SEORANG pemuda Palestin melihat kediamannya yang musnah dibedil tentera Israel.
SEORANG pemuda Palestin melihat kediamannya yang musnah dibedil tentera Israel.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Mendapat syahid adalah cita-cita paling tinggi yang didambakan mereka yang berada di bumi Gaza termasuk Muhammad Nadir Al-Nuri Dr Kamaruzaman.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu menjelaskan bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk memperoleh 'hadiah' istimewa kurniaan daripada Allah SWT ini.

Menurutnya, pengalaman mengenali dan melihat ramai pemuda Gaza yang syahid mendapati 'impian' untuk bergelar syuhada perlu disertai dengan melakukan banyak persediaan.

"Ia memerlukan keikhlasan mendalam dan istiqamah yang telus. Ini adalah kuncinya.

"Ramai sahabat dan pejuang di Palestin yang syahid, mereka berjuang selama berpuluh tahun demi mempertahankan bumi Gaza daripada kekejaman zionis Israel.

"Namun, menjadi syuhada dalam peperangan yang berlaku baru-baru ini.

"Ada juga kalangan mereka berkali-kali cuba dibunuh, tetapi masih terselamat hingga hari ini," katanya yang berkongsi pengalaman jihadnya di bumi Palestin.

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, berdasarkan contoh ini, dapat meniup semangat dan keberaniannya serta sanggup meletakkan nyawa sebagai galang ganti untuk berjuang bersama rakyat Palestin demi membebaskan bumi al-Aqsa daripada terus dijajah.

Katanya, keperluan 'mengikat' perjuangan ini menjadi lebih kuat apabila berkahwin dengan seorang wanita mempunyai lima anak yang juga balu kepada seorang pejuang.

"Sejak itu, Palestin sudah menjadi darah daging dan nyawa saya serta sanggup mengorbankan nyawa untuk negara ini (Palestin).

"Sudah tentunya, saya juga sanggup melakukan perkara yang sama untuk tanah air tercinta, Malaysia," katanya.

Dia yang hampir 10 tahun menetap di Palestin berkata walaupun melalui banyak pengalaman yang hampir merangut nyawanya, tidak sedikit pun meluntur semangat perjuangan di bumi diberkati itu.

"Antara yang tidak boleh dilupakan ialah pengalaman peperangan di Palestin pada tahun 2014.

"Semasa peperangan itu, banyak bangunan bersebelahan kediaman saya musnah dibom Zionis.

"Selain itu, saya juga terdedah risiko dibom kerana berada di kawasan berhampiran dengan lokasi pengeboman penjajah.

"Namun, saya cekalkan hati keluar rumah untuk membantu membuka pusat penjagaan atau pusat pelarian sementara bagi penduduk kehilangan tempat tinggal," katanya.

Katanya lagi, pengalaman mengikuti perhimpunan The Great Return March (meminta Isreal membatalkan sekatan ke atas Gaza), membolehkanya menyaksikan sendiri ramai penduduk syahid, pemuda kehilangan kaki dan tangan.

"Alhamdulillah, Allah SWT masih panjangkan usia saya bukan sahaja untuk membantu rakyat Palestin, tetapi juga berkongsi perkembangan terkini Palestin kepada rakyat Malaysia," katanya yang bercita-cita kembali ke tanah air pada masa hadapan.

Menurutnya, pemergiannya ke Palestin pada mulanya kerana melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda keduanya dalam bidang Syariah.

Katanya, pada masa yang sama, melakukan kerja-kerja kemanusiaan dan usaha ini mendapat sokongan daripada kedua ibu bapa.

"Hingga hari ini, saya sentiasa mohon restu ibu bapa setiap kali hendak keluar rumah menguruskan bantuan terutamanya ketika peperangan.

"Dua pesanan ibu bapa yang menjadi 'azimat' kepada saya untuk terus membantu rakyat Palestin iaitu ajal ditentukan Allah SWT dan boleh meninggal dunia di mana-mana sahaja," katanya.

KAMARUZAMAN (duduk, kiri) bersama isteri dan lapan anaknya termasuk Ahmad Musa al-Nuwayri (berdiri, kiri) serta Nadir Al-Nuri (berdiri, kanan).
KAMARUZAMAN (duduk, kiri) bersama isteri dan lapan anaknya termasuk Ahmad Musa al-Nuwayri (berdiri, kiri) serta Nadir Al-Nuri (berdiri, kanan).

'Doa pelenyap kerisauan kami'

"Saya dan keluarga sentiasa bersedia serta reda seandainya suratan takdir sudah tertulis, hayat Nadir berakhir di bumi Palestin.

"Ini kerana saya percaya bahawa kematian boleh berlaku di mana-mana sahaja," kata Dr Kamaruzaman Yusoff.

Kamaruzaman, 60, ialah bapa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri iaitu aktivis kemanusiaan Malaysia yang menetap di Palestin.

Seorang lagi anak Kamaruzaman iaitu Ahmad Musa al-Nuwayri, 27, juga aktivis kemanusiaan Malaysia di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cinta Syria Malaysia (CSM).

Kamaruzaman berkata, namun begitu dia sentiasa menitipkan doa untuk keselamatan Muhammad Nadir Al-Nuri, 34, agar terpelihara dan dilindungi Allah SWT sepanjang berada di Palestin.

Katanya, itulah 'senjata' yang mampu diberikan kepada anaknya yang berada jauh beribu batu.

"Sebagai ibu bapa, dia tidak terkecuali daripada berasa bimbang dengan keselamatan Nadir Al-Nuri, terutamanya apabila berlakunya peperangan.

"Hanya dengan berdoa kepada Allah SWT sahaja dapat melenyapkan kerisauan itu.

"Ditambah pula sokongan saudara mara dan rakan-rakan juga membantu menghilangkan kegusaran di hati," katanya.

Bapa kepada lapan orang anak itu berkata, walaupun terpisah jauh, namun mereka saling berhubung menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp keluarga.

"Dengan cara ini, saya boleh mengetahui perkembangan aktiviti dan keadaan Nadir Al-Nuri,"katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka Nadir Al-Nuri menjadi antara rakyat Malaysia yang dikenali melalui aktiviti kemanusiaan di Palestin.

"Bagaimanapun, saya sentiasa menasihatinya supaya mengekalkan sikap merendah diri dan bersederhana serta lebih menonjolkan aktiviti kebajikan CGM.

"Saya dan isteri, Zuryati Yasin, 59, memberi kebebasan kepada anak-anak dalam membuat pilihan melanjutkan pengajian atau kerjaya.

"Asalkan ianya tidak menyalahi undang-undang Malaysia serta ajaran Islam,"katanya yang menetap di Johor.

Katanya, manakala Ahmad Musa al-Nuwayri terbabit dengan CSM kerana mengikut jejak langkah abangnya, Nadir Al-Nuri.

"Namun, daripada segi kekuatan solidariti, Musa lebih tinggi berbanding Nadir Al-Nuri yang banyak bergerak sendirian di bumi Gaza.

"Jika mahu menjadikan dua anak saya ini sebagai ikon anak muda, ikutilah semangat sukarelawan dan kerjasama yang terbentuk dalam NGO mereka membantu insan memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 9:00 AM