Kanak-kanak palestin duduk atas runtuhan bangunan yang runtuh dalam serangan udara tentera Israel di Beit Hanun, Utara Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Kanak-kanak palestin duduk atas runtuhan bangunan yang runtuh dalam serangan udara tentera Israel di Beit Hanun, Utara Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Kira-kira 13,000 kediaman milik penduduk Palestin di Semenanjung Gaza musnah dalam perang 11 hari menentang rejim Israel dengan sebahagian besarnya memerlukan bantuan segera untuk dipulihkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman berkata, jumlah itu tidak termasuk 50,000 kediaman yang musnah separa dalam perang pada 2014.

"Dari 2006, kepungan yang berlaku ke atas Gaza sampai ke hari ini, mereka sebenarnya terus kesempitan. Sekarang adalah waktu kritikal untuk kita teruskan bantu mereka.

"Jika kita lihat datanya, sejak peperangan pada 2014, sekitar 50,000 rumah yang musnah pada 2014 saja belum dibaiki hingga kini. Maka, mereka baru-baru ini sekitar 13,000 lagi rumah musnah separa belum juga dibaiki termasuk 2,000 rumah yang musnah keseluruhan.

"Jangan hanya kita lihat kekuatan mereka semata-mata kerana sebenarnya ada kesedihan yang kena diubati dan bantu sama-sama," katanya ketika menjadi panel dalam program Wacana Khas Pelestin anjuran Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur hari ini.

Wacana dihoskan Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana UTM, Dr Muhammad Fathi Yusof itu, turut menampilkan ayah kepada Muhammad Nadir yang juga pensyarah Pengajian Asia Barat Moden, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.

Mengulas lanjut, Muhammad Nadir berkata, genjatan senjata yang dimeterai antara pejuang Hamas di Semenanjung Gaza dan Israel bukan saja satu kemenangan kepada penduduk Palestin, sebaliknya dunia Islam.

Katanya, sejak perang tercetus, kecaman kepada tindakan Israel bukan saja hadir di Gaza dan Tebing Barat, sebaliknya negara Islam lain yang menzahirkan kempen penentangan berterusan di media sosial, dengan anak muda menjadi penggerak utamanya.

"Hari ini ramai anak muda mula tertarik dengan isu Palestin, saya lihat sambutan sangat luar biasa, tapi perang di siber ini tidak boleh berkekalan sebab Israel cekap dalam mematahkan serangan siber. Jika kita lihat, banyak 'posting-posting' artikel di media sosial disekat.

"Serangan 'tentera bawang' sekarang tidak memberi kesan dan sebahagiannya disekat dari elak dilihat oleh orang Israel sendiri. Israel ini medianya sangat tertutup dan berita yang disebarkan melalui medianya adalah dalam bahasa Hebrew, mereka lebih membaca media bahasa Hebrew berbanding Bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, peperangan sebelum ini menunjukkan Israel kini berdepan kekalahan moral terutama Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu yang kini berdepan penyingkiran dari jawatannya.

"Kerajaan Benjamin sekarang adalah kerajaan sementara dan bila-bila masa boleh dibatalkan oleh Presiden Israel. Beliau cuba untuk mengalihkan isu itu dengan peperangan ini, namun belum lagi tamat perang, sudah ada kepimpinan dari parti lain yang bersedia untuk ambil alih kerajaan yang ada.

"Ini satu perkembangan yang baik, ditambah ada sokongan wakil Ahli Parlimen dari bangsa Arab, walaupun jumlahnya tidak ramai, tapi mereka sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang boleh berjanji untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Palestin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 10:48 PM