bermula 9 November hingga hari terakhir persekolahan tahun ini.

Dalam pengumuman sama, KPM turut meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) calon tahun 2020.

HABIBAH menunjukkan tarikh baru peperiksaan awam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
HABIBAH menunjukkan tarikh baru peperiksaan awam. FOTO Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 6:48 PM