Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip dana awam perlu diaudit.

Itu yang kerap diajukan masyarakat sebagai petunjuk integriti pada tahap tertinggi dalam kalangan NGO.

Menjelaskan isu berkenaan, ikuti wawancara Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN bersama wartawan, AMIR ABD HAMID dan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Adakah Cinta Gaza Malaysia (CGM) melaksanakan audit tahunan?

Ya, sudah pasti. Kita melaksanakan audit tahunan dan ia dilakukan juruaudit bertauliah serta bebas.

Bebas ini maksudnya juruaudit berkenaan bukan bernaung di bawah CGM. Ia bagi memastikan setiap laporan diberikan berintegriti dan dipercayai semua pihak.

Saya terpanggil untuk menerangkan mungkin ada pihak yang ragu-ragu atau mahukan penjelasan. Kita di CGM memang melaksanakan audit ini.

Ia sangat penting supaya aspek integriti itu sentiasa jadi keutamaan sekali gus meraih kepercayaan umum. Penting untuk aktivis NGO menguruskan pertubuhan mereka dengan profesional.

Umpamanya, kita menguruskan sebuah syarikat perniagaan, kita perlu ada hitam dan putih, perjalanan projek, perkembangan setiap projek supaya apabila ada orang bertanya kelak, kita sudah ada jawapannya.

Aspek audit ini semua pihak boleh lihat nanti apabila ia dikongsi di laman sosial.

Peruntukan perundangan bagi Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meletakkan syarat wajib bagi audit namun mengapa tuan mengambil langkah berkenaan?

Kalau nak ambil inisiatif seperti CGM untuk mendapatkan audit walaupun ia tidak dituntut dalam ROS, ia adalah lebih baik.

Tetapi, selagi kita ada NGO yang kita sudah buka, selagi mana akaun bank kita pernah tertera di media sosial, selagi mana ada orang pernah menyumbang ke dalam akaun kita, maka kita ada tanggungjawab untuk dedahkan mengenai wang berkenaan sebab ia dana awam.

Mudah-mudahan perkongsian ini memberi kesan kepada masyarakat untuk jadi penyumbang yang lebih berpengetahuan, tahu ke mana sumbangan masyarakat disampaikan.

Saya berterima kasih kepada masyarakat kerana sentiasa bersama dengan kita.

Saya minta maaf atas segala kekurangan di peringkat saya atau di peringkat CGM atas apa sahaja berlaku. Contoh, orang salah sangka, sindir atau betul sangka, pandang negatif, jadi saya minta maaf kepada semua dan saya juga maafkan semua.

Insya-Allah kami tenang-tenang sahaja, kita tak buat laporan (kepada pihak berkuasa), takkan saman sesiapa Insya-Allah, dan kita teruskan dengan fokus kita yang lebih utama untuk membantu keluarga Palestin kerana kita semua untuk satu dan satu itu iaitu pembebasan bumi Palestin.

Penerangan berhubung dana RM20 juta yang dikatakan diterima?

Tuduhan RM20 juta yang dikatakan masuk terus ke akaun adalah sangat salah.

Saya tidak salahkan sesiapa, ia disebabkan kejahilan perkara ini.

RM20 juta ini bukan diuruskan CGM sahaja, ia diuruskan 20 anak muda melalui NGO yang berpuluh tahun dalam kerja kebajikan di bawah MyAqsa Defenders (MAD).

Penipuan dibuat oleh seorang individu itu logik, tetapi kalau dibuat secara berjemaah tidak mungkin logik.

Tidak mungkin penipuan mudah dilakukan kerana ada NGO lain yang sama-sama menguruskan sumbangan orang awam untuk penduduk Gaza.

CGM cuma mengambil tiga peratus sahaja daripada dana sumbangan yang diperoleh bagi tujuan kos pengurusan.

Tiga peratus yang digunakan itu pun untuk membayar 13 kakitangan CGM.

