MEMPUNYAI 32 mutasi ‘spike protein’ iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta. - FOTO Google
MEMPUNYAI 32 mutasi ‘spike protein’ iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BELUM pun hilang rasa ketakutan terhadap 'keganasan' varian Delta, muncul pula varian baharu iaitu Omicron yang menambahkan kegusaran ramai.

Varian ini mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan pada 25 November lalu yang diklasifikasikan sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga belum jelas mengenai sifat strain baharu Covid itu, sama ada lebih mudah berjangkit dan bergejala teruk.

Varian Omicron sudah tersebar ke rantau Asia, terutama di Hong Kong dan ini adalah isyarat bahawa perlu lebih berwaspada bagi mengelakkan berlaku lonjakan kes jangkitan di Malaysia, khususnya.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi 'spike protein' iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta.

Pakar Virologi Universiti Kebangsaan Malaysia UKM Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata, varian baharu SARS-CoV-2 boleh wujud kerana virus masih boleh menjangkiti ramai orang.

Menurut Dr Nazlina, ia berupaya melakukan mutasi terhadap mereka yang dijangkiti.

"Selagi dibenarkan virus ini menjangkiti manusia lain, selagi itulah virus ini dapat bereplikasi dan bermutasi.

"Penyebaran di Afrika Selatan berakar umbi daripada peratusan individu mendapat suntikan vaksin sangat rendah. Virus ini berupaya menjangkiti ramai penduduk yang belum divaksinasi," katanya.

Dr Nazlina berkata, varian Omicron memang berupaya membawa ancaman baharu kepada Malaysia.

PELANCONG perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. - FOTO Google
PELANCONG perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. - FOTO Google

Jelasnya, ia mempunyai keupayaan untuk lebih mudah tersebar dan juga dapat mengurangkan aktiviti antibodi peneutralan.

"Langkah mengehadkan kemasukan pengembara dari Afrika Selatan atau mereka yang pernah ke sana atau hanya transit di negara itu adalah langkah betul dan terbaik buat masa ini.

"Sempadan negara perlu diperketatkan bagi mengelak kemasukan secara haram. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu setiap masa dan jangan leka sebagai langkah mengelakkan penyebarannya," katanya.

Dr Nazlina berkata, berdasarkan struktur asas yang disimulasi menggunakan komputer, virus ini berupaya untuk mengelak daripada dineutralkan atau dinyahaktifkan oleh antibodi peneutralan.

"Namun, kita boleh meletakkan harapan pada vaksinasi. Selain antibodi, vaksin juga akan menghasilkan beberapa komponen lain dalam sistem keimunan. Ia berupaya untuk menangani jangkitan sebenar varian baharu.

"Ini berdasarkan pengalaman dengan penularan varian Delta yang masih dapat dikawal, menyebabkan penyakit teruk dan kematian.

"Keberkesanan vaksin mungkin menurun, namun masih berupaya memberi perlindungan kepada penerima vaksin. Maka, penuhilah janji temu untuk mendapatkan dos penggalak," katanya.

Pakar Kesihatan Awam UKM Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, tidak boleh dipastikan sama ada varian Omicron ini menjadi varian dominan seperti varian Delta.

Bagaimanapun, Dr Sharifa Ezat berkata, kebarangkalian itu boleh berlaku.

"Apa yang merisaukan ialah varian baharu ini lebih mudah berjangkit berbanding virus strain lain termasuk Delta.Ia juga dianggap sukar dikesan cara biasa dan kesan virulensnya ke pesakit masih tidak diketahui," katanya.

PATUHI SOP bagi mengelakkan jangkitan. - FOTO Google
PATUHI SOP bagi mengelakkan jangkitan. - FOTO Google

Dr Sharifa Ezat berkata, kajian dan pendapat pakar dari luar negara bersetuju bahawa dos penggalak adalah benteng utama melawan virus Covid-19.

"Maka sebaik-baiknya dos penggalak ini diberi kepada golongan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan, warga emas dan mereka yang mempunyai tinggi komorbiditi.

"Dos penggalak juga dapat mengurangkan risiko keparahan jangkitan virus Covid-19," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, varian Omicron turut menular ke beberapa negara lain termasuk United Kingdom, Itali, Belgium, Israel dan Jerman.

"Oleh itu, pelawat luar negara perlu dikuarantin selama dua minggu dan menjalani ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR untuk kepastian.

"Sekiranya hasil ujian itu positif, ujian genom perlu dilakukan untuk mengenal pasti strain yang dibawanya," katanya.

Kata Dr Sharifa Ezat, ujian penjujukan genom ini juga patut diteruskan di Malaysia untuk mengetahui jika terdapat mutasi genom yang berlaku dari dalam negara.

"Lagipun, kita tak pasti tahap keparahan strain baharu ini. Adakah ia mengakibatkan jangkitan ringan atau sederhana teruk atau menyebabkan kategori yang lebih parah.

"Oleh itu, kita perlu menunggu perkembangan dari luar negara dalam tempoh dua minggu lagi.

"Kemungkinan besar tidak akan mengakibatkan tercetusnya gelombang keempat. Kita perlu sentiasa berjaga-jaga dengan pematuhan SOP, mengekalkan penjarakan fizikal dan mengambil dos penggalak," katanya.

Sementara itu, Pakar Virologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Chee Hui Yee berkata, selagi virus menjangkiti orang (perumahnya), virus akan bermutasi semasa replikasi kerana ini adalah ciri-ciri virus dan mutasi adalah secara rawak.

Dr Chee berkata, terdapat mutasi menyebabkan virus itu menjadi lemah atau mati.

"Ada kalanya, mutasi itu menyebabkan virus menjadi lebih cepat menjangkiti orang (perumah), lebih patogenik, 'immune escape' yang bermaksud antibodi di dalam badan tidak dapat mengenali virus.

"Jika mutasi adalah berlainan daripada yang diketahui, ia dikatakan varian baharu.

"Sekiranya ciri-ciri yang dinyatakan (lebih cepat menjangkiti orang (perumah), lebih patogenik dan immune escape lebih ketara, ia boleh dikategorikan sebagai VOC atau varian mempunyai kepentingan (VOI), berdasarkan definasi WHO," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 7:00 AM