ORANG awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai amalan norma baharu bagi langkah pencegahan penularan Covid-19.
ORANG awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai amalan norma baharu bagi langkah pencegahan penularan Covid-19.
Rencana

Pejam celik, pejam celik sudah setahun kita berhadapan Covid-19. Dalam tempoh ini juga emosi kita turun naik.

Ketika awal ia dilaporkan berlaku di Wuhan, China sekitar Disember tahun lalu, kita di Malaysia turut bimbang namun emosi masih boleh dikawal.

Selepas itu, ia mula memasuki Thailand, negara pertama luar China yang dikesan mencatatkan kes jangkitan virus berkenaan.

Ketika ia tiba di Thailand, sebahagian daripada kita mula berasa seram kerana kedudukan Thailand hanya di sebelah Malaysia. Bila-bila masa saja, virus itu boleh menyeberang sempadan negara. Namun, kes di Thailand terkawal dan tidak mencatatkan sebarang pertambahan mendadak selepas kes awal yang dilaporkan itu.

Ketika itu juga rakyat Malaysia mula menyuarakan kebimbangan dengan kemasukan pelancong asing khususnya dari China.

Ruangan komen di laman sosial tidak henti-henti meminta kerajaan menyekat kemasukan pelancong, malah ada lebih ekstrem mahu kerajaan mengusir semua warga China di Malaysia.

Kluster awal dilaporkan di Malaysia adalah di Sri Petaling yang menjadi permulaan emosi rakyat Malaysia dirundung ketakutan.

Selepas semakin banyak kes dilaporkan, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 hingga 31 Mac lalu selama dua minggu bagi melandaikan lekuk penularan.

Rakyat diminta duduk di rumah, hanya mereka yang terbabit dalam sektor penting dibenarkan keluar bekerja dan ketua keluarga saja dibenarkan keluar mendapatkan barangan keperluan.

Ketika itu emosi rakyat Malaysia bercampur-baur. Ada yang gembira kerana boleh bekerja dari rumah. Tidak perlu tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Namun, ada pula yang tertekan kerana syarikat tidak boleh beroperasi menyebabkan pendapatan terpaksa dipotong.

Selepas tamat PKP dan kerajaan memperkenalkan beberapa siri perintah kawalan, keadaan beransur pulih namun emosi kita tidak lagi seperti dahulu.

Perasaan bimbang masih bersisa apatah lagi negara kita merekodkan tiga gelombang Covid-19 dalam tempoh 12 bulan ini.

Ketika artikel ini ditulis, United Kingdom (UK) melaporkan varian baharu strain Covid-19 yang lebih mudah menjangkiti manusia.

BBC melaporkan, Konsortium Genom Covid-19 United Kingdom (COG-UK) mendedahkan bahawa terdapat tiga mutasi biologi ditunjukkan di makmal yang meningkatkan keupayaan virus menjangkiti sel.

Prof Nick Loman dari kumpulan COG-UK berkata, semua itu bersatu untuk membina kes virus yang dapat merebak lebih cepat dan sekatan tahap empat adalah sebahagian langkah bagi mengurangkan penyebaran varian.

Sekatan tahap empat adalah sama dengan situasi PKP di Malaysia pada Mac lalu.

Baru-baru ini, Singapura turut melaporkan satu kes yang disahkan dengan strain virus UK B117 membabitkan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang menuntut di UK.

Namun, Kementerian Kesihatan Singapura berkata, tiada bukti setakat ini bahawa strain B117 menular dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam sidang media hariannya baru-baru ini berkata, kementerian mengesan mutasi baharu virus Covid-19 di Malaysia yang dikenali sebagai A701V hasil kajian terhadap sampel dari Sabah.

Namun, pihaknya belum dapat menyimpulkan sama ada mutasi baharu itu memiliki tahap kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat 'ganas'.

Katanya, virus Covid-19 akan sentiasa bermutasi, namun apa yang perlu diberi tumpuan ialah sama ada mutasi baharu itu memiliki impak kesihatan yang lebih besar, berbanding varian sedia ada.

Dr Noor Hisham berkata, sebagai contoh mutasi D614G (Kluster Sivagangga) didapati memiliki 10 kali lebih jangkitan. Begitu juga varian baharu di UK dikenali sebagai VUI-202012/01, yang dikatakan 70 peratus lebih mudah berjangkit.

Menurutnya, kementerian memantau kesan mutasi baharu A701V ini dari segi sama ada ia memiliki kesan pada keberkesanan vaksin, kadar kebolehjangkitan meningkat dan keganasan virus ini.

Di saat maklumat baharu berkaitan Covid-19 sentiasa muncul, nampak gayanya rakyat Malaysia secara luarannya kekal tenang.

Mungkin sedang membiasakan diri dengan norma baharu atau mungkin juga malas mahu berfikir jauh hingga menimbulkan serangan panik atau anxiety.

Dalam pada kita meluangkan masa bersama keluarga, jangan lupa kehadiran Covid-19 di sekeliling kita kerana virus ini sifatnya bak peribahasa direbus tak empuk.

Terus amalkan SOP, keluar bila perlu, dapatkan vaksin apabila ia tiba di Malaysia nanti dan selebihnya serahkan pada Yang Maha Kuasa.

Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 7:00 AM