Kami tidak ambil gaji sampai berpuluh ribu, cukup-cukup sahaja untuk hidup sederhana.

Boleh jelaskan mengapa perancangan strategik bantuan perlu dilaksanakan seperti membeli barangan di dalam Gaza saja?

Ya, saya ada terima banyak soalan berhubung ini.

Pertama, saya mahu jelaskan kita perlu ada perancangan strategik kerana tidak mahu bantuan yang kita salurkan itu lambat atau sampai dalam keadaan yang tidak sepatutnya.

Saya beri contoh, realitinya, ada NGO sebuah negara yang membeli bertan beras untuk dihantar ke Gaza dan beras itu dibeli
di luar Gaza.

Hasilnya, bantuan itu hanya berjaya masuk ke Gaza selepas enam bulan dan beras sudah tidak dapat digunakan kerana sudah rosak.

Jadi, ini satu pembaziran, alangkah baiknya jika NGO berkenaan membeli beras itu
di dalam Palestin.

Selain daripada mampu untuk cepat sampai kepada golongan sasar, ia dapat merancakkan ekonomi tempatan serta rakyat Palestin.

Bantuan yang kita berikan bukan sekadar untuk dijadikan sebagai peluang merakam gambar dan dipaparkan di media di negara tertentu tetapi hasilnya tidak sampai kepada golongan sasar.

Tindakan itu bukan saja tidak strategik, malah berlaku pembaziran di situ, sekali gus tidak efisien.

Jika kita mahu menyantuni negara konflik ini, kita perlu tahu dulu realiti negara konflik ini, kemungkinan barangan itu akan tersangkut di lokasi sebelum memasuki negara konflik dan sebagainya.

Sebab itu perlunya perancangan strategik untuk menyalurkan bantuan dan tidak hanya merakam gambar dan dihantar ke media-media saja.

Boleh jelaskan projek yang dilaksanakan CGM?

Kita ada banyak projek yang sudah siap, sedang berjalan dan masih dalam peringkat perancangan.

Ada projek jangka pendek dan panjang malah kita fokus kepada projek kelestarian serta self sustain supaya nanti tak nampak kita asyik minta sumbangan.

Sebaliknya, kita sudah ada projek yang mampu untuk memberi kita sumber pendapatan serta ia boleh dikembangkan kepada beberapa projek utama yang lain.

Ia sangat penting kita memberi fokus kepada projek self sustain ini supaya kita tidak terlalu bergantung kepada dana awam.

Kita mahu jadi NGO yang bergerak ke depan dengan pelbagai projek lestari khusus untuk rakyat Palestin.

Untuk makluman, kita sudah ada sekolah Malaysia di Gaza. Insya-Allah, saya akan buat rakaman langsung di sekolah berkenaan supaya kita semua lihat sumbangan semua banyak memberi nafas baru kepada penduduk Gaza.

Bagaimana keadaan di Gaza pasca peperangan baru-baru ini?

Situasi di Gaza tidak banyak berubah cuma ada kemusnahan yang berlaku, jadi kita kena lihat pelbagai bentuk bantuan yang ingin disalurkan.

Bantuan yang kita salurkan pun ada banyak jenis, ada berbentuk sosial, ekonomi dan sebagainya.

Kita perlu lihat dahulu setiap golongan sasar berkenaan apa yang penting untuk diutamakan, mungkin ada keluarga yang memerlukan pakaian, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Alhamdulillah, saya sangat beruntung kerana diberi kepercayaan oleh 200 NGO lain berpangkalan di Malaysia untuk menjadi jambatan menyalurkan bantuan di Gaza.

Sehingga kini, kita berjaya salurkan bantuan mengikut permintaan mereka, Alhamdulillah, tiada rungutan bantuan tidak sampai atau sebagainya.

Ini berkat doa semua pihak dan saya mengharapkan kita semua memberi fokus kepada Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:00 AM