HAITHAM Nasr yang hilang sebelah kaki ketika demonstrasi March of Return pada 2018  memukul gendang mengejutkan penduduk Islam di  Rafah untuk bersahur.
HAITHAM Nasr yang hilang sebelah kaki ketika demonstrasi March of Return pada 2018 memukul gendang mengejutkan penduduk Islam di Rafah untuk bersahur.
Rencana

Tahun ini tahun kesembilan saya menyambut Ramadan di Gaza. Sembilan tahun yang penuh suka dan duka.

Buat kami menjiwai Ramadan dengan penghayatan kesusahan orang lain, rasa lapar dan kemiskinan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT bukanlah perkara sukar dan asing.

Masakan tidak, setiap hari kami dihidangkan dengan penderitaan dan kesakitan penduduk mencakupi pelbagai aspek keperluan asas seperti makan pakai, tempat tinggal, perubatan, pendidikan dan peluang pekerjaan.

Apabila Ramadan tiba, maka penduduk pun mula mendongak ke langit kerana mereka tahu di bulan ini ada keberkatan, ada kemurahan rezeki, ada insan yang akan memandang mereka dengan pandangan rahmat dan belas kasihan.

Tahun 2014 bulan Ramadan dilalui dengan lebih getir apabila perang 51 hari atau Perang Asfil Ma'kul tercetus.

Ketika itu, setiap hari saya bangun pagi dan membuka laman berita tempatan mencari kalau ada kenalan yang pergi buat selamanya atau kalau ada pengeboman besar-besaran menyebabkan kehilangan nyawa seperti belasan ahli keluarga Kawari', dibunuh 'sekali harung' atau peristiwa Black Friday pada 1 Ogos 2014 yang mengorbankan 140 nyawa sekali gus.

Kemudian, baharu saya mengatur jadual harian dan bergerak menyelesaikan tugasan sama ada mengurus keperluan makanan, selimut tebal, persediaan iftar atau macam-macam lagi.

Ketika itu, apa-apa khabar berkaitan pemergian kenalan atau jiran tidak bermakna. Bukan tidak bermakna kerana ia sia-sia, tetapi rasa sedih akibat kehilangan perlu dipendam supaya keperluan mereka yang masih hidup tidak terabai.

Saya kehilangan adik ipar selain belasan rakan universiti dan kawan aktivis kemanusiaan, sebahagian daripada mereka saya hanya tahu sudah tiada apabila beberapa bulan selepasnya ketika kembali ke universiti saya mendapati bangku mereka kosong.

Ramadan kali ini tidak ada peperangan di Gaza, tetapi masih ada keperluan yang mendesak.

Gaza sedang berdepan dengan zaman kejatuhan dan keburukan apabila negara-negara Arab berpaling tadah dan bertukar arah sedangkan negara Islam lain semakin layu dan lesu.

Tahun ini, dengan perancangan jangka masa panjang seperti projek peluang pekerjaan melalui Malaysian Business Incubator kita, projek pendidikan melalui Sekolah Malaysia di Gaza dan projek serampang dua mata seperti ladang strawberi dan ladang lembu, kami meletakkan sasaran RM7 juta untuk dikumpulkan sepanjang bulan Ramadan.

Malah, sebagai bukti bumi ini akan menjadi saksi kebangkitan semula umat, kami meluaskan bantuan Ramadan sehingga ke negara lain seperti bantuan pelarian Palestin, Syria dan Uyghur di Greece, Syria dan Turki.

Kami akan memastikan sebaik mungkin supaya tidak ada yang kelaparan pada bulan mulia ini di Gaza dengan menyediakan hampir 5,000 pek iftar dengan nilai melebihi RM500,000.

Projek pakaian raya baharu dan bantuan daging raya serta bantuan anak Cerebral Palsy dan warga tua juga akan diteruskan. Seperti kita, mereka juga punya hak untuk bahagia.

Ramadan ini juga mengambil peluang sebaiknya membetulkan bacaan al-Quran anak-anak dan galakkan mereka menghafal surah supaya di akhirat kelak mereka dapat memakaikan kita mahkota Tajul Waqar untuk para huffaz.

Jadualkan menu berbuka dan elakkan pembaziran supaya baki duit dapat disimpan untuk kecemasan dan bersedekah.

Rancang amalan sebaiknya supaya masa tak dihabiskan dengan TikTok dan Netflix.

Orang bijak merancang akan keluar daripada bencana dan ujian dengan lebih kuat sebagaimana penduduk Gaza keluar dari perang 51 hari lalu terus menjadi benteng pertahanan bumi Al-Aqsa yang dicintai.

Kongsikan supaya kita merasa sakit dan sengsara saudara kita, menjadi hamba peduli di bulan mulia, bulan peduli ummah.

Layari ramadan4gaza.com laman bantuan Palestin kalian untuk membantu kami mencapai sasaran RM7 juta pada tahun ini. Ya Allah, mudahnya syurga. Selamat berpuasa.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 7:01 AM