FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Saleh

Dalam menghadapi perkembangan semasa, kita mestilah bersedia dan meletakkan harapan yang tinggi untuk berjaya, khususnya menghadapi cabaran dan ujian yang semakin hari semakin besar dan mencabar. Harapan yang tinggi dan usaha berterusan akan menjamin sesuatu cabaran dapat dihadapi dengan baik dan berjaya. Kita mesti yakin dengan rahmat dan pertolongan Allah SWT.

Berusaha bersungguh-sungguh, keyakinan yang tinggi dan sifat tidak berputus asa adalah kunci kejayaan sebagaimana dalam kisah Nabi Yusuf. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf, ayat 87)

Dalam konteks hari ini, kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian khususnya dalam mengharungi situasi yang tidak menentu sama ada cabaran ekonomi, pendidikan, kesihatan dan masalah dalam negara.

Antara cabaran paling besar ialah memulihkan ekonomi dan pendidikan yang banyak terkesan dengan pandemik yang melanda negara sejak hampir dua tahun sama ada secara individu, keluarga atau organisasi.

Dalam bidang pendidikan, sistem persekolahan telah terganggu sejak dua tahun lalu. Peperiksaan SPM pada 2020 tertangguh menyebabkan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) juga terganggu. Situasi sama masih berlaku tahun ini yang menyebabkan anjakan kepada jadual peperiksaan besar dan takwim pengajian di semua IPT.

Kesan semestinya lebih besar kepada sekolah rendah dan menengah berbanding IPT. Murid di sekolah jumlahnya lebih besar berbanding jumlah pelajar di IPT. Manakala, usia mereka juga antara tujuh hingga tujuh belas tahun yang lebih susah dikawal berbanding pelajar di IPT yang lebih matang.

Apabila sesi persekolahan dibuka semula sepenuhnya, maka semua murid sekolah akan menyambung pelajaran seperti biasa. Banyak juga dalam kalangan mereka yang belum menerima vaksin. Malah, setakat ini hanya lebih kurang setengah juta murid (kanak-kanak berumur 7-11 tahun) yang didaftarkan untuk menerima vaksin. Bermakna, sebahagian besar murid sekolah adalah kumpulan yang belum menerima vaksin. Ini menjadi cabaran besar dalam mencegah mereka daripada jangkitan di sekolah.

Perkara ini menjadi tanggungjawab besar semua pihak. Ibu bapa pastinya paling bimbang dengan situasi ini. Membenarkan anak ke sekolah dan bercampur sesama mereka tanpa ada jaminan pencegahan daripada jangkitan adalah risiko yang sangat besar. Namun, demi kelangsungan pendidikan, ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak mereka ke sekolah.

Pihak sekolah juga menghadapi cabaran besar apabila terpaksa menyediakan segala langkah pencegahan daripada penularan wabak di sekolah. Kebelakangan ini, banyak penularan berlaku di sekolah yang melibatkan kluster pendidikan. Ini menunjukkan walaupun pihak sekolah berusaha mematuhi semua SOP, namun kerana kesukaran mengawal murid daripada pelbagai latar belakang demografi ia menjadi amat mencabar.

Manakala, dalam bidang ekonomi, cabaran yang besar ialah apabila pandemik ini memberi kesan besar kepada ekonomi negara bermula daripada ekonomi individu, keluarga, organisasi dan kerajaan. Secara individu, kesan pandemik sangat besar kepada kumpulan yang bekerja sendiri terutama golongan peniaga kecil dan sederhana. Ramai terpaksa gulung tikar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh itu, PKP menjadi bayangan yang ditakuti jika berulang.

Jaminan Perdana Menteri bahawa tidak akan ada lagi PKP sedikit melegakan golongan ini yang baru memulakan semula perniagaan. Atau paling kurang dapat mengembalikan kestabilan ekonomi yang telah lama terganggu oleh pandemik.

Secara berkeluarga juga cabaran dirasai apabila perbelanjaan keluarga bertambah di dalam mengharungi cabaran seperti keperluan harian dan keperluan untuk belajar secara dalam talian. Penggunaan data dan gajet oleh setiap ahli keluarga menambahkan komitmen daripada biasa. Betapa setiap keluarga perlu menyediakan segala keperluan untuk pembelajaran agar tidak terganggu pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan pengajian diteruskan dalam semua situasi. Cabaran ini sangat berat untuk ditanggung kerana ia demi masa depan anak-anak.

Manakala di peringkat pengajian tinggi, cabaran besar kepada semua IPT adalah untuk memastikan pelajar meneruskan pengajian dan menamatkan dalam masa yang diperuntukkan. Graduan adalah pelapis kepada pemimpin negara. Jika proses pengajian di peringkat tinggi terganggu, maka proses pembentukan pelapis kepemimpinan negara juga akan terbantut. Pihak IPT sebolehnya menyediakan prasarana yang diperlukan untuk pengajian secara online dan hibrid.

Matlamatnya supaya proses pengajian dapat diteruskan. Sudah pasti banyak cabaran yang dihadapi terutamanya berkaitan kos yang terpaksa ditanggung untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan. Tambahan lagi, keadaan ini belum pasti bila akan berakhir. Bermakna pihak IPT mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan. Pengajian tidak boleh diabai dalam apa jua situasi.

Cabaran besar terkini ialah apabila beberapa negeri memutuskan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN). Bertembung antara keperluan mematuhi peruntukan Perlembagaan dan menghormati situasi mencabar yang sedang dihadapi. Pelajaran yang didapati daripada beberapa PRN lalu mestilah dijadikan pengajaran.

Cabaran besar juga pastinya dirasai di peringkat kerajaan atau majikan. Banyak bantuan telah dihulurkan kepada semua pihak - individu, keluarga dan pihak industri yang terkesan. Tetapi, sampai bila? Kemampuan kewangan negara terhad, semua keperluan negara diambil kira.

Dalam menghadapi pandemik semua pihak mesti mengharungi cabaran ini dengan yakin dan sabar serta bertawakal kepada Allah. Kejayaan pasti di hujung jalan dan kita tidak boleh putus asa dengan rahmat Allah.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 6:15 AM