HAITHAM Nasr yang hilang sebelah kaki ketika demonstrasi March of Return  pada 2018  memukul gendang mengejutkan penduduk Islam di  Rafah bangun bersahur.
HAITHAM Nasr yang hilang sebelah kaki ketika demonstrasi March of Return pada 2018 memukul gendang mengejutkan penduduk Islam di Rafah bangun bersahur.
minda

Ketika mula-mula sampai ke Gaza dulu, saya simpan impian yang sehingga kini tidak tercapai. Sejak di bangku sekolah, saya memang suka dengan kem motivasi dan kerohanian yang diadakan, khususnya bila dibuat di luar sekolah seperti di hutan atau kawasan perkhemahan.

Kini, bila masuk ke universiti, saya pula yang melaksanakan ratusan kem sepertinya untuk pelajar sekolah.

Biasanya saya akan diberi tugas untuk memimpin malam penghayatan atau malam keinsafan kerana saya ada kemampuan untuk menguasai perasaan pelajar.

Saya pasti kalian juga pernah melalui pengalaman sama apabila fasilitator menayangkan video pengorbanan ibu melahirkan kita dan ditimbulkan keinsafan sampai tersedu-sedu atau yang lebih ekstrim bila replika kubur disiapkan dan 'jenazah' diusung masuk ke dewan lalu dibacakan Yasin.

Impian inilah untuk mengadakan program keinsafan kepada pelajar Gaza yang tak kurang nakalnya yang tidak kesampaian. Sebabnya? Sebab pertama ialah hati anak Gaza yang jauh lebih keras berbanding hati lembut anak Malaysia sehingga begitu sukar didalami dan dilenturkan.

Kedua, anak-anak ini hidup di dalam penghayatan sebenar kisah yang kadangkala kita terpaksa seolah-olah berlakon. Manakan tidak, semua anak Gaza pernah berdepan dengan peperangan. Semuanya pernah melihat jenazah syuhada di depan mata.

Semuanya pernah kehilangan ahli keluarga terdekat sama ada kerana dibunuh penjajah, tersiksa di dalam penjara atau tidak mendapat rawatan daripada kesakitan yang serius. Justeru, keinsafan itu sedia ada cuma ia perlu dihala dengan betul supaya pembentukan modal insan menjadi sempurna.

Selain modul malam penghayatan ada juga modul mengejar kejayaan yang diringkaskan oleh pakar motivasi dengan perkataan DUIT. Kata mereka DUIT ialah Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakal.

Ini juga sebenarnya sudah sedia ada di Gaza apabila doa menjadi senjata utama, kemudian mereka berusaha sebaik mungkin mencapai cita-cita dan seterusnya bertawakal kepada kehendak Allah sama ada impian mereka akan tersekat oleh penjajahan, peperangan dan sebagainya.

Jika mereka tidak bertawakal pastinya mereka tidak akan berusaha membina semula rumah dan masjid pasca peperangan walaupun tahu ia berisiko dibom semula. Begitu juga mereka tidak akan menyambung pengajian di universiti kalau takut tidak ada masa depan di dalam kepungan.

Oleh itu, selepas hampir sedekad di Gaza, saya menyedari bahawa tugas kita ialah menyiapkan laluan kepada mereka kerana batu asas kehidupan sudah pun diletakkan. Anak Gaza yang sudah sedia hidup dikelilingi ujian tidak perlu ditakutkan dengan replika kubur dan jenazah. Apa yang mereka perlukan ialah suntikan iman dan panduan berdepan serta mengurus cabaran dan panduan yang terbaik ialah al-Quran. Sebab itu, kami laksanakan projek Syafaatmu Untukku setiap kali Ramadan untuk menggalakkan mereka menghafal al-Quran sehingga dalam tempoh setahun kita berjaya melahirkan 250 orang huffaz.

Sebab itu, kita juga mewujudkan Malaysian Bussiness Incubator, ruangan pemuda diberi suntikan modal supaya dapat membangunkan bisnes kecil dan sederhana mereka.

Selepas dua tahun kita sudah membelanjakan banyak dana untuk mencipta peluang pekerjaan untuk ratusan keluarga dan kalau huruf 'D' yang paling penting untuk kita ialah Duit, apabila ia sampai ke Gaza 'D' itu akan bertukar menjadi doa.

Ia kerana doa orang soleh di Gaza, doa mereka yang teraniaya, doa mereka yang sedang dizalimi dan paling penting doa murabitin yang mempertahankan bumi ini dengan batang tubuh dan nyawa mereka tidak ada hijab untuk sampai kepada Pencipta.

Teruskan beramal di bulan penuh kemuliaan dan keberkatan dan jangan memperlahankan larian. Masih ada dua pertiga daripada 'trek' yang perlu kita habiskan. Jangan lupa menyumbang kepada penduduk Palestin yang memerlukan. Ini kerana Duit kita akan berbalas Doa yang penuh ikhlas daripada mereka.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:00 AM