BANGUNAN Finas.
BANGUNAN Finas.
Dr Megat Al Imran Yasin

ISU dan kemelut Padu Citra dalam kalangan pemain dan pengamal industri penerbitan filem dan televisyen belum lagi reda.

Usaha Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas) memanggil tiga persatuan seni untuk berbincang dari hati ke hati diharap mampu mencari titik temu di antara penggiat seni dan juga agensi yang bertanggungjawab ini iaitu Finas.

Antara hasrat awal Padu Citra diperkenalkan bertujuan memelihara masa depan pengamal bidang penerbitan filem, televisyen agar sentiasa berada pada tahap profesionalisme tinggi dan hanya yang berdaftar saja dengan persatuan ini dibenarkan terbabit dalam kegiatan penerbitan.

Dasar baharu Padu Citra 2.0 yang ingin diperkenalkan ini pastinya mengambil semangat asal Padu Citra iaitu untuk meningkatkan profesionalisme pemain industri kandungan kreatif.

Tiga persatuan yang membantah ura-ura pelaksanaan dasar baharu Padu Citra 2.0 merasa terkilan bahawa mereka sebagai pemegang taruh utama dalam Padu Citra selama ini tidak dilibat sama dalam pembangunan dasar baharu Padu Citra 2.0.

Setakat ini, mereka dan kami sendiri dalam akademik tidak jelas berkaitan bentuk pembaharuan ini.

Kerisauan mereka berkaitan sesiapa sahaja boleh mengambil siapa sahaja termasuk dari luar negara untuk terbabit dalam penggambaran tanpa menjadi ahli kepada tiga persatuan tadi.

Mereka juga tergugat apabila tidak lagi menjadi payung kepada ahli dan sumber kewangan daripada yuran keahlian juga bakal terjejas.

Di negara maju seperti United Kingdom oleh kerana sistem pendidikannya yang baik, maka kolej dan universiti banyak menawarkan kursus komunikasi media dan perfileman di negara itu.

Bagaimanapun, dalam meningkatkan profesionalisme pemain industri mereka mempunyai badan khusus Screenskill yang bermotto investing in the people driving the success of film, tv, vfx and animation iaitu melabur untuk masyarakat untuk kejayaan bidang filem, televisyen, kesan visual dan animasi.

Screenskill United Kingdom juga memperkenal sistem akreditasi atau Skillset yang diterajui industri bagi terus membangunkan professionalisme serta kemahiran dalam industri kandungan kreatif.

Dalam apa juga bidang profesionalisme berasaskan teknologi ledakan digital atau digital distruption memberi kesan terhadap cara kerja.

Setiap masa, ada sahaja cara baharu melaksanakan kerja. Proses learn and unlearn itu perlu apabila kita perlu belajar kaedah yang baharu dan melupakan kaedah yang lama.

Selain itu, kecanggihan peralatan baharu peralatan produksi dan pasca produksi perlu kepada mengemas kini ilmu pengetahuan.

Perkara ini perlu dilakukan oleh agensi seperti Finas dan badan akreditasi seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran, Malaysian Board of Technology (MBOT) dan juga persatuan yang berperanan sebagai peneraju industri seperti Seniman, Profima, FDAM, Persatuan Penerbit Filem Malaysia untuk melaksanakan tugas dan fungsi mereka.

Akreditasi pengamal industri kandungan kreatif ini perlu dilaksanakan secara sukarela dan tanpa paksaan.

Mereka yang sudah berpengalaman mungkin tidak perlu untuk menduduki akreditasi ini kerana mereka sudah mempunyai nama dan dikenali dalam kalangan industri.

Pemain industri ini sendiri akan merasai keperluan untuk mendaftar secara mandiri atau melalui persatuan di dalam pangkalan data Padu Citra 2.0.

Melalui sistem ini penarafan atau rating yang teratur dapat dijana sebagai rujukan atau portfolio bagi menentukan rate card atau bayaran tangga gaji yang dipersetujui bersama industri dan lain-lain agensi seperti Finas, stesen televisyen dan syarikat penerbitan.

Bagaimanapun, proses atau kaedah Padu Citra 2.0 dan akreditasi ini perlu diperjelaskan supaya tidak disalah anggap oleh sebahagian pemain industri.

Apabila perkara ini diketengahkan ketika ribut Covid-19 sedang melanda mengakibatkan ramai pemain industri kreatif terkesan.

Isu tiada peluang pekerjaan, tidak boleh bekerja dan beroperasi di musim Covid-19 ini perlu ditangani dahulu sebelum isu akreditasi dan Padu Citra 2.0 diketengahkan.

Finas dan persatuan-persatuan kreatif perlu bersama-sama merangka strategi dalam menelusuri kegawatan ekonomi akibat pandemik ini.

Saya yakin dan percaya rakan dari industri kreatif amat terbuka untuk bekerjasama dengan Finas dalam isu Padu Citra 2.0 ini sekiranya libat sama dapat dilakukan secara lebih tersusun melalui proses perbincangan, pembentukan jawatankuasa yang melibatkan semua pemegang taruh dalam industri ini termasuk kami dari pelbagai institusi pendidikan tinggi yang mencorakkan industri kandungan kreatif pada masa hadapan.

Penulis kakitangan akademik dan penyelidik di Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:30 AM